FAMA, Shopee Lancarkan Pameran Durian Maya Pertama

by - July 14, 2020

FAMA, Shopee Lancarkan Pameran Durian Maya Pertama | Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) kini bekerjasama dengan Shopee, platform e-dagang no. 1 Malaysia untuk satu lagi inisiatif baharu, Durian E-Fiesta, sebagai bukti komitmen terhadap agenda digitalisasi dan e-dagangnya.



Dato’ Zainal Abidin bin Yang Razalli, Ketua Pengarah FAMA berkata, “Ketika wabak Covid-19 di Malaysia berada di puncaknya pada bulan Mac lalu, ia telah memberikan kejutan kepada seluruh negara dan pelbagai sektor termasuk sektor pertanian yang tidak terkecuali. Sebelum ini, tiada siapa yang menjangkakan bahawa mereka dapat menjual hasil segar dan sejuk beku secara atas talian, tetapi wabak ini telah mendorong banyak pihak termasuk para petani untuk meneroka penjualan atas talian buat julung kalinya. Langkah ini juga selari dengan harapan YAB Perdana Menteri agar sektor perniagaan dalam bidang e-dagang di pertingkatkan dan menjadikannya satu trend baharu urusniaga. Oleh demikian, kami bekerjasama dengan Shopee demi memberi lebih banyak insentif kepada sektor pertanian untuk terus berada di atas talian dan yang lebih penting lagi, lebih ramai petani akan mendapat manfaat walaupun selepas PKPP. Kami akan melaksanakan kerjasama ini melalui beberapa siri kempen bertema yang menarik bermula dengan Durian E-Fiesta di Shopee bersempena musim durian yang sudah tiba."

Durian E-Fiesta di Shopee akan menjadi pameran jualan durian maya pertama di Malaysia. Program ini akan berlangsung dari 15 hingga 19 Julai dan menampilkan lebih daripada 220 tawaran, para peminat durian boleh memilih daripada pelbagai jenis durian seperti Musang King, Udang Merah, D24, Hor Lor, Kampung, dan sebagainya.

Sebagai dorongan untuk transformasi perniagaan, FAMA dan Shopee akan memberi sokongan kepada peniaga durian melalui pembiayaan baucar menarik seperti potongan harga RM5 dengan perbelanjaan minimum RM1, potongan harga RM20 dengan perbelanjaan minimum RM100 dan banyak lagi. Selain itu, pengguna juga dapat menikmati Musang King di Jualan Kilat Shocking Sale pada harga RM10 sahaja ketika berlangsungnya Durian E-Fiesta.

Mengulas mengenai kolaborasi bersama FAMA, Ian Ho, Pengarah Urusan Serantau Shopee berkata, “Biasanya tempoh inkubasi untuk penjual dan pengguna adalah yang paling sukar. Pertama sekali, kami perlu memastikan bahawa penjual kekal berada dalam sistem dan perkhidmatan mereka adalah pada tahap yang optima. Pada masa yang sama, kami harus melatih penerimaan pengguna dan membantu mereka dalam membiasakan diri untuk membeli hasil segar secara atas talian. Oleh itu, kami amat bersemangat kerana mempunyai rakan kerjasama seperti FAMA yang mempunyai pemahaman mendalam tentang ekosistem e-dagang dan bersedia bekerjasama dengan kami bagi mendorong digitalisasi sektor pertanian Malaysia. Selain itu, ini merupakan waktu yang terbaik untuk melaksanakan kerjasama ini memandangkan rakyat Malaysia merupakan penggemar tegar buah durian."

Kedua-dua organisasi ini juga telah mengambil kira para pengguna yang mungkin kurang menggemari Raja Buah. Justeru, Durian E-Fiesta juga akan turut memasarkan buah-buahan pilihan tempatan yang lain seperti manggis, mangga, nenas dan banyak lagi pada kempen

tersebut. Edisi pertama kempen ini adalah terhad di Lembah Klang dan bagi memastikan kesegaran buah-buahan, penghantaran akan dilakukan pada hari berikutnya setelah pesanan dibuat.

Peniaga buah-buahan, terutamanya peniaga durian, akan menerima sokongan dan pendedahan pemasaran maksimum sepanjang kempen ini melalui paparan banner dalam aplikasi, laman mikro-khas, push notifications dan banyak lagi.

Adalah difahamkan bahawa objektif FAMA dan Shopee bagi kerjasama jangka panjang ini adalah untuk memacu sektor pertanian dalam mencapai kemampanan dalam jangka masa panjang menerusi perniagaan secara dalam talian.

Shopee, dalam pada itu, mendedahkan bahawa lebih daripada 2 tan (2,000kg) durian telah dijual melalui platformnya dalam masa 24 jam setelah diberi pendedahan dalam kempen 6.6 Super Sale pada bulan Jun yang lalu. Kata kunci 'durian' juga merupakan salah satu perkataan yang paling banyak dicari pengguna di platform tersebut.

Untuk memuaskan pengidaman durian anda, kunjungi https://shopee.com.my/m/durian-e-fiesta

Sebagai tambahan kepada Durian E-Fiesta, FAMA juga akan memberikan baucar kepada pelanggan yang membeli produk dari kedai rasmi mereka di Shopee. Layari https://shopee.com.my/agrobazaar_fama untuk menikmati potongan harga RM10 dengan perbelanjaan minimum RM50 bagi barangan seperti daging ayam, daging lembu, sayur-sayuran, buah-buahan dan banyak lagi. 

You May Also Like

3 Comments

Terima kasih atas kunjungan dan komen, sungguh sangat dihargai! Kalau ada kesempatan saya akan balas, InsyaAllah. Komen baik-baik tau!

Thanks for the visit, appreciate your positive comments!