Kelebihan Dan Kehebatan Bulan Muharram Dan Hari Asyura - IAMFUZY™ Malaysia Lifestyle Blog

TERKINI

Post Top Ad

Kelebihan Dan Kehebatan Bulan Muharram Dan Hari Asyura

Kelebihan Dan Kehebatan Bulan Muharram Dan Hari Asyura | Muharram bulan yang cukup istimewa dan merupakan bulan pertama dalam kalendar Islam, antara bulan dengan pelbagai kelebihan. Hari ini, Jumaat terakhir tahun Islam 1443H dan petang ini akan tiba 1 Muharram 1444H, permulaan tahun baru Islam. Bulan Muharram juga dikenali sebagai salah satu daripada empat bulan haram sebagaimana yang disebutkan dalam nas.


Sabda baginda SAW: “Dalam setahun itu ada 12 bulan dan di antaranya adalah empat bulan haram. Tiga bulan yang berturut-turut iaitu Zulkaedah, Zulhijah dan Muharam serta bulan Rejab yang berada di antara Jamadilakhir dan juga Syaaban.” (Riwayat al-Bukhari)


 Kelebihan Dan Kehebatan Bulan Muharram Dan Hari Asyura


Firman ALLAH SWT: “Sesungguhnya bilangan bulan di sisi ALLAH SWT adalah sebanyak 12 bulan sebagaimana yang terdapat di dalam kitabullah (Lauh al-Mahfuz) pada hari diciptakan langit-langit dan juga bumi. Di antaranya (bulan-bulan tersebut) adalah empat bulan haram. Demikian itulah agama yang lurus maka janganlah kalian menzalimi diri kalian di dalam bulan-bulan tersebut.” (Surah al-Taubah, ayat 36)


Keistimewaan Dan Kelebihan 10 Muharram

Bila disebut 10 Muharram, pasti teringat Bubur Asyura yang selalu dimasak di masjid, surau atau dibuat bergotong royong atau secara individu, kemudian diagih-agihkan kepada orang ramai atau adik beradik serta jiran tetangga. Tradisi yang baik yang masih dilakukan oleh umat Islam di Malaysia seingga ke hari ini dan ada yang turut berpuasa sepertimana yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW.


Tapi yang menyedihkan ada segelintir umat Islam di Malaysia membawa masuk ajaran menyeleweng syiah ketika sambutan 10 Muharram dengan memukul-mukul dada sambil mengalunkan lagu-lagu dengan senikata untuk memperingati seseorang yang telah meninggal dunia, kononnya untuk mengenang kembali peristiwa Karbala seperti di beberapa negara Asia Barat. Perilaku melampau  dengan menyambut hari ‘Asyura’dengan memukul-mukul badan-badan mereka dengan menggunakan senjata tajam seperti pedang, pisau dan alatan lain sehingga luka dan mendatangkan kecederaan yang parah. Malah kanak-kanak dan bayi kecil yang tidak tahu apa-apa turut  menjadi mangsa kerakusan ajaran yang jauh tersimpang dari landasan Islam yang sebenar. Nauzubillah.


Islam adalah agama Rahmatan Lil A’lamin (rahmat bagi sekelian alam) yang melarang umatnya  membinasakan dan mencederakan diri bagimendapatkan ganjaran dan keredhaan serta rahmat dari Allah SWT.


Mengimbau semula sejarah 10 Muharram yang dirujuk kepada hadis-hadis Rasulullah SAW adalah penting bagi mencari kebenaran dan merungkai keraguan ummah seterusnya memastikan amalan yang dilakukan oleh umat Islam hari ini bertepatan dengan kehendak syariat Islam dan menjauhi perkara atau amalan yang sengaja diada-adakan.


