Keropok ubi kayu ni tak sama dengan kerepek ubi kayu, malah cara pembuatan keropok yang bersaiz besar ni pun berbeza. Umi dok cari juga kalau ada nama lain yang unik macam sesetengah makanan tapi tak jumpa.
Rupanya Dipanggil Opak-Opak Ubi
Akhirnya umi dapat tau nama ni bilamana pengikut umi di Lemon8 bagi tau keropok ini dipanggil opak-opak.
Tapi bagi kita mudah jer panggil keropok ubi kayu je
Memang dah lama tak makan keropok ubi ni. Dulu waktu kecil, abah rajin singgah gerai tepi jalan yang banyak di sepanjang perjalanan balik ke KL.
Umi pernah makan keropok ubi yang berwarna merah, hijau yang jenis kering dan perlu digoreng dan akan mengembang besar. Ni lebih bagus sebab lebih rangup dan tak lemau.
Kalau sesiapa tak pernah tahu dan tak pernah jumpa dan tak pernah rasa, saiz opak-opak yang umi beli ni ada dalam 6 inci x 6 inci. Memang besar.
Dalam plastik ni ada 2 keping keropok dan dijual dengan harga RM6. Keropok ni juga dicampur dengan cili tumbuk sebab ada nampak cili kering yang kasar-kasar pada keropok ni.
Tapi yang tak bestnya, kedua-dua bungkusan keropok ni agak lemau dan rasanya dah agak lama. Mungkin tak ramai orang yang kenal keropok ni dan tak berminat untuk merasa, jadinya tidak terjual dalam jangkamasa yang sepatutnya.
Umi pun beli sebab nak support lokal. Tapi tak per, at least dapat hilang rasa rindu nak makan keropok ni dan lain kali kena tengok betul-betul sebelum dibeli atau beli yang jenis perlu digoreng. Harapnya ada la nanti.
Nak Beli Air Nira Jumpa Keropok
Keropok ni umi beli masa singgah di gerai kat Teluk Intan waktu dalam perjalanan balik ke Kuala Lumpur.
Kalau nak beli korang kena ikut WCE dan waze bagi lalu kami dari Lumut ke Teluk Intan. Bila dah lalu jalan lama ni. memang banyak lah gerai jualan kat sepanjang jalan.
Asalnya habibi nak beli air nira je sebab dah lama tak minum air nira katanya, walhal baru tahun lepas (bulan Disember 2024) hari tu dia minum kat Ladang Kifli. Ehh, lama juga tu kan.
Kalau dulu memang tiada lebuhraya, tiada R&R, jadi memang semua orang akan guna jalan kampung dan singgah ke gerai-gerai untuk membeli
Bila dah dapat tau nama ni, lebih mudah bila digoogle. Rupanya, nak buat pun renyah dan perlu kesabaran.
Dari apa yang dibaca, cara pembuatannya pun masih dalam kaedah tradisional dan sangat unik serta kreatif, malahan dibuat secara manual bukan dengan mesin.
Renyah Betul Nak Buat Opak-Opak Ni
Keropok ni dan kerepek ubi kayu tak sama ya walau keduanya dihasilkan dari ubi kayu. Pembuatan opak-opak ni lebih leceh dan umi dapat jumpa untuk dikongsi kotlah ada yang nak buat.
Cara pembuatannya ada sedikit persamaan dengan pembuatan keropok, kerepek, tebaloi dan sebagainya. Bagaimanapun kaedah tradisional ini sangat unik dan kreatif.
Bahan-bahan untuk Opak-Opak Ubi Kayu Tradisional
1 kg Ubi Kayu
1 cmt Garam
Minyak untuk menggoreng tenggelam
Air untuk mengukus
Cara membuat Opak-opak Ubi Kayu Tradisional
Ubi kayu diparut sehingga habis.
1. Perah ubi kayu menggunakan kain maslin dan airnya disimpan. Air ubi kayu yang diperah dibiarkan mendak selama lebih kurang setengah jam.
2. Ubi kayu yang telah diperah dikisar lagi untuk menjadikannya lebih halus jika perlu. Lebih halus ubi kayu dikisar, lebih nipislah opak-opak ubi kayu yang boleh dihasilkan.
3. Setelah air ubi kayu mendak, buangkan airnya dan ambil sagunya termendak.
4. Campurkan sagu dan garam kedalam ubi kayu yang telah dikisar halus. Kacau sehingga sebati dan garam betul-betul larut.
5. Dapatkan sebuah periuk dan beberapa keping tutup periuk.
6. Masak air dalam periuk sehingga mendidih. Kecilkan api dan biarkan ia sentiasa merenih perlahan.
7. Sementara itu, tepekkan campuran ubi kayu tadi dibahagian bawah tutup periuk. Dapatkan senipis yang mungkin.
8. Tutupkan periuk menggunakan penutup periuk yang telah ditepekkan dengan ubi kayu tadi dengan keadaan ubi kayu berada didalam periuk. Biarkan ubi kayu terkukus selama 10 saat.
9. Setelah masak, angkat tutup periuk dan biarkan sejuk sedikit. Sementara itu kukuskan ubi pada tutup periuk yang lain.
10. Tanggalkan ubi kayu yang telah dikukus daripada penutup periuk dan letakkan diatas dulang. Tutup periuk boleh digunakan semula untuk menepek dan mengukus ubi kayu yang lain.
Nota
1, Ubi kayu yang telah dikukus perlulah dijemur dan dibiarkan kering selama 2 hingga tiga hari.
2. Setelah, ubi kayu benar-benar kering, goreng didalam minyak yang banyak sehingga kekuningan. Opak-opak ini akan mengembang besar jadi sila gunakan kuali yang besar.
3. Opak-opak yang separuh kering juga boleh digunting agar saiznya lebih kecil dan mudah digoreng.
4. Opak-opak ubi kayu sedia dinikmati.
Resipi kredit : Cek Pah Chickeboom
0 Comments
Terima kasih atas kunjungan dan komen, sungguh sangat dihargai! Kalau ada kesempatan saya akan balas, InsyaAllah. Komen baik-baik tau!
Thanks for the visit, appreciate your positive comments!