15 Koleksi Kuih Dan Biskut Raya Yang Evergreen Dan Ada Yang Sukar Didapati | Bila tiba nak raya ni pasti ramai yang teringat kuih raya zaman kita kecil dulu kan apatah lagi bagi generasi X macam saya ni, kuih raya tradisional ini mengimbau kenangan lama. Sayu, sedih, gembira bercampur baur bila biskut raya ni dijamah. Antara kuih raya yang istimewa buat saya pastinya Biskut Arab, Kuih Mazola, Agar-agar kering, Biskut Gajus, Kuih Sepit, Kuih Peanut Butter sebab pernah la tolong bonda membuatnya walau lebih pada menyibuk sebab kakak-kakak yang ada 4 orang tu yang lebih bertungkus lumus membuat dan paling tak lupa guna oven cap butterfly tu dan bonda bakar kuih bahulu guna dapur arang..ahh nostalgia

Kalau ke rumah saudara mara pasti ada kuih yang berbeza biskut suji, kuih sampan terhidang atas meja. Cuma sekarang ini kuih-kuih ni dah jarang dibuat orang. Jadi, kalau anda tetiba teringat zaman-zaman beraya dulu kala, bolehlah anda mencuba sendiri memandangkan sekarang ni kita tengah PKP kan...buat sendiri dan makan sendiri.  Selamat mencuba


1. Resepi Biskut Arab Bonda
2. Resepi Biskut Mazola
3. Resepi Biskut Bangkit
4. Resepi Biskut Peanut Butter
5. Resepi Agar-Agar Kering
6. Resepi Putu Kacang Tradisional
7. Resepi Putu Kacang Bakar
8. Resepi Tart Nenas Bunga
9. Resepi Biskut Semprit Dahlia
10. Resepi Kuih Sepit
11. Resepi Bahulu Kampung
12. Resepi Biskut Kelapa
13. Resepi Biskut Sampan
14. Resepi Biskut Gajus
15. Resepi Kuih Suji

1. Resepi Biskut Arab Bonda

Kuih Biskut Arab ni lebih dikenali sebagai kuih makmur tapi kata bonda kuihnya berbeza tapi apa yang pasti biskut arab resepi bonda ni bila dimakan terasa panas dalam mulut.  Memang sedap!
15 Koleksi Kuih Dan Biskut Raya Lama Yang Evergreen Dan Sukar Didapati
gambar sumber Google
Bahan-bahan:-
3 cawan tepung gandum,
½ cawan gula kastor
1 cawan minyak masak
2 sudu besar mentega

Untuk inti
150 gm kacang tanah, disangai, dibuang kulit dan ditumbuk
Nota : sangai bermaksud menggoreng tanpa minyak

Cara membuatnya:-
  1. Tepung disangai didalam kuali hingga agak kekuningan, masukkan kedalam bekas adunan dan biarkan sejuk.
  2. Ghee dimasukkan kedalam tepung sikit demi sikit sambail uli tepung menjadi seperti serbuk roti, bila diambil dan bulatkan doh ianya melekat cantik tu tanda doh dah jadi
  3. Jemput adunan lebih kurang sebesar duit 20sen dan bulatkan, lepas tu buatkan lubang untuk masukkan kacang tanah, bulatkan kembali dan letak didalam dulang pembakar
  4. Bakar dengan suhu 160°C  lebih kurang dalam 20 minit.
  5. Keluarkan dari oven dan golekkan biskut di dalam pinggan berisi gula, golekkan hingga gula menyaluti biskut.  Angkat dan biarkan ianya sejuk sebelum dimasukkan kedalam bekas.

2. Resepi Biskut Mazola

15 Koleksi Kuih Dan Biskut Raya Lama Yang Evergreen Dan Sukar Didapati
gambar sumber Google
Bahan-bahan:-
2 ½ cawan tepung gandum, diayak
½ cawan gula ising, diayak
2 cawan kacang tanah kisar, disangai, dibersihkan dan dikisar
1 cawan minyak jagung

Hiasan
Kuning telur
Kacang tanah goreng

Cara membuatnya:-
  1. Satukan tepung, gula dan kacang kisar. Kacau sebati.
  2. Tuangkan minyak jagung sedikit demi sedikit sambil menguli hingga jadi doh yang boleh dikepal. Tak perlu habiskan minyak jika doh telah cantik.
  3. Bulatkan doh, tekan sedikit dan letak kacang tanah di atasnya. Sapu kuning telur dan bakar hingga masak antara suhu 150'C - 180°C, masa antara 20 - 25 minit mengikut oven masing-masing.


