Bismillahirohmanirohim. Innalillahiwainnaillahirojiun. Mak dah dijemput penciptaNYA pada 25 Oktober 2026 jam 6.47 pagi (catatan surat kematian 06.56 pagi). Dah 16 hari mak pergi, baru ada kekuatan untuk menulis untuk kenangan
25 Oktober 2026 Mak Tinggalkan Kami
Kalau ikutkan jadual, umi, dan suami akan hantar CikCha balik ke Nilai untuk selesaikan tugasan sebagai ahli Majlis Tertinggi di Politeknik tapi selepas selesai solat Subuh, umi pergi ke ruang tamu untuk caj telefon, tetiba ada panggilan masuk. Terus umi slide, sambil cakap dalam hati dok berkata, ishh awal betul scammer ni telefon. Terdetik pulak ehh, no tertera tu macam nombor dalam kawasan perumahan. Panggilan masuk lagi dari nombor yang sama, terus umi jawab.
"Ni waris Puan Ramlah? Puan Ramlah sudah meninggal dunia" kata nurse yang memanggil.
Speechless dan ucapkan terima kasih.
Angah Ammar yang baru balik dari memancing terus bergegas keluar rumah sebaik mendengar umi ucap Innalillahiwainnaillhirojiunn. Langsung tak bertanya apa-apa.
0641 Mesej whatsapp keluarga " Nak inform hospital call, mak dah tak ada"
0641 Kak Jang " betul ke"
0651 Bang Ngah " Abg, baru kluar jap minum, betul ke
Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan (HATTM) hanya sepelaung dari rumah. Jam 0705 umi sampai masuk ke bilik yang menempatkan mak sebelum diminta keluar kerana pihak hospital nak uruskan membuka tiub oksigen, susu pada mak. Angah Ammar duduk menanti tanpa kata dan kemudian Bang Ngah pun sampai masih dengan perasaan tidak percaya.
Kata Bang Ngah, jam 0620 dia bagi mak minum susu (melalui tiub) dan dia update di grup WA famili. Lepas tu dia keluar untuk minum sebab malam tu, memang tugasan Bang Ngah jaga mak.
Sementara menunggu nurse persiapkan mak, umi sempat berborak dengan wanita warga Africa yang menjadi pembantu salah seorang pesakit di sebelah katil mak. Dia kata mak masih elok bernafas mcam biasa waktu Bang Ngah keluar dari bilik.
Bang Ngah cakap tiada apa yang nampak janggal dan susu pun elok je masuk melalui tiub, tak macam sehari sebelum tu waktu umi masukkan susu pada tiub, susu keluar balik dari mulut mak. Mungkin sebab keadaan kedudukan kepala mak.
Selesai nurse persiapkan mak, kami minta untuk bawa jenazah mak bawah di bilik mayat, bukan dimasukkan ke bilik sejuk beku tapi supaya tak mengganggu pesakit yang lain.
Pihak hospital ada sediakan van jenazah untuk bawa jenazah mak tapi kami batalkan sebab Kak Uda yang bekerja dengan JPAM dah buat semua urusan untuk mengambil jenazah untuk dibawa ke surau Addiniah dan van jenazah yang sama akan bawa mak ke tanah perkuburan.
Sementara menunggu van jenazah, adik Chef Ross dan anak buah ambil tugasan untuk buat report kematian di Balai Polis Wangsa Maju dan terus ke pejabat tanah perkuburan di Raudhatul Sakinah untuk tapak kubur.
Kak Ndak pulak ambil tugasan memberitahu pihak surau untuk penyediaan bilik untuk memandikan mak nanti apatah lagi Kak Ndak juga salah seorang pemandi jenazah muslimah.
Jam 0850 van jenazah sampai untuk membawa mak untuk urusan seterusnya.
Mandikan Mak
Jam 10 urusan membersihkan, memandikan mak berjalan dalam suasana yang sangat sayu. Anak-anak perempuan mak ambil tugasan. Kak Lang (kakak sulung), Kak Jang, Kak Ndak, Kak Uda, Umi, Azwa (cucu, anak Kak Uda), Iffa (cucu, anak Kak Jang)
Selesai mak dibersihkan, anak-anak lelaki mak pulak ambil turn memandikan mak (Bang Chaq, Bang Ngah, Bang Teh & adik Chef Ross), kemudian diikuti para menantu, cucu, anak saudara mak dan saudara yang ambil kesempatan memandikan mak.
Selesai urusan mandi, mak dikafankan, dipakaikan celak. Memang cantik betul mak, manis dan seakan tengah tidur. Mulut mak yang agak senget (dikatakan mak kena minor strok) pun nampak elok sempurna, kaki mak yang mengerekot pun agak lurus. Alhamdulillah.
Sebenarnya umi mengharapkan urusan dilewatkan kerana dua cucu yang mak dan abah jaga sejak lahir hingga berusia 12 tahun masih berada di Taman Negara untuk Trail Run. Tapi disebabkan bila lewat pasti akan hujan, jadi urusan dijalankan dan berjalan sangat lancar.
Adik Imamkan Solat Jenazah
Adik Chef Ross mengambil tempat menjadi imam solat jenazah. Allahuakbar, pasti roh mak bahagia kerana disolatkan oleh anak sendiri dan ramai yang ambil peluang untuk solatkan mak. Ada 3 saf lelaki dan 2 saf perempuan. Tapi sayang umi dan dua orang kakak tak sempat nak solat sebab memang cepat betul urusannya.
Selesai urusan solat, jenazah mak dibawa ke tanah perkuburan, diikuti anak cucu mak, saudara dan jiran.
Urusan Pengebumian
Jenazah mak sampai ke tanah perkuburan lebih kurang jam 1240, anak lelaki mak, menantu serta cucu mak sama-sama membantu mengangkat dan menyimpan mak ke liang lahad. Lebih kurang jam 1340, urusan pengebumian mak selesai dengan semudah-mudah urusan. Alhamdulillah.
Memang cukup dipermudahkan urusan mak dari hospital hingga ke tanah perkuburan. Malahan rumah akhir mak ni cukup tenang, hanya ditepi laluan tanpa menggangu kuburan yang lain dan cukup redup dengan dua pokok besar memayungi kubur mak.
Tiada lagi rutin mak, tiada lagi rutin umi ke rumah mak untuk menguruskan mak, siapkan sarapan, makanan tengahhari, berborak dan bergurau dengan mak. Tiada lagi!
Walau mak dah tiada, kenangan bersama mak, tetap segar sampai hingga akhir hayat.
Kawan-kawan kata, dah puas umi jaga mak tapi sebenarnya umi masih tak puas jaga mak. Jadi kalau sesiapa yang masih punya mak, jagalah mak, sayangilah mak sementara dia masih ada. Kalau korang sendiri jadi mak, jadilah mak yang sebaiknya untuk anak-anak.
Baca Juga
https://www.iamfuzy.com/2018/07/abah-dalam-doa-dan-ingatan.html
https://www.iamfuzy.com/2022/04/doa-buat-bonda-ya-allah-swt-berikan.html




0 Comments
Terima kasih atas kunjungan dan komen, sungguh sangat dihargai! Kalau ada kesempatan saya akan balas, InsyaAllah. Komen baik-baik tau!
Thanks for the visit, appreciate your positive comments!