5 Mitos Mengarut Tentang COVID-19 Terutama #4 | Macam-mana yang kita dengar dan lihat orang bagi pelbagai saranan tentang cara nak cegah COVID-19 yang buat kita terfikir dua kali lepas tu ketawa bila baca balik sebab selain mengarut memang sah tak masuk akal.

 Juga penting kita jangan baca atau forward mesej yang salah atau fake news ni sebab fake news akan menyebabkan tindakan akan di ambil oleh pihak berkuasa.  Bila kena tangan memang bukan mitos okay.



#1. Mandi air panas boleh mencegah penularan virus
Fakta: Mandi air panas tidak boleh mencegah penularan virus meskipun pada suhu yang sangat tinggi.

Ramai orang percaya perbuatan mandi air panas boleh mencegah penularan COVID-19 kerana dikatakan suhu yang tinggi boleh membunuh virus ini.

Hakikatnya, tidak sama sekali kerana suhu dalam tubuh badan anda akan kekal sekitar 36.5°C hingga 37°C tidak kira berapa suhu air yang anda gunakan untuk mandi.

Selain itu, ketahuilah bahawa mandi air dengan suhu terlalu panas boleh mengakibatkan kulit melecur. Jadi, cara terbaik untuk melawan virus ini adalah kerap mencuci tangan dengan air dan sabun serta elakkan menyentuh muka, mata, mulut dan hidung anda.


#2. Sapu alkohol atau klorin pada satu badan boleh membunuh virus
Fakta: Sapu alkohol atau klorin pada satu badan tidak boleh membunuh virus yang telah memasuki badan.

Ada orang yang beranggapan penggunaan hand sanitizer sahaja tidak cukup. Disebabkan itu, ada yang menyapukan alkohol atau klorin pada satu badan mereka untuk membunuh COVID-19.

Sebenarnya, virus ini hanya boleh dibunuh sekiranya ia berada di kawasan kulit. Jika ia telah masuk ke badan, berendam di dalam sebatian sebegini juga tidak akan mendatangkan apa-apa kesan.

Dalam pada itu, ketahuilah bahawa ia adalah berbahaya kepada bahagian mata, mulut, hidung atau apa-apa sahaja bahagian tubuh badan yang terdedah. Jadi, sebarang penggunaan alkohol atau klorin ini haruslah mendapatkan kebenaran doktor terlebih dahulu.


#3. Gigitan nyamuk boleh menyebarkan wabak COVID-19
Fakta: Gigitan nyamuk tidak boleh menyebarkan wabak COVID-19 ini.

Sehingga kini, masih tiada bukti yang mengatakan virus korona baharu ini boleh tersebar melalui gigitan nyamuk seperti penyakit denggi atau malaria.

Untuk pengetahuan anda, COVID-19 adalah sejenis virus yang menyerang sistem pernafasan dan disebarkan melalui titisan air di udara apabila seseorang itu bersin atau batuk. Bukan itu sahaja, ia juga disahkan boleh tersebar melalui air liur dari mulut atau air hingus dari hidung.

Bagi melindungi diri anda, sila basuh tangan sekerapnya dengan sabun dan air atau hand sanitizer dan amalkan social distancing terutamanya ketika bersin atau batuk.


#4. Alat pengering tangan boleh membunuh virus
Fakta: Alat pengering tangan tidak boleh membunuh virus korona baharu ini pada tangan anda.

Ada segelintir individu yang mengatakan alat pengering tangan perlu digunakan untuk benar-benar membunuh virus ini pada tangan kita.

Hakikatnya, ia adalah mitos yang sangat mengarut. Anda sebenarnya perlu kerap membasuh tangan dengan sabun dan air atau hand sanitizer.

Untuk mengeringkannya pula, gunakan tisu, tuala atau kain. Selepas itu, sila buang atau letakkan di tempat yang tidak terdedah kepada orang lain.


#5. Antibiotik berkesan melawan wabak COVID-19
Fakta: Antibitotik tidak berkesan melawan virus korona baharu ini kerana ia hanya mampu membunuh bakteria.



PENTING untuk kita faham dan tahu!

Wabak COVID-19 adalah sejenis virus dan bukannya bakteria. Oleh itu, penggunaan antibiotik sama sekali tidak boleh digunakan sebagai salah satu ubatan atau rawatan penyakit ini.

Walau bagaimanapun, jika anda ditahan di wad hospital akibat jangkitan wabak ini, anda mungkin akan diberikan antibiotik untuk mengelakkan jangkitan bakteria yang lain.

Sebagai rakyat Malaysia yang prihatin terhadap kesihatan sejagat, marilah kita bersama melawan pandemik virus korona baharu ini. Oleh itu, sila berada di rumah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Noor Hisham Abdullah mengatakan jika langkah kerajaan ini tidak dapat dijalankan dengan baik, kita mungkin berdepan gelombang yang ketiga pula.
“Saya merayu kepada semua rakyat Malaysia agar ambil peduli Perintah Kawalan Pergerakan Ini. Sila berada di rumah”, jelas beliau lagi.