3. Resepi Biskut Bangkit

15 Koleksi Kuih Dan Biskut Raya Lama Yang Evergreen Dan Sukar Didapati
gambar sumber Google
Bahan-bahan:-
340 gram tepung ubi
95 gram tepung gandum
37 gram gula halus
3 biji kelapa, diambil santan pekat
3 helai daun pandan
2 biji telur sedikit garam

Cara membuatnya:-

  1. °Masak terlebih dahulu santan, gula halus, daun pandan dan garam hingga pekat.
  2. Pastikan ia tidak bergentel dengan mengacaunya selalu.
  3. Satukan tepung ubi dan tepung gandum.
  4. Goreng tanpa minyak hingga ringan.Angkat dan sejukkan.
  5. Tuangkan santan dan telur ke dalam tepung tadi.Uli hingga sebati.
  6. Canaikan doh ini dan terapkan dengan acuan mengikut bentuk anda.
  7. Bakar di dalam ketuhar dengan suhu 180°C hingga biskut masak.


Kredit: inamurni.com       


4. Resepi Biskut Peanut Butter

15 Koleksi Kuih Dan Biskut Raya Lama Yang Evergreen Dan Sukar Didapati
gambar sumber Google

Bahan-bahan:-
¾ cawan mentega kacang halus
½ cawan mentega (saya guna marjerin daisy)
½ cawan gula kastor
2 cawan tepung gandum (ayak)
*beberapa sudu tepung jika doh masih lembik

Bahan hiasan :
Kismis hitam

Cara membuatnya:-
  1. Satukan mentega kacang, mentega dan gula. Pukul sebati.
  2. Masukkan tepung sedikit demi sedikit sambil menguli. Jika adunan tidak melekat ditangan, tak perlu habiskan tepung. Tapi jika adunan masih lembek, boleh tambah beberapa sudu tepung gandum hingga mendapat doh yang cantik.
  3. Sapu sedikit mentega pada acuan untuk mengelakkan biskut melekat. Letakkan kismis hitam pada dasarnya dan masukkan doh. Tekan hingga padat. Ulang proses yang sama hingga selesai.
  4. Bakar biskut pada suhu 150'C - 180°C selama 25-30 minit mengikut jenis oven masing-masing.
  5. Biar hingga biskut sejuk dan keluarkan dari acuan dengan berhati-hati.


5. Resepi Agar-Agar Kering

15 Koleksi Kuih Dan Biskut Raya Lama Yang Evergreen Dan Sukar Didapati
gambar sumber Google
Bahan-bahan:-
60 gm agar-agar kering
1.3 liter air
150 gm gula batu, dipecahkan halus
1200 gm gula pasir
Pewarna makanan (merah, oren, purple dan kuning)

Cara membuatnya:-
  1. Basuh dahulu agar-agar dan rendam sebentar sehingga lembut. Tapis dan buang airnya.
  2. Masukkan air dalam periuk dan masukkan agar-agar. Masak sehingga agar-agar hancur dan sebati. Pastikan agar-agar benar-benar hancur.
  3. Masukkan gula batu dan gula. Kacau rata. masak sehingga gula batu hancur. Angkat dan bahagikan kepada beberapa bahagian mengikut warna pilihan.
  4. Sejuk dan dan biarkan ia keras baru potong ikut bentuk pilihan anda. Anda boleh guna acuan untuk mendapatkan bentuk bentuk yang menarik.
  5. Jemur ditempat yang panas sehingga ia benar-benar kering dan bergula. Balik-balik sentiasa supaya ia kering sekata.

