Resepi Wadai Kepeng Kuih Tradisi Orang Banjar | Masa berborak dengan mak tempohhari sambil dia menjamu selera dengan Kuih Badak Berendam Ekspress (baca SINI), sempat mak cakap lama tak makan Wadai Kepeng sambil mengunyah tu UF sambil bertanya apa bahan yang diperlukan.  


Seingat UF memang pernah makan, tapi makan sebab tu hidangan yang dibuat untuk minum petang masa dulu dan UF bukanlah orang yang rajin bab memasak ni. Tapi bila terfikir mak ada sebut, terus terasa nak buat, lagipun bukan susah mana pun.


Resepi | Wadai Kepeng Atau Putri Mandi

Bahan-bahan

1 cawan tepung pulut
Secubit garam
Air secukupnya


Bahan untuk kuah
1 ketul gula gerek
2 cawan santan pekat
1 cawan air
1 helai daun pandan disimpulkan
sedikit garam


Cara membuatnya:

  • Tepung pulut dan garam digaul dengan air sedikit demi sedikit. Adunan diuli supaya menjadi doh yang tak melekat di tapak tangan (macam kita buat kuih buah melaka). Kemudian cubit doh, bulatkan dan tekan dibahagian tengah dan akan kelihatan seperti gambar dibawah ni

Resepi | Wadai Kepeng Atau Putri Mandi

  • Masukkan gula gerek, air, sedikit garam serta daun pandan yang telah disimpulkan ke dalam periuk dan buka api perlahan.  Bila gula gerek telah larut dan air mendidih, masukkan doh satu-satu supaya jangan melekat. Doh akan masak bila dah mula terapung.

  • Masukkan santan dan kacau perlahan hingga hampir mendidih, tutup api. Jangan masak terlalu lama supaya santan tak pecah minyak nanti tak sedap.


Selamat mencuba!



Wadai Kepeng ni nama kuih yang dipanggil oleh masyarat Banjar dan mak UF tahu masak ni pun sebab kampung mak di Kuala Kurau tu memang ramai orang Banjar tapi mak UF berdarah Jawa dan Siam. Macam mana boleh duduk di kawasan orang Banjar, hehe tak tahu la tapi kan dulu orang dulu-dulu kan merantau. Panjang kisah Allahyarham Tok Ayah yang merantau dan berkahwin dengan Tok Mak yang cukup menarik bagi kami cucu-cucunya.


Kalau orang Kedah pasti akan panggil kuih ni pengat, serawa dan ada jugak kawan-kawan yang panggil kuih ni Putri Mandi yang hampir sama tapi tak serupa sebab kuih Putri Mandi tidak berkuah dan diselaputi dengan kelapa parut.  Kuih Wadai Kepeng ni lebih mirip kuih Butir Nangka Kelantan tapi tanpa bahan tambahan iaitu halba.