Salah satu daripadanya ialah hadis yang diriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas RA yang bermaksud: “Apabila Nabi SAW datang ke Madinah, Baginda SAW melihat orang-orang Yahudi berpuasa pada hari ‘Asyura’, lalu Baginda bertanya: Apakah ini?. Mereka menjawab:  Hari ini adalah hari yang baik di mana Allah telah menyelamatkan padanya Nabi Musa dan Bani Israil daripada musuh mereka, maka Musa pun berpuasa Lalu Baginda SAW bersabda: Aku lebih berhak dengan Musa daripada kamu, maka Baginda pun berpuasa dan menyuruh orang ramai supaya berpuasa”. (Riwayat al-Bukhari)


Selain itu terdapat sebuah hadis lain yang diriwayatkan daripada oleh Syaidatina Aisyah R.A bermaksud; “Hari ‘Asyura adalah suatu hari yang mana orang-orang Quraish berpuasa padanya ketika Jahiliyyah. Dan Rasulullah S.A.W juga berpuasa pada hari tersebut. Ketika sampai di Madinah, Nabi SAW berpuasa pada hari ‘Asyura’ dan baginda menyuruh umat Islam berpuasa pada hari tersebut. Namun apabila difardhukan puasa Ramadhan, baginda bersabda mafhumnya: Sesiapa yang hendak, maka berpuasalah ia (pada hari ‘Asyura), dan sesiapa yang tidak mahu tinggallah ia (puasa ‘Asyura)”. (Riwayat: al-Bukhari dan Muslim)


Inilah di antara contoh hadis-hadis sahih yang menyebut tentang amalan berpuasa pada hari ‘Asyura’ (10 Muharram). Dapat difahami bahawa puasa pada hari ‘Asyura’ merupakan suatu perkara yang wajib sebelum difardhukan puasa Ramadhan. Apabila puasa Ramadhan difardhukan pada tahun ke-2 Hijrah, maka kewajipan ini telah gugur. Namun ia tetap digalakkan dan merupakan salah satu daripada sunnah yang sangat dituntut.


Malahan berpuasa pada hari ‘Asyura’ (10 Muharram) mempunyai kelebihan dan keistimewaannya yang tersendiri sebagaimana  hadis yang diriwayatkan oleh Qatadah bahawa Nabi SAW bersabda: “Puasa hari ‘Asyura’ itu; sesungguhnya Aku bermohon kepada Allah agar dapat menghapuskan dosa setahun sebelumnya.” (Riwayat: al-Tirmizi).


Dalam mencari keberkatan dengan berpuasa sunat, kita dianjurkan berpuasa pada 9 Muharram, berdasarkan hadis dan bersambung pada 10 Muharram.


“Ketika Rasulullah SAW berpuasa pada hari Asyura dan menyuruh orang ramai berpuasa, maka para sahabat bertanya: Ya Rasulullah! ‘Asyura adalah hari yang diagung-agungkan oleh orang-orang Yahudi dan Nasrani. Maka baginda bersabda: Jika datang tahun hadapan kita akan berpuasa pada hari Tasu’a (hari ke-9 di bulan Muharam). (Berkata Ibn Abbas Maka belum tiba tahun hadapan, Rasulullah SAW telah wafat”. (Riwayat Muslim dan Abu Daud)


Semoga Allah SWT merahmati dan memberkati umat Islam dengan amalan-amalan yang diredhainya dan menjauhkan dari perkara-perkara yang menyimpang dari landasan Islam yang sebenar. Wallahu A’lam


sumber : https://www.mais.gov.my/hari-asyura-2/


Kelebihan Dan Kehebatan Bulan Muharram Dan Hari Asyura


PERISTIWA 10 MUHARRAM

10 Muharram, 'Hari Asyura’ terdapat banyak peristiwa penting yang mencerminkan kegemilangan bagi perjuangan yang gigih dan tabah bagi menegakkan keadilan dan kebenaran. 