Nota:
Sebaiknya gula batu dipecahkan menjadi ketulan kecil supaya senang hancur
Oleskan acuan dengan minyak supaya adunan tidak melekat dan senang ditanggalkan
Oleskan talam yang akan digunakan untuk menjemur agar-agar supaya tidak meletak

6. Resepi Putu Kacang Tradisional

Teringat dulu waktu membantu buat kuih putu kacang ni pedih jari jemari bila cuba memampatkan tepung ke acuan tapi bila dapat makan hilang rasa lenguh tu
15 Koleksi Kuih Dan Biskut Raya Lama Yang Evergreen Dan Sukar Didapati
gambar sumber Google
Bahan-bahan:-
1 kg kacang hijau
600 gm gula pasir

Peralatan yang diperlukan:
Pengisar / lesung batu (cara lama)
Acuan putu
Talam
Kain nipis
Pisau

Cara membuatnya:-
  1. Bersihkan kacang hijau asingkan dari bendasing seperti batu dan lain-lain. Sangai kacang hijau sehingga garing dan naik bau. Ketika masih panas, masukkan kacang hijau ke dalam kain bersih dan diikat kemas. Tumbuk kasar kacang hijau dan tampikan untuk membuang habuk kulitnya. (Kaedah tradisional).
  2. Tuangkan kacang yang telah ditampi ke dalam lesung batu atau pengisar. Tumbuk lagi sehingga halus dan bertukar menjadi warna putih seperti tepung.
  3. Ayak tepung kacang hijau untuk memastikan tiada ketulan. Jika ada, tumbuk ketulan itu sehingga hancur dan halus. Ketepikan.
  4. Tumbuk pula gula pasir sehingga halus dan tapis. Pastikan ia tiada ketulan juga.
  5. Setelah itu, satukan tepung kacang hijau tadi dan gula halus. Gaul sebati menggunakan tangan.
  6. Apabila sudah sebati, tutup adunan tepung dengan kain nipis seperti tudung bawal. Biarkan ia berembun semalaman.
  7. Adunan tepung yang dibiarkan semalaman akan menjadikan ia sedikit lembab kerana tekstur gula yang basah (berkristal). Adunan tepung yang menjadi adalah apabila ia boleh dikepal-kepalkan.
  8. Dengan menggunakan acuan kuih putu (acuan kayu lebih bagus digunakan), taburkan tepung gandum sedikit ke dalam acuan (elak melekat). Ketukkan ia keluar dan barulah dimasukkan adunan tepung kacang hijau tadi ke dalam acuan. Padat-padatkan ia. Kikis lebihan tepung di acuan dengan pisau.
  9. Kemudian ketuk acuan dengan cermat untuk mengeluarkan kuih putu. Susun kuih di dalam talam dengan kemas.
  10. Selesai semuanya, tutupkan talam dengan kain nipis seperti tudung bawal dan jemur ia di bawah terik panas matahari.
  11. Sebaiknya kuih ini dijemur dalam 2 hari dengan cuaca panas untuk mendapatkan tekstur kuih yang rapuh dan gebu
sumber : cookpad

7. Resepi Kuih Putu Beras 

15 Koleksi Kuih Dan Biskut Raya Lama Yang Evergreen Dan Sukar Didapati
gambar sumber Google
Bahan-bahan:-
1 kg beras pulut
1 kg gula
125 ml air

Cara membuatnya:-
  1. Beras disangai hingga menjadi rapuh dan sedikit kekuningan dan apabila dikisar apabila telah sejuk.
  2. Didihkan air bersama dengan gula dan dimasak sehingga bertali. Biarkan sejuk dan dikikis menjadi serbuk.
  3. Campurkan dengan beras yang telah dikisar hingga mesra.
  4. Masukkan ke dalam acuan dan ditekan-tekan hingga padat dan mampat.
  5. Keluarkan dari acuan dan sedia untuk dihidang.

