Soto ni dah jadi antara sajian kegemaran rakyat Malaysia dan hari minggu baru, umi masak soto bila cikcha cakap dia teringin nak makan soto tapi harganya RM12 sebekas seperti tertera dalam aplikasi makanan online. Uish memang tak berbaloi sebab kuantiti sikit dan sedapnya belum tentu. Jadi, umi fikir baik buat sendiri, boleh makan sampai puashati dan berkali-kali kan.


Resepi Soto


Resepi Soto Mudah Dan Sedap Ikut Selera Umi

Dah bertahun umi tak buat soto ni, jadi bila cikcha minta, tanpa hesitation memang kena buat sebab tahun 2024 umi dah senaraikan resepi yang dijual kat kedai, untuk dibuat sekurang-kurangnya sekali dalam tahun ni seperti Mee Kari sedap pada selera sendiri.

Ayuh kita memasak.

Bahan Untuk Soto

Untuk soto kali ni, umi guna bihun dan rebus 10 pek nasi impit kecil je.



Bihun, direndam dan dicelur hingga lembut dan toskan

Nasi impit, direbus dan toskan

suhun, digoreng. Yang ni kalau tak ada, memang rasa kurang kick kan

Taugeh, dibuang ekor

bawang goreng

1/2 mangkuk kacang tanah, digoreng

1 tangkai daun bawang, dihiris

1 tangkai daun sup, dihiris


Nota: 
Jika suka, boleh digantikan dengan mee hoon atau mee kuning yang telah dicelur.

Resepi Kuah Soto



Bahan-bahan

1/2 ekor ayam, dipotong besar

2 batang serai, diketuk

1 1/2  sudu besar serbuk sup

1 1/2 sudu serbuk kurma

1 kiub pati ayam

 Akar daun sup, di cuci bersih

 1 jug air


Bahan-bahan kisar:

 4 biji bawang merah besar, dibelah

1 inci lengkuas

1 inci halia

1 ulas bawang putih

2  biji buah keras


Cara memasak:

  • Panaskan minyak, tumis bahan kisar, serai dan akar daun sup sehingga betul-betul naik bau, masak dan sedikit garing. 
  • Masukkan serbuk sup dan serbuk kurma (dicampur dengan air, jadi pes). Masukkan 1 mangkuk air dan ayam. Bila air sudah hampir kering, baru masukkan air banyak
  • Masukkan kiub pati ayam dan perasakan dengan garam dengan secukupnya.
  • Renehkan kuah sehingga ayam masak elok. Angkat ayam dan toskan. Ketepikan ayam untuk dicarikkan nanti. Siap!


Resepi Sambal Kicap



Bahan-bahan

10 - 15 tangkai cili api

1 ulas bawang putih, diketuk

2 biji limau kasturi, ambil jusnya

Kicap

Sos cili

Garam

Gula


Cara membuatnya:

  • Panaskan minyak, tumis awang putih hingga kekuningan dan kemudian masukkan cili kering. Goreng hingga kelayuan, angkat dan toskan.

  • Tumbuk bahan gorengan, tambahkan gula, sos cili dan kicap dengan secukupnya. 
  • Kautkan dan masukkan di dalam mangkuk dan tambah makan minyak gorengan tadi dan perahkan sedikit limau kasturi. Gaul rata.

Nota :

  • Jangan dibuang minyak gorengan tad untuk dimasukkan ke dalam sambal supaya jadi lebih sedap.
  • Sambal isi tidak perlu diisi garam kerana kicap itu sudah berasa masin.



Resepi Bergedil Daging



Bahan-bahan

5 biji ubi kentang, dikupas kulit, potong kecil & rebus, toskan

100 gm daging kisar

 Hirisan daun sup dan daun bawang

 ½ gengam bawang goreng

1 tangkai cili merah, dihiris halus

½ sk serbuk lada sulah

 1 biji telur

 Garam secukup rasa


Cara Penyediaan:


Cara memasak:

  • Ubi kentang dibuang kulit, potong kecil dan rebus bersama daging kisar. Rebus hingga ubi kentang menjadi empuk.
  • Kemudian lenyekkan hingga halus. Masukkan hirisan daun sup, daun bawang, cili merah, bawang goreng, lada sulah dan sedikit garam. Gaul dan ramas-rama sehingga sebati.
  • Cubit sedikit adunan dan kepalkan menjadi bulat dan leperkan sedikit.
Pecahkan telur di dalam mangkuk, pukul telur dan celupkan adunan yang dileperkan tadi ke dalam telur dan goreng hingga keperangan.


Tip Memasak 

  • Cara goreng begedil supaya tidak hancur, panaskan minyak agak-agak tenggelam separuh begedil sahaja. Jangan penuh.
  • Pastikan dimasak dengan api yang kecil sehingga betul-betul panas.
  • Bila sudah garing dan kekuningan, barulah balikkan. Jangan balikkan terlalu awal kerana begedil akan pecah.