Novel Ungu Karmila Karya Ramlee Awang Mushid | Buah tangan Ramlee Awang Murshid (RAM) memang tak pernah mengecewakan. Dan sekali lagi UF membeli dan membaca atas talian untuk novel pilihan Cik Meya yang beria-ria suruh baca tapi novel yang dibelinya dipinjam sepupu dia tapi tak pulangkan balik.
 
Penulis : Ramlee Awang Murshid
Bil mukasurat : 602

Atas nama cinta..mahligai impian dibina, Vila Sepi menjadi mahar kasih Arif terhadap isterinya, Karmila.  Namun trajedi dahsyat memusnahkan kegembiraan yang dikecapi
 
Beberapa tahun berlalu... vila yang ditinggalkan dikatakan berhantu. Jikon, seorang pemuda Orang Asli bagai digamit memasuki vila itu. Akhirnya, dia menjadi korban pertama.

Setelah itu, mistik di vila itu tiba-tiba sepi. Masyarakat Orang Asli percaya ‘sesuatu’ yang berada di situ sedang ‘tidur’. Tiada siapa berani mengusik. Jika ia ‘terbangun’, maka pembunuhan pasti terjadi lagi.

Ema, seorang wanita masyarakat Orang Asli yang berpendidikan, secara diam-diam berusaha meneroka vila yang menjadi lambang cinta Arif dan Karmila itu. Secara tidak sengaja, dia telah ‘membangunkan sesuatu’ di dalam vila berkenaan.

Arafat, abang Arif telah menugaskan beberapa orang yang dipercayai untuk membongkar misteri pembunuhan itu. Namun, satu kuasa jahat telah memburu mereka sehingga mengancam nyawa. Tragedi silam berulang kembali!


RAMLEE AWANG MURSHID, sekali lagi meneroka alam mistik di sebalik saspens UNGU KARMILA. Mereka yang `jahat’ sahaja dapat mengalami rahsia di sebalik kisah berdarah di Vila Sepi... hingga tidak sanggup lagi untuk berbuat dosa!

**********

Arif dan Karmila pasangan suami isteri yang berpindah ke rumah baru mereka, Vila Sunyi sebuah banglo di Puncak Rimba, Cameron Highland. Vila Sunyi adalah hadiah Arif buat isterinya Karmila yang sangat dicintai sempena ulang tahun perkahwinan mereka yang pertama. Misteri muncul dan mula berlaku apabila Arif mula menunjukkan sikap yang menakutkan isterinya dan orang gaji mereka - Jainab. Perlakuan Arif mencurigakan dan memberikan kesedihan kepada Karmila.

Kedegilan Arif terhadap larangan Tok Batin dan memasuki Taman Larangan, mengambil sejenis spesis bunga berwarna ungu. Tumbuhan itu disemai dan mengeluarkan bunga berwarna ungu dan membiak dengan mudah dan Arif menjadi taksub dan berubah membuatkan si isteri tertekan dan terpinggir

Rahsia silam si isteri terbongkar dan akhirnya terjadi pembunuhan hingga tiada yang selamat diantara mereka. Mayat penghuni Vila Sepi ditemui oleh Tok Batin, ketua suku kaum orang Asli yang berhampiran datang ke rumah mereka untuk berdamai dengan Arif kerana perselisihan faham mereka berkenaan dengan spesis bunga liar yang diambil oleh Arif daripada 'kawasan larangan;.

Sejak malapetaka tersebut, kejadian demi kejadian misteri berlaku bermula dengan kematian Jikon, seorang pemuda orang Asli. Ema adik kepada Jikon yang bekerja sebagai pakar bioteknologi di UPM terlalu ingin mengetahui punca kematian abangnya walau dia difahamkan oleh ayahnya bahawa Jikon telah mati akibat puaka Vila Sunyi namun Ema tidak mempercayainya hingga dia mengambil langkah membuat penyiasatan sendiri.

Pada masa yang sama juga, Arafat abang kepada Arif mengupah sekumpulan penyiasat untuk pergi ke Vila Sunyi dengan tujuan membuktikan bahawa Arif tidak membunuh Karmila dan Jainab. Apa yang terjadi semasa penyiasatan tersebut amat mendukacitakan dan mengerikan kerana seorang demi seorang daripada mereka mati kecuali Dino yang berjaya melarikan diri ke hutan. Ema yang juga kebetulan berada di dalam Vila Sunyi ketika itu turut menjadi mangsa.

Dr. Ismadi, rakan sekerja Ema mula membuat penyiasatan ke atas kejadian tersebut dan hasil siasatan menunjukkan bahawa misteri Vila Sunyi bukanlah kerana puaka tetapi sebenarnya berpunca daripada Ungu Karmila - bunga kacukan yang dihasilkan oleh Arif.


Ulasan:

Ungu Karmila merupakan sebuah karya RAM yang mempunyai kekuatannya yang tersendiri sama seperti novel-novelnya yang lain. Kekuatan novel ini adalah pada pengolahan RAM yang berjaya membuatkan pembaca mempercayai misteri di Vila Sunyi adalah kerana puaka. UF sendiri berteka-teki dan meneka abangnya terlibat membunuh.  Agak seram sebenarnya bila membaca novel ini yang pada UF menggabungkan unsur tahyul, psikologi dan sains bioteknologi dengan begitu baik sekali.

Menarik sekali tentang perihal halusinasi yang dimasukkan didalam novel ni yang sedikit sebanyak membuat kita rasa sedih atas kisah Dr Ismadi dengan cinta tak kesampaian tapi akhirnya dapat melepaskan diri dan sembuh dari halusinasi akibat pendebungaan bunga ungu yang mengandungi cecair serotinin (sejenis racun yang membahayakan manusia)