8. Resepi Tart Nenas Bunga Resepi Shiela Rusly

15 Koleksi Kuih Dan Biskut Raya Lama Yang Evergreen Dan Sukar Didapati
gambar sumber Google
Bahan-bahan:- 
300 gram tepung gandum
4 camca besar tepung jagung
3 camca besar gula aising, diayak
200 gram mentega
½ camca teh esen vanilla
2 kuning telur*
Beberapa titik pewarna kuning makanan* (*disatukan dan kacau sedikit sampai rata)
Sedikit garam halus (kalau guna mentega salted, tak perlu letak garam)
Inti jem nenas secukupnya

Cara membuatnya:-

  1. Dalam satu bekas, masukkan tepung gandum, tepung jagung, gula aising dan garam halus (jika guna). Gaul rata.
  2. Masukkan mentega dan gaul ramas dengan hujung jari hingga mendapat tekstur seakan serbuk roti.
  3. Masukkan telur kuning sedikit demi sedikit sambil digaul rata hingga mendapat doh yang tidak melekat di mangkuk adunan (ada masa kuning telur tidak habis digunakan). Rehatkan sekejap.
  4. Canai doh antara dua lapisan plastik bersih. Canai setebal 1/2 cm. Terap dengan acuan kuih tart kegemaran anda, dan susun dalam dulang pembakar. Buat hingga siap.
  5. Letakkan inti jem nenas atasnya (gentel2kan inti jem nenas tadi mengikut kesesuaian acuan yang anda guna). Buat hingga habis.
  6. bakar dalam oven yang telah dipanaskan pada suhu 175°C selama 25 minit. Pusing-pusingkan dulang berisi tart, selepas 10 minit dibakar untuk mendapat kuih yang rata masaknya. Sejukkan atas jaringan dan boleh simpan dalam belas kedap udara


Resepi Jem Nenas dari Azie Kitchen

1 kg parutan nenas - tanpa air
½  kg gula pasir
Air nenas
Kayu manis & bunga cengkih
Daun pandan
Pewarna kuning

Cara membuatnya:-

  • Selepas diparut, ditapis dan ketepikan air. Tujuan ditapis adalah untuk mendapatkan berat isi nenas dan menentukan jumlah gula yang digunakan.
  • Jika parutan agak kasar, bolehlah dikisar seketika dengan menggunakan air nenas tadi menggunakan blender.
  • Tuangkan bahan kisar tadi ke dalam periuk. Masukkan kayu manis, bunga cengkih dan daun pandan. Masukkan sedikit pewarna kuning.
  • Nyalakan api perlahan dan dikacau sehingga air nenas kering. Inti nenas menjadi berkilat dan tidak melekat di daun pandan.


9. Resepi Biskut Semprit Dahlia 

Kuih semprit ni cikapplepie panggil duit manja sebab kelembutan kuih tu dan tak boleh kasar kalau tak ianya pecah dan sekarang ni ada versi menggunakan susu tepung jadi kuih semperit ni disukai kanak-kanak.

15 Koleksi Kuih Dan Biskut Raya Lama Yang Evergreen Dan Sukar Didapati
gambar sumber Google
Bahan-bahan:-
200 gm mentega
1 cawan tepung gandum
1 cawan tepung kastard
1 cawan tepung jagung
½ cawan gula
1 biji kuning telur
1 sudu esen rose
½ sudu serbuk vanilla (kalau suka)
buah ceri dihiris dadu atau coklat chip
Pewarna kuning telur

Cara membuatnya:-

  1. Satukan mentega dan gula, dipukul hingga kembang kemudian masukkan kuning telur, esen rose, serbuk vanilla dan telur serta pewarna kuning dan dipukul hingga sebati
  2. Masukkan tepung kastard, tepung jagung dan tepung gandum, diuli hingga menjadi doh. 
  3. Gunakan acuan dan bentukkan menjadi seperti bunga, susun dalam tray, hiaskan dengan coklat chip atau buah ceri.
  4. Bakar pada suhu 150°C selama 15 ke 20 min.

10. Resepi Kuih Sepit

Kuih love letters atau kuih kapit ni memang kuih nostalgia yang cukup sedap tapi rasa bertahun nak siap sebab adunannya cair dan bila dah keluarkan dari acuan kena cepat-cepat lipat atau gulung.

