Assalammuaikum, selamat berpuasa buat semua rakan dan pembaca blog picisan ni. Masih tak terlambat kan walau hari ni genap 9 hari Ramadan mendatangi kita.



Rasanya dah semakin ramai yang mengenali dan mengetahui ertipuasa bukan semata-mata berlapar dan dahaga.  Ada tak antara kita yang malas bangun sahur sebab lebih sayangkan tilam empuk dari bangun bersahur dengan alasan perut tak boleh terima makanan pepagi hehe. Jangan silap, tak perlu makan berlebihan, cukup sekadar bangun dan minum air seteguk air pun dah memadai kerana banyak keistimewaan sahur yang harus kita semua ketahui.


Sahur Itu Barakah

 عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ السَّحُورُ أَكْلُهُ بَرَكَةٌ فَلَا تَدَعُوهُ وَلَوْ أَنْ يَجْرَعَ أَحَدُكُمْ جُرْعَةً مِنْ مَاءٍ فَإِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى الْمُتَسَحِّرِينَ

Dari Abi Said al-Khudri RA, Rasulullah SAW bersabda: "makan sahur itu barakah, maka janganlah kalian tinggalkan meskipun salah seorang dari kalian hanya minum seteguk air, kerana sesungguhnya Allah 'azza wajalla dan para malaikat-Nya berselawat kepada orang-orang yang makan sahur." (HR Ahmad No: 10664) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1.  Makan ketika bersahur itu memiliki keberkatan. Antara bentuk barakah dari sahur adalah mampu memberikan tenaga, menguatkan semangat, dan meringankan beban bagi mereka yang berpuasa.

2.  Sahur ini hendaknya tidak ditinggalkan walaupun hanya dengan seteguk air.

3.  Allah dan para malaikat berselawat ke atas orang yang makan dan minum untuk bersahur. Selawat Allah ke atas orang yang bersahur adalah pujian-Nya kepada hamba-hamba-Nya yang bersahur, manakala selawat para malaikat ke atas mereka yang bersahur pula merupakan doa pengampunan dari malaikat buat mereka yang bersahur.

4.  Waktu sahur itu sendiri pula termasuk antara waktu mustajab berdoa, waktu terbaik beribadah, dan waktu diampunkan bagi mereka yang memohon keampunan.

5.  Jadikanlah waktu sahur sebagai satu daripada cara kita mendapat pengampunan dosa


Sahur Waktu Mustajab Berdoa

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ يَنْزِلُ رَبُّنَا تَبَارَكَ وَتَعَالَى كُلَّ لَيْلَةٍ إِلَى السَّمَاءِ الدُّنْيَا حِينَ يَبْقَى ثُلُثُ اللَّيْلِ الْآخِرُ يَقُولُ مَنْ يَدْعُونِي فَأَسْتَجِيبَ لَهُ مَنْ يَسْأَلُنِي فَأُعْطِيَهُ مَنْ يَسْتَغْفِرُنِي فَأَغْفِرَ لَهُ

Daripada Abu Hurairah RA, Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: “Allah Tabaraka wa Ta’ala turun ke langit dunia pada setiap akhir sepertiga malam lalu berfirman, “Siapa sahaja yang berdoa kepada-Ku, maka Aku tunaikan untuknya. Sesiapa sahaja yang meminta kepada-Ku, Aku berikan kepadanya. Sesiapa sahaja yang memohon ampun kepada-Ku, Aku ampunkannya.” (Sahih Bukhari No: 1094) Dar Ibn Kathir. Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Sepertiga akhir malam adalah waktu istimewa untuk ahli ibadah (sekitar jam 3 pagi hingga sebelum subuh).

2.  Waktu akhir sepertiga malam (waktu sahur) merupakan waktu mustajab doa (doa diperkenan).

3.  Waktu akhir sepertiga malam (waktu sahur) waktu Allah mengampunkan dosa kepada yang memohon keampunan. Firman Allah:

وَبِالْأَسْحَارِ هُمْ يَسْتَغْفِرُون

Ketika waktu sahur (akhir-akhir malam), mereka berdoa memohon keampunan”  (QS. Adz Dzariyat: 18)

4.  Rugilah mereka yang bangun di penghujung malam hanya untuk makan sahur atau ke bilik air semata-mata.

Rebutlah peluang waktu istimewa ini dengan solat sunat seperti tahajud  dan  berdoa serta memohon  keampunan daripada dosa.

RAMADAN MUBARAK MEMBINA GENERASI RAHMAH

#SemarakUkhuwahMemacuPerubahan
#MalaysiaMenujuNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor

14hb Mei 2019
09hb Ramadan 1440H