Susunan Panggilan Keluarga Keturunan Melayu, Bonda Dapat Piut | Tak sangka saya akan mendapat jawatan sebagai Moyang di usia 52 tahun! Memang teruja dan mungkin ada diantara sahabat dan pembaca blog ini, telah mendapat pangkat yang sama agaknya. 


Macam mana saya boleh menjadi Moyang, walhal anak sendiri pun belum berkahwin dan kalaupun telah berkahwin, dan punya anak, saya akan dapat pangkat Nenek. Tapi dengan kehadiran cicit Abang Chaq (abang sulung) secara tak langsung saya mendapat cicit dan kini memegang gelaran Moyang.


Susunan Panggilan Keluarga Keturunan Melayu, Bonda Dapat Piut


Sebenarnya cicit abang yang sulung (Abang Chaq) juga adalah cicit saya. Kalau Abang Chaq berpangkat Moyang begitu juga saya dan adik beradik yang lain. 


Alhamdulillah cicit Abang Chaq telah selamat dilahirkan pada  11 Jun 2021 jam 12:42 pagi, seberat 3.2 kg di Kelang.


Eira Azman adalah anak sulung kepada anak perempuan sulung Abang Chaq dan Eira yang sebaya Kak Yang Amanda telah melangsungkan perkahwinan di usia 22 tahun pada 22 Ogos 2020.


DH pernah cakap, kalau ada rezeki pasti bonda akan dapat piut dan kalau anak Eira tu piut bonda, dia juga adalah cicit saya! Alhamdulillah, dapat bonda mendapat pangkat Buyut dan saya serta adik beradik adalah moyang kepada anak Eira.


Susunan Keturunan Melayu 

Sewaktu Google tempohhari, terjumpa susunan panggilan keluarga keturuan Melayu yang digunakan seperti berikut:


(Mengikut aturan)

Cilawagi - Nenek Moyang

Cakawari - Datuk kepada Moyang

Buyut - Orang tua atau ibubapa kepada Moyang

Moyang - Bapa atau Ibu kepada Datuk

Datuk/Nenek- Bapa kepada Ayah atau Ibu

Bapa/Ibu - Ayah atau Emak

Anak - Anda Sendiri

Cucu - Keturunan peringkat kedua iaitu peringkat selepas anak

Cicit - Anak kepada Cucu

Piut/Cece(ce'ce') - Keturunan yang kelima (cucu kepada cucu)

Oneng-oneng - one'ng-one'ng (anak piut keturunan yang kelima)


Keturunan ini adalah diantara yang pernah diketahui (sumber-kamus dewan edisi empat).


Ramai diantara kita telah lupa akan susunan keturunan ini dan kata nama bagi panggilannya kerana kebiasaannya semua menggunakan kata singkat kepada kata nama contohnya: 'cucu-cicit' atau 'nenek-moyang' sahaja. 


Perkataan-perkataan itu semua pernah kita dengar kecuali Cilawagi dan Cakawari yang rasanya berasal dari perkataan Jawa. 


Memang wajar kita tahu susunan pangkat yang paling atas teratas sehingga yang terbawah bagi memudahkan kita memanggil sebagai menghormati pangkat mengikut tingkat keluarga.