Kesian Halim dengan wife dia bila kedai yang terletak di Wangsa Maju Seksyen 2 ni terbakar atau dibakar?..semoga bertabah ya Halim.  Kat sini la kami selalu dinner dengan tomyam yang sedap, nasi goreng lazat dan owner kedai yang sangat ramah.  Semoga terus maju ya Halim dan anggap la ini sebagai dugaan.




Kedai penyanyi dibakar

Oleh Zaitie Satibi
am@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: “Saya hampir pengsan melihat api menjulang memusnahkan kedai makan yang saya usahakan selama 10 tahun,” kata bekas anggota kumpulan 2 By 2, A Halim Mamat, 37, menceritakan detik cemas kebakaran kedai makan miliknya di Seksyen 2, Wangsa Maju, di sini, awal pagi semalam.
Kejadian jam 1 pagi itu menyebabkan kedai makanan Thai yang diusahakan Halim bersama isteri yang juga bekas penyanyi kumpulan Genuine, Norsalawati Karman, 35, musnah.

Menurut Halim, ketika kejadian dia sedang tidur apabila tiba-tiba dikejutkan Norsalawati dan memaklumkan mengenai kebakaran itu.
“Isteri saya dihubungi sepupunya yang tinggal berhampiran kedai makan kami dan memberitahu mengenai kejadian. Kami sangat terkejut kerana hanya sejam sebelum itu kami baru saja pulang selepas memeriksa kedai yang ditutup seminggu sempena Aidilfitri,” katanya.

Halim berkata, dia segera ke tempat kejadian, manakala Norsalawati terpaksa tinggal di rumah kerana menjaga empat anak mereka.

“Tubuh saya lemah sejurus tiba dan melihat api marak membakar kedai makan ini yang juga satu-satunya sumber utama pendapatan selepas saya dan isteri berhenti menyanyi.
“Kedai makan ini saya usahakan ketika masih lagi aktif dalam nyanyian sebagai bekalan selepas tidak lagi berkecimpung dalam bidang seni,” katanya.

Katanya, akibat kejadian itu, dia dan enam pekerjanya kini hilang sumber pendapatan.
“Api dipadamkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Setapak dan kebakaran sebenar masih disiasat,” katanya yang mengesyaki kebakaran itu disebabkan perbuatan khianat dan menganggar kerugian RM60,000.

Nasib malang menimpa pasangan itu yang popular sekitar 1990 turut mendapat perhatian rakan artis lain apabila seorang lagi bekas anggota 2 By 2, Zul dan isteri, Isma, yang juga bekas pelajar Akademi Fantasia musim ke-7 (AF7) datang melawat.

Turut melawat tempat kejadian, Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Wangsa Maju, Mohd Rasyid Abdul Samah dan Naib Ketua Umno Bahagian Wangsa Maju, Hamdan Mohd Yusuf.

Halim berkata, dia dan isteri berharap dapat membina semula kedai makan itu dan berharap ada pihak bersimpati dan menghulur sumbangan.
Artikel ini disiarkan pada : 27/08/2012