Sebutkanlah Innalillahiwainnailaihiroji'un Bukan AlFatihah Bila Menitip Kematian | Sedekah ialah memberikan sesuatu yang sudah kita miliki, adapun pahala bacaan Al-Fatihah belum tentu dimiliki oleh kita kerana boleh jadi saja ianya ditolak oleh Allah SWT kerana tidak ikhlas, tidak betul tajwid atau salah sebutan bacaan sehingga maknanya lari. 




Lalu jika pahala al-fatihah itu pun belum dijamin dapat, bagaimana mahu diberikan kepada orang lain? Kalau sedekah harta dan sesuatu milik kita maka hal tersebut sudah jelas dan sememangnya diterima oleh syarak.

Ucaplah  Inna Lillahi wa inna ilaihi raji'un Apabila Mendengar Kematian Bukan Menyebut AlFatihah




Sunnah mengajar kita supaya membaca 'إنا لله وإنا إليه راجعون  apabila mendengar berita kematian atau musibah dan kemudian mendoakan si mati jika dia orang yang beriman dengan membaca doa yang baik-baik seperti contohnya doa :

اللهم اغفر له وأعقبنا عقبى صالحة '

Ya Allah, ampunilah dia dan gantikanlah bagi kami dengan ganti yang baik. [Riwayat Abu Daud] atau membaca doa yang masyhur dibaca ketika solat jenazah :

اللهم اغفرله وارحمه وعافه واعف عنه

Tiap amalan yang kelihatan baik tetapi tidak dilakukan oleh Rasul dan para sahabat pastinya tertolak atau tidak benar sebab jika ianya perkara baik sudah pasti mereka akan mendahului kita. Ini berdasarkan kata-kata Huzaifah al-Yaman RA yang menyebut :

كل عبادة لم يتعبدها أصحاب رسول الله صلى الله عليه وسلم فلا تعبدوها

Setiap ibadah yang tidak dilakukan oleh para sahabat Rasulullah Salallahualaihiwassalam maka janganlah kamu melakukannya.


Namun, jika ada yang tetap mahu berkeras melakukan amalan membaca surah al-fatihah dan menyedekahkannya kepada orang mati maka janganlah dicela atau dimusuhi mereka sebaliknya menjaga ukhuwah dan persaudaraan se-Islam itu adalah lebih utama dan lebih mulia

Daripada Jabir RA menyebut, bahawa Nabi Sallahualaihiwassalam bersabda :

إِنَّ الشَّيْطَانَ قَدْ أَيِسَ أَنْ يَعْبُدَهُ الْمُصَلُّونَ فِي جَزِيرَةِ الْعَرَبِ ، وَلَكِنْ فِي التَّحْرِيشِ بَيْنَهُمْ

Sesungguhnya syaitan telah berputus asa untuk disembah di jazirah Arab tetapi dia akan berusaha menanamkan bibit permusuhan di kalangan manusia. [riwayat Muslim no. 2812]