Esok, akan bermula kertas pertama bagi anak-anak yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), yang merupakan ujian terakhir pendidikan menengah atas dan antara syarat untuk pelajar di Malaysia untuk menyambung pelajaran ke peringkat pra-universiti. Pelajar yang telah menduduki SPM mempunyai pilihan sama ada untuk mengambil STPM, Matrikulasi atau kursus asas universiti atau mengambil kursus luar negara seperti A-level.


Doa Ibu Bapa


Doa Ibu Bapa

Tahniah kepada ibubapa yang mengambil cuti bagi memberi sokongan moral kepada anak-anak yang sedang menduduki peperiksaan ini. Selain itu, sokongan dalam bentuk spiritual juga dapat membantu anak-anak kita menduduki peperiksaan dengan tenang dan kita sendiri akan berasa tenang.


Allahumma Ya Baasit Yang Maha Melapangkan, lapangkan dada anak-anak kami Ya ALLAH agar mereka tenang ketika di dewan peperiksaan dan jelas ketika melihat soalan. Allahumma Ya Salam Ya Mu'min, Yang Maha memberi keamanan dan kesejahteraan, berikanlah kesihatan yang sempurna dan keamanan sepanjang tempoh ini.


Doa adalah salah satu cara kita bertawakkal kepada Allah SWT dan berserah kepadaNYA. Sesungguhnya Dialah yang maha merancang dan maha mengetahui atas segala sesuatu


Ibu bapa pastinya inginkan terbaik buat anak-anak, boleh amalkan doa ini ketika anak-anak sedang berjuang dalam peperiksaan.


Doa Ketika Anak-Anak Menduduki Peperiksaan



1. Surah Al-Fatihah – 7 kali

Surah Al Fatihah sememangnya terbukti mempunyai hikmah kelebihan, fadilat dan khasiat yang tersendiri dan sering diamalkan oleh mereka yang mendalaminya. Ia juga sering dibaca di dalam solat dan doa malah sering dibacakan setiap hari dalam kehidupan seharian ramai orang selain dijadikan penawar dan penyembuh berbagai jenis penyakit.


2. Selawat – 7 kali

Sabda Rasullah SAW : Barangsiapa yang berselawat keatasku sekali, nescaya Allah akan turunkan rahmat keatasnya 10 kali ganda – (HR Muslim.)


3. Subhanallah – 44 kali

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barangsiapa mengucapkan ‘subhanallah wabihamdihi’ seratus kali dalam sehari, ia akan diampuni segala dosanya sekalipun

dosanya itu sebanyak buih di lautan.” (Hadis riwayat Muslim dan Tirmidzi)


4. Alhamdulillah – 44 kali

Seseorang hamba yang bersyukur kepada Allah maka Allah telah berjanji akan menambah rezekinya. Bersyukur disini juga boleh dilakukan dengan mengucapkan Alhamdulillah.


5. Allahuakbar – 44 kali

Firman Allah dalam surah surah al-Ra`d, ayat 28 yang bermaksud: “(Iaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka manjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah-lah hati menjadi tenteram.”


6. Ya Hayyu Ya Qayyum – 21 kali

Bacalah Ya Hayyu Ya Qayyum atau Ya Hayyul Qayyum, ia akan membantu anda dalam banyak perkara.


Ya Hayyu Ya Qayyum, Yang menghidupkan, hidupkanlah hatiku, rezekiku, agamaku dan duniaku.


Ya Allah, aku bermohon kepada-Mu, Ya Hayyu bersaksi semua yang hidup, Engkaulah yang memberi nyawa dan memberi kehidupan kepada yang hidup.


7. Bacaan doa berikut:


"Ya Allah Ya Hayyu Ya Qayyum,Ya Rahman,Ya Rahim, Ya Latif, Ya Jabbar, Ya Khaliq, Ya Allah permudahkanlah anak-anak kami di dalam urusan mereka dalam menimba ilmu di atas seruan dan perintah-Mu. Tenangkanlah hati mereka untuk menerima ilmu-Mu, lapangkanlah jiwa mereka untuk mengharungi ujian-Mu dan berkatilah mereka dengan rahmat-Mu".


Amin Ya Rabbalalamin..


