Resepi : 7 Hari Resepi Berbuka Bulan Ramadan Dengan Daging | Haa dasatkan ada siri bagai mcm drama pulak aihh tapi memang la bila nak ke dapur dan memasak ni memang ada drama, kekadang drama meruntun jiwa, drama suka duka semua ada..hehe.  Untuk siri 2 ni Umi nak kongsi 7 resepi masakan menggunakan daging, kalau nak guna ayam pun boleh, terpulang pada korang okay


Resepi : 7 Hari Resepi Berbuka Bulan Ramadan Dengan Daging ini diharap dapat membantu mak-mak yang kelam kabut balik rumah untuk menyiapkan juadah berbuka. Pastinya dah jadi macam lipas kudung untuk menyiapkan kepada keluarga tersayang.  Selamat mencuba.


1. Daging Masak Kicap cara Mak Tersayang
2. Daging Masak Kurma Mak Mertua
3. Asam Pedas Tulang Daging
4. Daging Masak Lada Hitam
5. Daging Goreng Berempah
6. Daging Masak Lemak Cili Api
7. Daging Rebus Air Asam Utara


Kalau nak resepi lain berasakan daging, boleh je cari dan klik >  Daging


Kalau nak lembutkan daging, masukkan buah keras yang ditumbuk dalam air rebusan dan direbus sekali


1. Daging Masak Kicap cara Mak Tersayang

7 Hari Resepi Berbuka Bulan Ramadan - Siri 2


Bahan-bahan :
Daging, dihiris
5 tangkai cili kering, dikisar
3 ulas bawang kecil, ditumbuk
2 ulas bawang putih, ditumbuk
½ inci halia, dihiris
3 sudu cuka
Kicap Tamim
Garam secukup rasa

Bahan untuk hiasan:
1 labu bawang besar, dimayang
1 biji cili merah atau cili hijau

Cara membuatnya:
Daging direbus hingga empuk, ditoskan dan letak tepi
Panaskan minyak dan tumis bahan yang ditumbuk hingga naik wangi.  Masukkan cili kisar dan kacau hingga pecah minyak kemudian masukkan daging dan air rebusan dan kacau hingga air rebusan hampir kering.  Kemudian masukkan kicap serta cuka, biarkan dengan api sederhana. Terpulang hendak biar kuah kering atau cukup sekadar basah sahaja.  Masukkan bawang besar dan cili merah, biar dalam 3 minit dan tutup api.  Masukkan garam secukup rasa.

Kekadang mak letak kulit kayu manis tapi Umi tak sebab bila lama bau kulit kayu manis tu menguasai masakan.


*********************

2. Daging Masak Kurma Mak Mertua

7 Hari Resepi Berbuka Bulan Ramadan - Siri 2


Bahan-bahan :
350gm daging, dibersihkan dan dipotong 
4 sudu besar rempah kurma ayam
2 cawan santan pekat
asam keping
Garam secukup rasa

Bahan untuk dikisar
½ in lengkuas
½ cawan kelapa parut (yang putih)
1 batang serai

Bahan Hiasan 
2 biji kentang
2 biji cili masak
4 biji cili api
1 biji bawang besar (dipotong baji)


Cara membuatnya:
Panaskan minyak didalam periuk, tumis kulit kayu manis, bunga lawang hingga naik bau.
Masukkan bahan yang dikisar dan rempah kurma, dikacau hingga hampir kering dan masukkan daging dan ditambah air, dikacau supaya sebati dan pastikan daging bersalut dengan rempah. Bila air hampir kering, masukkan santan dan kentang dan kacau dan dimasak hingga mendidih.  Bila nampak kentang agak empuk, masukkan bawang besar, cili merah dan cili api, masak dalam 5 min dan tutup api.  Masukkan garam secukup rasa.

nota : Umi tak letak kentang sebab habis stok tapi sesiapa yang suka boleh letak ya.  Ni adalah resepi masakan MIL yang sempat Umi belajar dan memang sedap sangat.


*********************

3. Asam Pedas Tulang Daging

7 Hari Resepi Berbuka Bulan Ramadan - Siri 2


Bahan-bahan :
1kg tulang atau daging tetel, ikut kesukaan
3 tangkai daun kesum
1 mangkuk perahan air asam jawa
1 batang bunga kantan, kalau suka
1 batang serai, diketuk

Bahan untuk dikisar
2 labu bawang besar
3 ulas bawang putih
1 inci halia
1 inci kunyit hidup
2 sudu lada hitam
1 inci belacan

Cara membuatnya:
Rebus tulang hingga lembut, masukkan buah keras yang ditumbuk yang boleh melembutkan daging bagi mereka yang tak de pressure cooker

Panaskan kuali, masukkan minyak dan tumis serai yang diketuk dan semua bahan yang ditumbuk hingga naik wangi.  Masukkan cili kisar dan goreng hingga pecah minyak dengan api sederhana dan pastikan benar-benar masak.  Masukkan tulang lembu/daging dan dikacau hingga sebati. Masukkan daun kesum, bunga kantan dan air asam jawa. Kacau hingga mendidih dengan api perlahan.  Akhir sekali masukkan garam secukup rasa dan secubit gula tapi kalau nak letak aji no moto, boleh juga.  Biarkan ia mendidih dan tutup api.

