Kubur adalah tempat di mana jasad manusia dikuburkan. Kubur biasanya ditanda dengan batu nisan atau penanda lain untuk mengenang individu yang telah meninggal. Kubur adalah tempat yang penting dalam setiap agama dan adalah rumah terakhir untuk orang yang telah meninggal. 


Pengenalan

Setiap individu yang meninggal dunia akan dikuburkan mengikut budaya dan upacara keagamaan sepertimana  agama dan budaya masing-masing. Adat dan tradisi berkaitan dengan pengebumian dan kubur boleh berbeza-beza mengikut budaya dan masyarakat.


kubur


Bagi jasad seorang Islam, dia akan dimandikan, disolatkan dan kemudian dikuburkan di tanah perkebumian yang selalunya diuruskan oleh JAWI atau kariah. 


Tanah Perkuburan Di Kuala Lumpur

Tahukah anda kebanyakan tanah perkuburan dibuka pada seawal jam 8 pagi dan ditutup seawal jam 6 petang dan ada yang dibuka sehingga jam 7 malam sahaja sepertimana di tanah perkuburan Islam di Kuala Lumpur





Terdapat 29 tanah perkuburan Islam yang tujuh daripadanya ialah Tanah Perkuburan Islam Raudatul Sakinah yang diuruskan Jawi, diikuti 19 oleh kariah Kuala Lumpur dan tiga di bawah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).


Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang

Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang ialah tanah perkuburan di pusat bandar Kuala Lumpur, Malaysia. Ia terletak di Jalan Ampang berhampiran Pusat Bandaraya Kuala Lumpur. Perkuburan itu diasaskan pada tahun 1819.


Pengebumian terkenal di Tanah Perkuburan Jalan Ampang

  • Tan Sri Datuk Amar Ramlee bin Puteh – pelakon, pengarah, penyanyi, dan penulis lagu. (meninggal dunia: tahun 1973)
  • Tan Sri (Dr.) Zainal Abidin Ahmad (Za'aba) – Tokoh Bahasa, Pemikir dan Cendekiawan Melayu terulung (meninggal dunia: tahun 1973)
  • Tun Mohamed Salleh Ismael – Ketua Polis Negara kedua (meninggal dunia: tahun 1973)
  • Puan Sri Datin Amar Salmah Ismail (Saloma) – Pelakon dan penyanyi filem Malaysia yang berasal dari Singapura dan juga isteri Tan Sri P. Ramlee. (meninggal dunia: tahun 1983)
  • Tan Sri Abdul Rahman Hashim – Ketua Polis Negara (meninggal dunia pada tahun 1974, dalam pembunuhan yang dilakukan oleh subversif komunis semasa Pemberontakan Komunis (1968-1989))
  • Tun Abdul Malek Yusuf – Yang di-Pertua Negeri Melaka kedua (1959–1971) (meninggal dunia: tahun 1977)
  • Tan Sri Abdul Kadir Shamsuddin – Ketua Setiausaha Negara keempat (1970–1976) (meninggal dunia: tahun 1978)
  • Tan Sri Yaacob Abdul Latiff – Datuk Bandar Kuala Lumpur kedua (1973–1983) (meninggal dunia: tahun 1985)
  • Datin Rosnah Jasni (Roseyatimah) – Pelakon filem Melayu era 1960-an dan isteri kepada Dato' Mustapha Maarof. (meninggal dunia: tahun 1987)
  • Tan Sri Abdul Jamil Abdul Rais – Ketua Setiausaha Negara kedua (1964–1967) – Menteri Besar Selangor ke-6 (meninggal dunia: tahun 1994)
  • Tun Mohammad Ismail Mohammad Ali – Gabenor kedua Bank Negara Malaysia (abang sulung kepada Razali Ali) (meninggal dunia: tahun 1998)
  • Tan Sri Ahmad Razali Mohammad Ali – Menteri Besar Selangor ke-10 (adik kepada Ismail Ali) (meninggal dunia: tahun 2001)
  • Dato' Seri Harun Idris – Menteri Besar Selangor ke-8 (meninggal dunia: tahun 2003)
  • Nasir P. Ramlee – Anak lelaki Allahyarham Tan Sri P. Ramlee (meninggal dunia: tahun 2008)
  • Tan Sri Ainuddin Wahid – Tokoh Pendidikan dan Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) (meninggal dunia: tahun 2013)
  • Tan Sri Dr. Salma Ismail – Doktor wanita Melayu pertama (meninggal dunia: tahun 2014)
  • Dato' Mustapha Maarof – Pelakon veteran filem Melayu (meninggal dunia: tahun 2014)
  • Mariani Ismail – Pelakon veteran filem Melayu dan juga kakak Biduanita Negara Puan Sri Salmah Ismail (Saloma) (meninggal dunia: tahun 2015)
  • Tan Sri S.M. Salim – Biduan Negara dan Penyanyi legenda lagu Melayu asli (meninggal dunia: tahun 2016)
  • Tan Sri Elyas Omar – Datuk Bandar Kuala Lumpur ketiga (1983–1992) (meninggal dunia: tahun 2018)