Doa Untuk Anak-anak Yang Menduduki Peperiksaan

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـنِ ٱلرَّحِيم

ALFATIHAH

بِسۡـــــــــمِ اللَّــــــــــهِ ٱلرَّحۡـمَـٰنِ ٱلرَّحِـــــــيمِ

اَلْحَمْد ُ ِللهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ

وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلىَ

أَشْرَفِ اْلأَنْبِيَاء ِ وَالْمُرْسَلِيْن

وَعَلَى ءَالِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعين


YA ALLAH,

Peliharalah kesihatan anak-anak kami di hari peperiksaan. Permudahkanlah mereka menjawab soalan ketika peperiksaan nanti. Berikanlah ketenangan kepada mereka ketika menjawab soalan, jauhilah mereka daripada resah dan gelisah ketika menjawab soalan peperiksaan.


YA ALLAH,

Dorongkanlah hati mereka untuk menjawab setiap soalan sepertimana skema jawapan.


YA ALLAH,

berilah keputusan cemerlang dalam peperiksaan anak-anak kami. Mudah-mudahan dengan keputusan yang cemerlang ini mereka dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi lagi, semoga ia sebagai pembuka jalan untuk mereka menjadi hamba Mu yang soleh dan solehah dan menghampiri diri mereka kepada mu ya Allah.


YA ALLAH,

Jadikanlah anak-anak kami pelajar yang cemerlang di dunia dan di akhirat, kami mohon kepada Mu, Kau perbaiki akhlak anak-anak kami.


Ya ALLAH,

kami tidak mampu mengawasi anak-anak kami setiap waktu YA ALLAH, kami serahkan anak-anak kami untuk berada di bawah penjagaan Mu YA ALLAH. Gerakkanlah hati mereka untuk mereka berada di tempat-tempat yang Engkau redhai. Dan jauhilah mereka daripada berada di tempat yang Engkau murkai.

Jauhilah mereka daripada melakukan amalan-amalan yang membawa mereka ke neraka Mu ya Allah.


YA ALLAH,

Tetapkan hati mereka untuk menunaikan solat dan jangan Kau melalaikan mereka dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah YA ALLAH.


YA ALLAH,

Apa yang kami doakan ini bukan untuk diri anak-anak kami sahaja, tetapi apa yang kami doakan ini juga untuk anak-anak rakan dan sahabat kami YA ALLAH. Berikanlah mereka kejayaan yang cemerlang di dunia dan di akhirat YA ALLAH.


YA ALLAH

Perkenankanlah doa kami ini.


رَبَّنَا ظَلَمْنَا أَنْفُسَنَا وَاِنْ لمَ ْتَغْفِرْلَنَاوَتَرْحَمْنَا لَنَكُوْنَنَّا مِنَ اْلخَاسِرِيْنَ.

رَبَّنَا اغْفِرْلَنَا وَِلاِخْوَانِنَا اَّلذِيْنَ سَبَقُوْنَ بِاْلاِيْمَانِِ وَلاَ تَجْعَلْ فِى قُلُوْبِنَا غِلاًّ لِلَّذِيْنَ آمَنُوْا رَبَّنَا اِنَّكَ رَؤُوْفٌ رَحِيْمٌ.

رَبَّنَا آتِنَا فِى الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَاْبَ النَّارِِ.

رََََبَّنَا تَقَبَّلْ مِنَّا اِنَّكَ أَنْتَ السَّمِيْعُ اْلعَلِيْمُ وَتُبْ عَلَيْنَا اِنَّكَ أَنْتَ التَّوَّابُ الرَّحِيْمُ. وَصَلَّى اللهُ عَلىَ سَيِِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلِهِ وَصَحْبِهِ وَسَلَّمَ. سُبْحَانَ رَبِِّكَ رَبِِّ اْلعِزَّةِ عَمَّا يَصِفُوْنَ

وَسَلاَمٌ عَلَى اْلُمرْسَلِيْنَ وَاْلحَمْدُ لِلهِ رَبِِّ اْلعَالَمِيْنَ.


امين يا رب العالمين.


Akhirkata

Semoga amalan berzikir dan berdoa yang berterusan ini diterima Allah SWT dan anak-anak kita berjaya dengan cemerlang dalam peperiksaan.

Sebagai ibubapa, kita jangan terlalu menekan anak-anak dan membandingkan anak-anak ini dengan mereka lain yang telah berjaya.

Pastinya anak-anak ini telah berusaha dan berikan mereka ruang untuk bertenang dan ibubapa juga harus bertenang dan tawakkal kepadaNYA. InsyaAllah.

Semoga anak-anak kita dipermudahkan menjawab soalan-soalan peperiksaaan dengan tenang dan mendapat keputusan terbaik.