  • Allah SWT menciptakan alam, langit, bintang dan sebagainya
  • Allah SWT menciptakan gunung-ganang pada 10 Muharram
  • Diciptakan lautan pada 10 Muharram
  • Diciptakan Qalam (pena untuk menulis amal manusia) pada 10 Muharram
  • Diciptakan Arasy, Luh Mahfuz pada 10 Muharram
  • Diciptakan Nabi Adam AS pada 10 Muharram
  • Dimasukkan Nabi Adam AS ke dalam syurga pada 10 Muharram
  • Dilahirkan Nabi Ibrahim AS pada 10 Muharram
  • Diselamatkan Nabi Ibrahim AS dari api Namrud pada 10 Muharram
  • Diselamatkan anaknya Nabi Ismail AS dari sembelihan pada 10 Muharram
  • Ditenggelamkan Fir’aun pada 10 Muharram
  • Diampunkan kesilapan Nabi Daud AS pada 10 Muharram
  • Dilahirkan Nabi Isa AS pada 10 Muharram
  • Dikeluarkan Nabi Yunus AS daripada perut ikan Nun setelah berada didalamnya selama 40 hari 40 malam pada 10 Muharram
  • Disembuhkan penyakit Nabi Ayub AS pada 10 Muharram
  • Diangkat Nabi Isa AS ke langit pada 10 Muharram
  • Diterima taubat Nabi Adam AS pada 10 Muharram
  • Dianugerahkan takhta kerajaan kepada Nabi Sulaiman AS
  • Diciptakan Arasy pada 10 Muharram
  • Awal-awal hujan yang turun dari langit pada 10 Muharram
  • Awal-awal rahmat diturunkan pada 10 Muharram
  • Diselamatkan bahtera Nuh AS daripada tenggelam sesudah bumi ditenggelamkan selama enam bulan pada 10 Muharram



Peristiwa lain

  • Allah SWT menurunkan kitab Taurat kepada Nabi Musa.
  • Diangkat Nabi Idris AS ke langit pada 10 Muharram
  • Nabi Yusuf dibebaskan dari penjara.
  • Penglihatan Nabi Yaakob yang kabur dipulihkan oleh Allah.
  • Laut Merah terbelah dua untuk menyelamatkan Nabi Musa dan pengikutnya dari tentera Firaun.
  • Allah SWT menjadikan ‘Arasy.
  • Allah SWT menjadikan alam.
  • Allah SWT menjadikan Malaikat Jibril.


Abul-Laits meriwayatkan dengan sanadnya dari Ikrimah RA berkata: “Hari Asyura ialah hari diterimanya taubatnya Nabi Adam. Dan ia pula hari turunnya Nabi Nuh dari perahunya. Maka ia berpuasa syukur; dan ia pula hari tenggelamnya Fir’aun dan terbelahnya laut bagi Nabi Musa AS dan Bani Israil. Maka mereka berpuasa; kerana itu jika dapat, engkau berpuasalah pada hari Asyura.”

Abul-Laits meriwayatkan dengan sanadnya dari Muhammad bin Maisarah berkata: “Barangsiapa yang melapangkan pada keluarganya pada hari Asyura, maka Allah SWT akan meluaskan rezekinya sepanjang tahun itu.” Sufyan berkata: “Telah kami cuba, maka rasakan kebenarannya.”

Said bin Jubair dari Ibn Abbas RA berkata: “Ketika Nabi SAW baru berhijrah ke Madinah, mendapatkan kaum Yahudi puasa pada hari Asyura, maka ditanya kepada mereka tentang itu. Jawab mereka: “Hari itu Allah memenangkan Nabi Musa AS dari Bani Israil terhadap Fir’aun dan kaumnya. Maka kami puasa kerana mengagungkan hari ini”. Maka sabda Nabi SAW: “Kami lebih layak mengikuti jejak Musa dari kamu“, maka Nabi SAW menyuruh sahabat supaya berpuasa.

Abul Laits berkata: “Dinamakan Asyura kerana ia jatuh pada sepuluh bulan Muharram.” Ada lain pendapat yang mengatakan hari Asyura kerana Allah SWT telah memuliakan pada Nabi-nabi dengan sepuluh kehormatan:

Allah SWT telah menerima taubat Nabi Adam AS

Allah SWT menaikkan darjat Nabi Idris AS

Hari berlabuhnya perahu Nabi Nuh AS

Nabi Ibrahim AS dilahirkan pada hari Asyura dan diangkatkan sebagai ‘Khalilullah’ (Kekasih Allah) juga diselamatkan dari api.

  • Allah SWT menerima taubat Nabi Daud AS
  • Allah SWT mengangkat Nabi Isa AS ke langit
  • Allah SWT menyelamatkan Nabi Musa AS
  • Allah SWT menenggelamkan Fir’aun
  • Allah SWT mengeluarkan Nabi Yunus dari perut ikan
  • Allah SWT mengembalikan kerajaan Nabi Sulaiman AS

Semua ini terjadi pada hari Asyura. Sebahagian lain berpendapat, dinamakan hari Asyura kerana ia kesepuluh dari kemuliaan-kemuliaan yang diberikan Allah SWT pada umat ini:

1.Bulan Rejab – Allah SWT menjadikannya sebagai kemuliaan bagi umat ini dan melebihkannya dari lain-lain bulan bagaikan kelebihan umat ini ke atas umat yang lain.

