Nasi Ulam Utara Dan Sayoq Keladi Gandingan Yang Sedap

by - May 07, 2020

Nasi Ulam Utara Dan Sayoq Keladi Gandingan Yang Sedap | Memang dah macam suatu kemestian bila bulan Ramadan jer mesti nak buat nasi ulam walau dulu masa muda remaja saya bukan la suka makan sayur apatah lagi nasi ulam yang penuh sarat dengan sayuran.  Ok..tu cerita lama.  

Kalau kat kampung en hubby di Ayer Itam, Kedah kalau buat nasi ulam sayur keladi maknanya  mesti ada sayur keladi masak asam walau dulu rasa macam pelik sebab saya makan nasi ulam nak enjoy rasa dan bauan ulam tu tapi bila dah terbiasa makan dengan sayur keladi...memang sedapnya 

Sayur Asam Pedas Keladi Gandingan Nasi Ulam Utara Yang Terlajak Sedap


Nasi Ulam Utara yang sangat sinonim dengan orang di sebelah utara seperti Kedah, Perak, Penang dan Perlis.  Nasi ni sangat istimewa sebab penyediaannya memerlukan lebih kurang 99 jenis ulaman tapi sekarang ni bukan mudah nak dapat ulaman walau duduk dikampung sekali pun jadi kita buat dengan apa yang ada ya. Nak dijadikan cerita ajak la en hubby cari daun sekentut sebab memang tak dijual pun daun ni tapi rasa macam pernah nampak kat kebun dan sekitar kawasan perumahan tapi hampa. Pujuk hati, tak apa sebab daun lain kan ada.  Bila dah siap terus isikan untuk disedekah kepada jiran tapi bila en hubb balik ke rumah dia siap bawa balik daun sekentut! Rupanya jiran sebelah ada menanam..haha. Punya la jenuh mencari tapi rupanya ada kat sebelah rumah jer. Jadi apa lagi ambil daun tu terus sambung menghiris dan campur ke dalam nasi ulam yang dah siap tu.

Bila mencincang ulam-ulaman ni teringat kat Allahyarham abah yang ambil tugasan menghiris ulaman ni hingga saiz yang kecil, nak suruh en hubby? owhh tak la sebabnya dia bukan peminat nasi ulam.  Memang lenguh!

Sayur Asam Pedas Keladi Gandingan Nasi Ulam Utara Yang Terlajak Sedap

Resepi Nasi Ulam Utara

Bahan:-
Nasi putih yang dibiarkan sejuk
2 sudu kerisik
Ikan tenggiri jeruk atau ikan talang masin yang digoreng (dibuang tulang dan diperisi dan ditumbuk supaya hancur)

Bahan untuk ditumbuk:-
3 batang serai
1/2 inci lengkuas - jangan terlalu banyak sebab lengkuas ni agak panas
1 labu bawang besar
4 ulas bawang kecil
2 sudu lada hitam
garam secukup rasa

Bahan untuk dihiris:-
1 ikat daun pegaga
1 ikan daun cekur
daun sekentut
ulam raja
daun gajus
daun kesom
daun kaduk
daun mengkudu
daun kunyit
daun kari
daun limau purut
daun putat
daun selasih
daun ketumbar
daun lemuni
bunga kantan
daun belalai gajah
pucuk tenggek burung
pucuk dakap anak
pucuk jambu batu
pucuk cemumar
5 helai daun selasih

Nota : Kalau ada food chopper pasti tak lenguh tangan tapi bila menghiris dan mencincang ulaman ni ke saiz yang cukup kecil ni thrill dan bila makan tu rasanya meresap ke jiwa gitu

Bahan dihiris untuk hiasan:-
1 labu bawang merah
2 biji cili masak


Cara membuatnya:-
Nasi yang telah ditanak, dikeluarkan dari periuk dan biarkan didalam talam untuk lebih cepat sejuk
Bahan yang ditumbuk, ulaman yang dihiris, kerisek dan ikan masin, bawang besar dan cili merah dicampur ke dalam bekas berisi nasi dan digaul sampai sebati dan masukkan nasi, digaul menyeluruh sampai sebati dan nasi bertukar warna. Masukkan garam secukup rasa.

Nota : Kalau suka pedas boleh taburkan lebih lada yang telah ditumbuk

Bagi orang Kedah (kat kampung en hubby) sayur keladi ni lain sikit dan saya lihat Allahyarhamah ibu mertua akan masukkan isi ikan kembung rebus dan sejak dari tu kalau ada ikan kembung memang saya akan rebus, perisi dan masukkan ke dalam sayur keladi..rasanya memang sedap dan pekat.

Resepi Sayoq Keladi
Bahan-bahan:-
1 ikat keladi dibersihkan dan disiang serta
2 ekor ikan kembung direbus, diperisi *
10 batang cili kering
2 inci belacan *
3 biji bawang merah *
2 ulas bawang putih *
1 sudu lada hitam *
1 batang serai, dititik
3 keping asam keping
2 mangkuk air
Garam secukup rasa
2 sudu ajinomoto

* ditumbuk/dikisar

Cara membuatnya:-

  • Batang keladi yang telah dibersihkan, dipotong dalam 3 inci, direbus dengan asam keping hingga lembut dan bagi menghilangkan gatal.  Angkat dan toskan
  • Bahan yang ditumbuk/dikisar dimasukkan dalam periuk bersama serai yang dititik dan direnih hingga masak kemudian masukkan air bersama asam keping, bila kuah sudah mendidih, masukkan batang keladi dan dimasak dalam 10 minit. 
  • Akhir sekali masukkan garam dan ajinomoto. Siap

You May Also Like

5 Comments

  1. Ramai betul bahan2 nak buat nasi ulam ni.

    ReplyDelete
  2. Dina sebagai anak jati kedah memang cukup berkenan dengan nasi ulam. Arwah tok Dina dulu tak boleh kalau takdak nasi ulam ni

    ReplyDelete
  3. sedap nih...masam2..time sahur mmg nikmat..

    ReplyDelete
  4. Boleh tengok je. Nak buat memang tak mampu..

    ReplyDelete
  5. Dulu pernah rasa sekali je bila member bawa masa potluck kat ofis. Nk wat tapi ulam tak byk lak.huhu

    ReplyDelete

Terima kasih atas kunjungan dan komen, sungguh sangat dihargai! Kalau ada kesempatan saya akan balas, InsyaAllah. Komen baik-baik tau!

Thanks for the visit, appreciate your positive comments!