Abah Dalam Doa Dan Ingatan | Hujan pagi Isnin ni membuat Umi teringat abah. Memang tak pernah tak ingat sejak abah pergi minggu lepas tapi ingatan masih segar sebab abah pergi meninggalkan kami pada hari Isnin dan hujan membasahi bumi di waktu pagi sama seperti hari ini. Memang rindu nak peluk cium abah, kucup tangan abah, beri abah susu walau melalui tiub, berborak dengan abah walau abah terbaring tapi masih bersuara walau sukar untuk kami fahami.  Alhamdulillah, setiap dari kami bersyukur sebab punya waktu untuk berbakti untuk abah sewaktu abah terbaring. Ya Allah, tempatkan abah bersama orang-orang yang beriman

Istimewa buat abah Sarjan (B) Haji Hamid B. Awang

26 Jun 1926 - 23 Julai 2018 (10 Zulkaedah 1439H) @ 2.30 petang
Hospital Angkatan Tentera Tunku Mizan
Wad Rafflesia

Abah Dalam Doa Dan Ingatan

Puisi buat Abah lelaki terhebat kami

Isnin muncul lagi
hari ini, minggu depan dan seterusnya
Isnin mengimbaukan kenangan
hari abah pergi meninggalkan kami

Lebat hujan seakan memberitahu
abah, terbaring namunt tidak seperti selalu
mata tertutup, nafasnya payah
ahhh...situasi biasa, hati menelah

abah!, ni kak cik nak bagi abah susu ya
bangunlah abah, kita minum ya
namun abah tetap tak berubah
mata terpejam, tanpa reaksi

"agaknya mata abah banyak tahi mata" telah hati
mata abah disapu dengan cermat
ahh...abah tetap tak buka mata
tapi biar abah rehat

abah!, kak cik balik dulu tau
kesian tengok mak keletihan menanti
mak peluk cium abah
dalam sendu kami mengundur diri


ok, nanti petang kak cik datang lagi
jadual hari ni disusun rapi
harus segera diselesaikan tanpa tangguh

lazimnya luka abah akan dicuci
jururawat pun dah menyuntik ubat tahan sakit
pasti rawatan luka sebentar nanti
kesempatan untuk selesaikan tugasan peribadi
segera dijalani

Icik!, abah dah tak ada!
jeda
Innalillahiwainnaillahirojiun
dari Dia kita datang, dan kepadaNya kita kembali
air mata berderai

 
abah! kak cik rindu
gelak tawa abah, gurau senda abah
cerita abah, keperihatinan abah
abah sesungguhnya yang terbaik


kerinduan akan terus mendatang
tapi abah jangan risau
kami tabah, mak akan kami jaga
doa untuk abah tetap akan kami titipkan
setiap hari, setiap masa
semoga abah tenang
semoga abah selesa
walau kita berada didunia berbeza
doa kami abah bersama para syuhadah


Isnin tetap akan muncul setiap minggu
tanpa jemu tanpa penghujung
dan abah akan terus bersemadi dijiwa
sampai kita bertemu lagi abah
di syurga