Resepi | Kuih Badak Berendam Ekspress | Lain macam jer nama diberi kannn..hehe.  Nak tahu kenapa, sila baca sampai habis bahan-bahannya. Tetiba mood buat dessert untuk minum petang menjelma hari minggu hari tu, terasa nak makan sesuatu yang manis tapi mudah tambahan lagi memang stok tepung pulut memang sentiasa ada dan daun pandan cuma kat belakang rumah jer tapi kelapa parut tak ada...maka jadilah kuih ala badak berendam ni versi buah melaka berintikan gula gerek yang dipotong dengan saiz kecil.

Tapi UF nak kongsi la jugak resepi sebenar kuih badak berendam ni walau tak tau kenapa dipanggil badak berendam tapi rasanya sebab kuih ni asalnya saiz bulatan dia memang besar dan direndam dalam sos/kuah, itu la gamaknya hehe


Bahan-bahan:
2 cawan tepung pulut
11/2 cawan air daun pandan - daun pandan dikisar dan diambil airnya
1/2 sudu kecil garam

Bahan inti
kelapa parut muda, ambil bahagian putih
2 keping gula gerek atau 1 cawan gula merah
1 helai daun pandan
1 cawan air

Untuk kuih badam berendam ekspress ni, Umi cuma guna gula gerek yang dipotong dadu, disumbat dalam doh dan ke rebus supaya masak.  Bukan ekspress ke gitu. Dah malas nak keluar beli kelapa parut dan tak nak berlama kat dapur tu la penyebabnya.

Bahan untuk kuah
1 2/2 cawan santan Ayam Brand
2 sudu besar tepung beras
1/2 sudu kecil garam
3 helai daun pandan
1 sudu gula (jika suka)

Resepi | Kuih Badak Berendam Ekspress
Nak cuba lain-lain Dessert, klik SINI

Cara membuat inti
Masukkan air, gula gerek, daun pandan dan dimasak hingga larut.  Sejukkan dan ditapis.  Masukkan kembali ke dalam periuk bersama kelapa parut dan dikacau hingga kering dan letakkan secubit garam (kalau tak suka, tak payah letak ya).  Padamkan api dan biarkan ia sejuk.

Bila dah sejuk, inti ni boleh la dibulatkan sebesar guli dan diletakkan tepi untuk dimasukkan kedalam doh nanti.

Nota : kalau guna gula merah, pastikan air gula di tapis sebelum di masukkan kelapa parut untuk mengelakkan pasir yang selalunya ada dalam gula merah.


Cara membuat doh
Masukkan air pandan didalam besen adunan, masukkan tepung dan garam serta diuli menjadi doh yang boleh dibentuk tanpa melekat di tangan.

Ambil doh, dibulat-bulatkan dan dileperkan serta masukkan inti kelapa yang telah dibulatkan dan kemudian bulatkan kembali doh tersebut.

Dalam waktu yang sama, masukkan air di dalam periuk dan bila air sudah mendidih, masukkan kesemua doh yang telah diletakkan inti ke dalam periuk.  Doh yang telah masak akan timbul, gunakan senduk dan toskan doh tersebut


Cara membuat kuah
Dalam periuk yang berlainan, masukkan santan, daun pandan serta gula ke dalam periuk, di kacau hingga pekat dalam lebih kurang 7 - 10 minit, tutup api dan masukkan garam, dibiarkan.

Doh yang telah selesai di masak dimasukkan ke dalam periuk berisi kuah dan pastikan sos meliputi doh.  Tunggu sejuk dan boleh la di makan.