2.Bulan Sya’ban – Allah SWT melebihkannya dari lain-lain bulan bagaikan kelebihan Nabi Muhammad SAW ke atas semua Nabi.

3.Bulan Ramadhan – Allah SWT melebihkannya dari lain-lain bulan bagaikan kelebihan Allah SWT terhadap semua makhluk.

4.Lailatul Qadar yang terlebih baik dari seribu bulan yang lain.

5.Hari Aidil Fitri sebagai hari pembalasan (penerimaan upah)

6.Hari-hari sepuluh (1 hingga 10 Zulhijjah) iaitu hari-hari untuk berzikir kepada Allah SWT.

7.Hari Arafah yang dapat menebus dosa dua tahun.

8.Hari Aidil Adha iaitu hari berkorban.

9.Hari Jumaat yang termulia dari semua hari.

10.Hari Asyura yang puasanya dapat menebus dosa satu tahun.

Dan masing-masing waktu yang tersebut itu ada kemuliaan dari Allah SWT diberikan kepada umat ini untuk membersihkan dan menebus dosa-dosa mereka. Di bawah ini ada beberapa terjemahan hadith untuk panduan kita bersama:

Dari Abu Hurairah RA katanya Rasulullah SAW bersabda: “Seutama-utama puasa sesudah puasa bulan Ramadan ialah puasa bulan Muharram dan seutama-utama solat sesudah solat fardhu ialah solat malam.” (HR Muslim)

Abu Musa Al-Madani meriwayatkan dari Ibnu Umar RA: “Barangsiapa yang berpuasa pada hari Asyura adalah seperti berpuasa setahun dan siapa yang bersedekah pada hari Asyura adalah bagiku bersedekah setahun.” (HR Albazzar)

Dari Abu Qatadah Al-Anshari RA katanya Rasulullah SAW ditanya orang tentang puasa hari Arafah. Jawab Baginda, “Semoga dapat menghapus dosa tahun yang lalu dan yang akan datang.” Kemudian Nabi ditanya pula tentang puasa hari Asyura. Jawab Baginda: “Semoga dapat menghapus dosa tahun yang lalu.” (HR Muslim)

Dari Aisyah RA katanya: “Biasanya orang Quraisy pada masa jahiliah berpuasa pada hari Asyura dan Nabi SAW pun berpuasa. Ketika Baginda tiba di Madinah, Baginda juga berpuasa pada hari Asyura dan menyuruh orang lain berpuasa juga.” (HR Muslim)

Dari Ibnu Abbas RA katanya: “Ketika Nabi SAW tiba di Madinah, Baginda melihat orang yahudi berpuasa pada hari Asyura. Nabi pun bertanya: “Hari apa ini?” Jawab mereka: “Hari ini ialah hari yang baik. Pada hari ini Allah SWT melepaskan Bani Israil dari musuh mereka, kerana itu Nabi Musa berpuasa kerananya”. Sabda Nabi: “Aku lebih berhak daripada kamu dengan Musa”. Oleh itu Nabi berpuasa dan menyuruh orang lain berpuasa pada hari Asyura.” (HR Bukhari)

Rasulullah SAW bersabda: “Berpuasalah kamu pada hari ke-sembilan dan ke-sepuluh Muharram dan jangan meniru cara orang-orang Yahudi.” (HR Al-Baihaqi)

Semoga Allah SWT melimpahkan rezeki dan limpah kurniaNya untuk kita agar dapat mengamalkan dan memuliakan kedatangan awal Muharram dengan cara sambutan yang dilaksanakan oleh para Rasul, Anbiya, Siddiqin, Aulia Allah dan orang- orang soleh. Insya Allah.

sumber : cahayapurnama.com

1 comment:

Terima kasih atas kunjungan dan komen, sungguh sangat dihargai! Kalau ada kesempatan saya akan balas, InsyaAllah. Komen baik-baik tau!

Thanks for the visit, appreciate your positive comments!

Post Top Ad