Perbezaan Batu Nisan Lelaki Dan Perempuan

Batu nisan adalah penanda kubur yang biasanya dibuat daripada batu. Di batu tersebut ditulis dengan nama orang yang dikebumikan, tarikh lahir dan tarikh kematian. 


Di perkuburan Islam, bentuk batu nisan kadang-kala menggambarkan sama ada arwah dahulunya merupakan lelaki atau perempuan. Secara tradisi kaum Melayu, untuk orang lelaki, batu nisannya berbentuk bulat; manakala bagi wanita, batu nisannya berbentuk bersegi-segi atau leper. Walau bagaimanapun, tidak semua batu nisan mengikut aturan ini.


Batu nisan mempunyai pelbagai bentuk dan rupa bergantuk kepada kebudayaan dan kefahaman. Tidak semua perkuburan diletakkan batu penanda kerana ketika dahulu, sesetengah masyarakat meletakkan rumah, bangunan, kayu penanda ataupun pokok. Perletakan batu penanda juga mengikut kemewahan atau status seseorang. Catatan pada batu nisan berguna bagi ahli sejarah dan ahli salasilah. Kini, terdapat batu nisan yang memaparkan gambar si mati.


Adab Ketika Menziarahi Tanah Perkuburan

Ketika menziarah kubur, kita bolehlah berdiri ataupun duduk seperti mana sewaktu dia menziarahi si mati dahulu ketika masih hidup.

Ada beberapa adab yang perlu diambil berat ketika menziarhi tanah perkuburan antaranya adalah : 

1. Ucap salam

Sunat memberi salam kepada penghuninya sebaik sahaja melangkah masuk ke kawasan perkuburan,  dengan ucapan:

Salam sejahtera ke atas kamu wahai penghuni kubur dari kaum mukminin dan kami In shaa Allah pasti akan menyusul kalian.

(Hadis riwayat al-Tirmidzi)

2. Elakkan dari melangkah atau memijak atas kubur 

Perbuatan memijak atau melangkah kubur ketika berjalan di kawasan perkuburan adalah perbuatan makruh dan berbentuk penghinaan. Jika terpaksa melangkah kerana laluan yang sempat atau tiada laluan lain kecuali terpaksa atau tidak menyedari, maka tidaklah menjadi hal yang dianggap makruh.

3. Sunat Mendekati kubur ziarah

Apabila penziarah telah berada pada kubur yang hendak diziarahinya itu, sunat baginya mendekati kubur tersebut sekadar dekatnya dia bersama si mati ketika dia masih hidup.


4. Baca Ayat Al-Quran, Surah Yassin Atau Surah Lazim 

Bacalah beberapa ayat al-Quran ataupun surah yang mudah seperti surah Yasin atau surah-surah lazim di sisi kubur si mati.

Pahala bacaan al-Quran itu akan diperolehi oleh si pembaca tetapi si mati akan mendapat rahmat atas bacaan tersebut kerana rahmat Allah akan turun apabila ayat-ayatNya dibacakan.


Berdoalah buat si mati sebaik sahaja selesai membaca al-Quran dan menghadiahkan pahala bacaan al-Quran yang sama kepada roh si mati.

Segala amalan soleh seperti solat, puasa, sedekah, bacaan surah Fatihah dan sebagainya, jika dihadiahkan pahalanya yang sama buat si mati, maka pahala tersebut akan sampai kepada si mati dengan izin Allah .

5. Jangan menyapu atau mengucup kubur

Perlu diingatkan, jangan sesekali menyapu-nyapu kubur atau mengucupnya atau memberi salam padanya dengan isyarat tangan kerana hal tersebut merupakan bid’ah yang menyimpang daripada syariat Islam.