*********************

4. Daging Masak Lada Hitam

7 Hari Resepi Berbuka Bulan Ramadan - Siri 2


Bahan-bahan :
1/2 kilo daging - kalau dapat batang pinang lagi sedap - dipotong ikut kesukaan
1 sudu lada hitam *
3 ulas bawang merah *
2 ulas bawang putih *
1 inci halia *
1 sudu jintan manis
1 sudu jintan putih
1 inci kunyit hidup * atau 2sk serbuk kunyit
1 mangkuk air asam jawa

* ditumbuk hingga lumat

Untuk hiasan
1 biji cili masak - dipotong serong
1/2 labu bawang besar - dipotong baji

Cara membuatnya:
Panaskan minyak didalam kuali, tumiskan bahan yang telah ditumbuk dan kacau hingga masak. Masukkan hirisan daging dan serbuk kunyit (kalau tidak guna kunyit hidup) dan dikacau hingga bersalut dengan api sederhana.  Kemudian masukkan air asam jawa dan setengah cawan air, dimasak sampai pecah minyak


Masukkan hirisan bawang besar dan cili masak, dimasak untuk 5 minit dan tutup api
Jangan lupa masukkan garam dan boleh dihidang

*********************

5. Daging Goreng Berempah

7 Hari Resepi Berbuka Bulan Ramadan - Siri 2

Bahan-bahan :
500 gm daging pejal
1 bii bawang besar - dimayang
2 ulas bawang putih - dimayang
3 sudu besar kicap lemak manis
Minyak untuk menumis
Garam secukup rasa
Bawang besar, dipotong baji sebagai hiasan


Bahan untuk dikisar :
2 inci halia - dihiris
10 tangkai cili kering, dikisar
1 sudu ketumbar
1 sudu jintan manis  + jintan putih


Cara membuatnya:
Daging dihiris nipis, dibersihkan dan diperap dengan bahan yang dikisar (dalam 30 minit)

Panaskan minyak didalam kuali dan tumis bawang merah dan bawang putih, bila dah kekuningan, masukkan daging yang diperap dan dimasak dengan api perlahan tambah air supaya daging benar-benar masak dan terpulang sekiranya nak berkuah atau biarkan dimasak dengan kering

Kalau suka boleh letak bawang besar yang dipotong baji sebagai hiasan.

*********************

6. Daging Masak Lemak Cili Api

7 Hari Resepi Berbuka Bulan Ramadan - Siri 2


Bahan-bahan :
600 gm daging, batang pinang
1 liter santan kotak
1/2 cawan santan cair
1 cawan air
1 biji mangga sala atau mangga telur
2 batang serai, diketuk
3  keping asam gelugur
Garam dan gula


Bahan untuk dikisar :
15 tangkai cili api
1/2 inci kunyit hidup
3 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih


Cara membuatnya:

Daging dihiris lebar, cuci dan toskan.  Masukkan bersama bahan yang dikisar kedalam periuk bersama serai dengan air.  Kacau rata dan renih dengan api sederhana hingga daging kecut.  Tuangkan santan cair dan masukkan buah mangga dan asam keping.  Masak hingga mangga nampak layu.  Masukkan santan pekat, kacau dan biarkan dalam 5 minit dan tutup api.  Masukkan garam secukup rasa


*********************


7. Daging Rebus Air Asam Utara

7 Hari Resepi Berbuka Bulan Ramadan - Siri 2


500 gm daging, dibersihkan dan direbus hingga empuk. Angkat daging, sejukkan sebelum dihiris nipis. Air rebusan daging boleh disimpan untuk jadi stok


Bahan-bahan :
3 batang cili, 4 bii cili padi, dikisar atau ditumbuk halus
2 biji tomato, dihiris nipis
1 labu bawang besar dihiris
2 inci belacan
½ cawan air perahan asam jawa
gula
garam secukup rasa
kerisik


Cara membuatnya:

Cili masak dan cili api yang dikisar dimasukkan didalam mangkuk, masukkan belacan, bawang besar, tomato, air asam jawa, sedikit gula dan kerisek, digaul hingga sebati.  Masukkan garam secukup rasa dan boleh la dimakan dengan daging rebus

Kalau tak suka pedas, tak perlu letak cili api tapi kalau tak pedas tak de kick la kan

*********************

selamat mencuba!