Nasi Ulam Utara Sayur Keladi Gamit Nostalgia Bulan Puasa | Seperti tahun-tahun lalu, nasi ulam utara sayur keladi ni memang kena buat walaupun sekali tapi kalau bahan dari ulaman tu banyak, memang boleh buat 2 - 3 kali. Dulu anak buah DH buat nasi ulam, pastu dia sejukbekukan ulaman yang dah dirincik halus dan pada Hari Raya Haji dia buat lagi.

Nasi Ulam Utara Guna 14 Ulaman

Sabtu hari tu 10 Ramadan 1444H, seawal selepas subuh kami ke Pasar Chow Kit. Teruja hairan juga sebab DH kata kita kena ke pasar lepas subuh sebab nanti sesak dengan orang ramai. Kononnya misi mencari daun kaduk.


Nasi Ulam Utara Sayur Keladi Gamit Nostalgia Bulan Puasa


Sudah jadi kebiasaan bila bulan puasa mesti nak buat nasi ulam utara, walau sangat mencabar untuk dapatkan walaupun untuk 20 jenis ulaman kat bandar ni. Meamang jenuh sebab bukan semua jenis ulam boleh dibeli dan ada waktu kita perlukan.

Maka, Pasar Chow Kit diterjah seawal lepas subuh tadi untuk mencari ulaman sebab di sinilah dulu tempat bonda kunjungi setiap Sabtu membeli belah barangan dapur dan kat sini memang port pelbagai ulaman kampung. 

Misi mencari daun kaduk rupanya masih tak berhasil kat sini sama macam kat Pasar Datuk Keramat


Selepas puluhan tahun tidak ke sini, Pasar Chow Kit kami jejaki dengan rasa teruja sebab dah bertukar wajah. Memang dah lama bertukar tapi lebih selesa ke pasar yang lebih dekat dengan kediaman. Bab lecak tu tak usah cerita ler.

Terima kasih habibi sebab sudi nak bawa untuk realisasi misi walau tak berjaya.

Memang tersenyum bila terkenang kenangan lama di Pasar Chow Kit ni, betapa dah lama ianya meninggalkan diri sendiri dan terus mencipta kenangan baru dengan kehidupan kini.

Indahnya kenangan untuk diingati.


Maka, nak tak nak, kena la melangkah pagar ke hutan di seberang jalan blok untuk muk mengambil daun kaduk. Daun kaduk ni wangi dan penambah perisa yang penting untuk nasi ulam utara.

Resepi Nasi Ulam Utara



Bahan:-
Nasi putih yang dibiarkan sejuk
2 sudu kerisik
Ikan tenggiri jeruk atau ikan talang masin yang digoreng (dibuang tulang dan diperisi dan ditumbuk supaya hancur)


Bahan untuk ditumbuk:-
3 batang serai
1/2 inci lengkuas - jangan terlalu banyak sebab lengkuas ni agak panas
1 labu bawang besar
4 ulas bawang kecil
2 sudu lada hitam
garam secukup rasa

Alhamdulillah, masih ada rezeki dan kesihatan untuk menyediakan nasi ulam seadanya untuk keluarga.
Nasi ulam ni kena ada sayur keladi, baru laju je kita suap sampai lupa berapa senduk bertambah nasi.

Bahan untuk dihiris halus / diracik:- 
Daun pegaga 
Daun cekur - tiada
Daun sekentut - kebun
Ulam Raja 
Daun Gajus 
Daun kesum - kebun belakang
Daun kaduk - kebun awam
Daun mengkudu - pokok jiran
Daun kunyit 
Daun kari 
Daun limau purut 
Daun putat 
Daun selasih 
Daun ketumbar  
Daun lemuni - tiada
Buah mangga telur



Memang lenguh tangan untuk mencincang/meracik ulaman ni, walau ada food chooper tapi macam tak feel nak chop chop ulaman ni sebab nak rasa vide buat nasi ulam macam dulu.


Bahan dihiris untuk hiasan:-
1 labu bawang merah
2 biji cili masak
1 biji limau, diperah pada nasi (kalau suka)


Cara membuatnya:-
  • Nasi yang telah ditanak, dikeluarkan dari periuk dan biarkan didalam talam untuk lebih cepat sejuk
  • Taburkan bahan yang ditumbuk dan  ulaman yang diracik, digaul dengan  nasi hingga sebati. Masukkan kerisek dan ikan masin dan digaul serata.
  • Akhir sekali taburkan bawang besar dan cili merah yang dihiris dan digaul dengan nasi tadi. Akhir sekali perasakan dengan garam secukupnya. Siap.

Nota : Kalau suka pedas boleh taburkan lebih lada yang telah ditumbuk dan perahkan jus limau nipis sebelum dimakan. Memang terangkat.

Daun Sekentut


Nama pun dah tak sedap apatah lagi baunya bila dihancurkan.  Daun sekentut adalah sejenis daun yang boleh dimakan sebagai ulam sewaktu dalam pantang. Khasiatnya yang boleh membantu membuang angin dalam badan dan mengubati sakit perut dan bisa-bisa sendi. Nama sekentut diberikan sebab daun dan batangnya akan mengeluarkan bau seakan-akan sulfur bila dihancurkan atau dilumatkan.

Resepi Sayur Keladi


Bagi orang Kedah (kat kampung en hubby) sayur keladi ni lain sikit dan saya lihat Allahyarhamah ibu mertua akan masukkan isi ikan kembung rebus dan sejak dari tu kalau ada ikan kembung memang saya akan rebus, perisi dan masukkan ke dalam sayur keladi..rasanya memang sedap dan pekat.




Bahan-bahan:-
1 ikat keladi dibersihkan dan disiang serta
2 ekor ikan kembung direbus, diperisi, ditumbuk
3 keping asam keping
2 mangkuk air
Garam secukup rasa
2 sudu ajinomoto
1 batang serai, dititik

Bahan ditumbuk
10 batang cili kering
2 inci belacan *
3 biji bawang merah *
2 ulas bawang putih *
1 sudu lada hitam *


* ditumbuk/dikisar

Cara membuatnya:-

  • Batang keladi yang telah dibersihkan, dipotong dalam 3 inci, direbus dengan asam keping hingga lembut dan bagi menghilangkan gatal.  Angkat dan toskan
  • Bahan yang ditumbuk/dikisar dimasukkan dalam periuk bersama serai yang dititik dan direnih hingga masak kemudian masukkan air bersama asam keping, bila kuah sudah mendidih, masukkan batang keladi dan dimasak dalam 10 minit. 
  • Akhir sekali masukkan garam dan ajinomoto. Siap