Larangan di Tanah Perkuburan

Di dalam kitab Fiqh al-Manhaji ada menyebut tentang amalan bid’ah yang berlaku dalam kalangan masyarakat Islam apabila berlaku kematian antaranya :



1. Tingkah Laku Ketika Mengiringi Jenazah

Melakukan amalan-amalan yang sama sekali menyalahi adab-adab ketika mengiringi jenazah ke tanah perkuburan seperti meninggikan suara sama ada berzikir mahupun berkata-kata.

Bahkan hendaklah memperlahankan suara jika mahu berzikir, bertahlil atau berkata-kata.

2. Membawa jambangan bunga, daun dan sebagainya


Perbuatan ini dikira sebagai bid’ah yang haram yang mana amalan tersebut telah mempengaruhi umat Islam agar mengikuti budaya orang bukan Islam dalam upacara pengkebumian mereka.

Bahkan perbuatan ini suatu pembaziran yang sama sekali tidak berfaedah.

3. Buat binaan

Membuat binaan di atas kubur sama ada di dalam atau di luar kubur dengan bahan-bahan yang boleh menyerap haba panas seperti simen, kapur dan sebagainya.

Sebaliknya, jika membina kepok ataupun binaan di atas tanah kubur dengan tujuan agar tanahnya tidak mendap atau roboh ataupun bagi membezakan antara tanah kubur dengan tanah biasa ataupun bagi mengelakkan dipijak dan tidak dihormati, maka harus membuat binaan di atasnya dengan syarat binaannya rendah, tidak melibatkan pembaziran dan sederhana bentuknya.

Sekiranya berlebih-lebihan dalam binaannya sehingga melibatkan perbelanjaan yang besar, maka ia merupakan pembaziran yang tidak dibenarkan.

4. Meninggikan tanah kubur

Meninggikan tanah kubur sebagaimana yang menjadi kebiasaan dalam masyarakat pada hari ini apabila mengkebumikan jenazah.

Hukumnya adalah makruh tahrim kerana menurut sunnah Nabi tanah kubur tidak boleh ditinggikan melebihi sejengkal dari paras tanah.

5. Meratapi jenazah

Meratapi jenazah dengan menghitung hitung kebaikannya atau menangisi jenazah dengan suara yang meraung-raung atau memukul-mukul dada atau menepuk-nepuk kepala atau mengoyakkan baju. Perbuatan sebegini adalah haram kerana tidak menzahirkan kepatuhan dan penerimaan qadak dan qadar Allah.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Malik al-Asy’ari bahawa Nabi bersabda:

Apabila seorang wanita yang meratapi jenazah tidak bertaubat sebelum dia meninggal dunia. Maka, dia akan dibangunkan pada hari kiamat kelak dalam keadaan dipakaikan dengan pakaian yang berminyak dan pakaian kurap.

Apabila seorang wanita yang meratapi jenazah tidak bertaubat sebelum dia meninggal dunia. Maka, dia akan dibangunkan pada hari kiamat kelak dalam keadaan dipakaikan dengan pakaian yang berminyak dan pakaian kurap.
(Hadis riwayat Muslim)

6. Ahli keluarga tidak sepatutnya menyediakan makanan buat tetamu

Ahli keluarga si mati sibuk menyediakan dan menghidangkan makanan kepada penziarah yang hadir sebagaimana yang berlaku pada hari ini.

Hal ini merupakan larangan dan bid’ah yang sangat ditolak dan jelas bertentangan dengan sunnah Nabi.

Ini kerana, amalan sunnah adalah sebaliknya iaitu jiran tetangga atau sahabat handai kepada ahli keluarga si mati yang seharusnya menyediakan makanan dan menjamunya kepada ahli keluarga tersebut dan para penziarah.

Bahkan sunat menyediakan makanan yang banyak agar mencukupi untuk menjamu ahli keluarga si mati di sepanjang hari kematian itu sehari semalam.

Hukum ini merujuk kepada hadis Nabi ketika mana Jaafar bin Abu Talib dilaporkan terbunuh, maka Baginda memerintahkan kepada para sahabat:

Sediakanlah makanan buat ahli keluarga Jaafar kerana sesungguhnya telah datang kepada mereka musibah (kematian) yang menyibukkan mereka.

(Hadis riwayat Abu Daud dan al-Tirmidzi)



sumber : akuislam