15 Koleksi Kuih Dan Biskut Raya Lama Yang Evergreen Dan Sukar Didapati
gambar sumber Google
Bahan-bahan:-
½ kg tepung gandum
250 ml santan
½ kg gula pasir
minyak untuk menggoreng
3 biji telur

Cara membuatnya:-
  1. Masukkan telur dalam mesin pengadun dan pukul sehingga kembang.
  2. Masukkan santan, gula dan tepung gandum sikit demi sikit dan pukul lagi sehingga adunan tidak terlalu pekat atau terlalu cair.
  3. Panaskan pengepit kuih  diatas dapur dan bila dah panas tu tuangkan adunan kuih kapit dan kapitkan dan letak kembali diatas dapur. Ambil acuan dan kikiskan lebihan adunan yang terkeluar dan terbalikan supaya kuih masak di kedua-dua belah
  4. Buka pengapit dan keluarkan kuih yang berbentuk sekeping dan lipat menjadi tiga segi atau gulung. Proses melipat atau menggulung kena cepat kalau tidak kepingan ini akan cepat keras.

11. Resepi Bahulu Kampung

Kalau dulu kuih ni dimasak di atas dapur kayu menggunakan arang dibahagian atas dan dibahagian atas tu diletakkan tudung periuk dan diletakkan sabut kelapa kiranya macam oven api atas dan bawah. Memasak cara begitu memang membuat kuih tu lebih sedap dan wangi. Malah untuk kembangkan adunan orang dulu-dulu guna penembok yang macam spring tu.
15 Koleksi Kuih Dan Biskut Raya Lama Yang Evergreen Dan Sukar Didapati
gambar sumber Google
Bahan-bahan:-
1 cawan tepung gandum
4 biji telur gred A
½ cawan gula
Sedikit esen vanilla

Cara membuatnya:-

  1. Pukul telur dan gula sehingga kembang pekat dan masukkan tepung sedikit demi sedikit dan pukul lagi dalam 2 minit, kemudian masukkan esen vanilla. Kacau hingga rata.
  2. Panaskan ketuhar dan acuan terlebih dahulu pada suhu 200°C selama 10 minit. Acuan perlu dipanaskan buat kali pertama sahaja bagi tujuan supaya bahulu tidak melekat.
  3. Sapu minyak masak pada acuan dan tuang adunan bahulu tadi.
  4. Bakar pada suhu 200°C selama 12 minit. Letak acuan di atas tray pemanggang pada bahagian tengah ketuhar. Bakar guna api atas bawah.
  5. Bila masak, keluarkan bahulu dan sejukkan. Sapu minyak pada acuan dan tuang kembali adunan. Ulang langkah sampai habis. Satu adunan akan dapat dalam 48 biji bahulu.


12. Resepi Biskut Kelapa

15 Koleksi Kuih Dan Biskut Raya Lama Yang Evergreen Dan Sukar Didapati
gambar sumber Google
Bahan-bahan:-
250 g mentega
80 g tepung jagung, diayak
250 g tepung naik sendiri, diayak
80 g kelapa kering, kisar halus
120 g  gula kastor
2 biji kuning telur
Kelapa kasar
Telur putih

Cara membuatnya:-
  1. Mentega dan gula dipukul sehingga sebati kemudian masukkan kuning telur, pukul hingga sebati
  2. Masukkan kelapa kering yang dikisar, tepung jagung dan tepung gandum dikacau sehingga menjadi doh yang lembut. Tambahkan sedikit tepung jika doh agak lembik.
  3. Biarkan doh seketika dalam 15 minit dan kemudian letak doh diatas papan canai dan leperkan, terapkan mengikut acuan dan letakkan diatas loyang.
  4. Sapu bahagian atas dengan  putih telur dan taburkan dengan kelapa kering dan dibakar pada suhu 160°C selama 20 minit dan sehingga masak.

13. Resepi Biskut Sampan

15 Koleksi Kuih Dan Biskut Raya Lama Yang Evergreen Dan Sukar Didapati
gambar sumber Google
Bahan-bahan:-
250 gm mentega
1 cawan gula aising
4 ½ cawan tepung gandum, diayak
2 biji kuning telur

Bahan inti:-
½ buku mentega
¾ cawan gula aising
2 biji kuning telur
1 sudu kecil esen vanilla
2 cawan tepung gandum, diayak
1 tin kelapa kering
1 cawan buahan campuran

Acuan berbentuk sampan boleh didapati di kedai peralatan membuat kek dalam  harga RM5 bagi 10 keping.

Cara membuatnya:-
  1. Pukul mentega, gula aising dan kuning telur sehingga sebati kemudian masukkan tepung sikit demi sedikit sehingga menjadi doh yang lembut dan tidak melekat di jari.
  2. Untuk membuat inti : Campurkan mentega, gula aising, kuning telur dan esen vanilla, dipukul sehingga sebati. Masukkan kelapa kering, buahan campuran dan tepung. Uli sehingga bahan membentuk doh yang lembut dan melekat dijari.
  3. Oleskan bahagian dalam acuan berbentuk dengan mentega. Masukkan adunan kedalam acuan berbentuk sampan dan isikan dengan padat adunan inti di bahagian acuan sampan tersebut.
  4. Susun acuan berisi adunan di dalam loyang pembakar. Bakarkan pada suhu 180°C selama 20 minit dan bahagian atas berwarna keperangan. Keluarkan biskut dari ketuhar dan sejukkan.

14. Resepi Biskut Gajus

Memang teruja denga biskut gajus sebab ada kacang gajus dalam biskut yang berbentuk buah gajus atau kekadang tu ada yang membuat dengan bentuk empat segi tapi tetatp ada kacang gajus kat atas tu tapi sekarang gajus mahal kan tu yang jarang ada yang membuatnya.
15 Koleksi Kuih Dan Biskut Raya Lama Yang Evergreen Dan Sukar Didapati
gambar sumber Google
Bahan-bahan:-
200 gm mentega
100 gm gula aising
1 biji telur
1 sudu teh esen vanilla
50 gm tepung jagung, diayak
100 gm tepung gandum, diayak
Garam secukup rasa
10gm kacang gajus

Cara membuatnya:-
  1. Mentega dan gula aising dipukul hingga kembang, kemudian masukkan telur dan esen vanilla.
  2. Masukkan tepung gandum, tepung jagung serta sedikit garam.
  3. Ulikan adunan sehingga sebati supaya mudah untuk dibentukkan menjadi bentuk gajus. 
  4. Hiaskan sebiji kacang gajus di hujung bentuk dan sapukan telur di atas biskut.
  5. Bakarkan dalam ketuhar pada suhu 180°c selama 15 minit.

15. Resepi Biskut Suji

Biskut Suji ni antara kuih kegemaran bonda sebab lembut dan senang cair di dalam mulut malah mak-mak dulu suka bagi makan kuih ni kat anak kecil.
15 Koleksi Kuih Dan Biskut Raya Lama Yang Evergreen Dan Sukar Didapati
gambar sumber Google

Bahan-bahan:-
3 cawan tepung gandum, diayak
1 cawan tepung suji, diayak
1 cawan gula aising
Minyak sapi – secukupnya
Buah ceri merah dan hijau untuk hiasan

Cara membuatnya:-
  1. Tepung gandum diayak, kemudian dicampurkan dengan tepung suji dan gula aising
  2. Gaul kesemua bahan hingga rata dan sebati, masukkan minyak sapi sedikit demi sedikit sampai menjadi doh.
  3. Bulat-bulatkan doh seperti bebola kecil dan susunkan dalam loyang, letakkan hirisan ceri di atasnya atau kalau nak bentuk lain, leperkan doh dan tekapkan menggunakan acuan mengikut bentuk yang disukai.
  4. Bakarkan selama 10-15 minit dengan suhu 150°c.


5 Comments

  1. Bahulu sabut kelapa tu memang lagend sangat tu... berpanas, berpeluh memasaknya... tapi tengok hasilnya gembira rasa hati tak sabar nak raya tapi tu masa zaman kanak2 tolong arwah nenek buat

    ReplyDelete
  2. Lama tak jumpa biskut peanut butter bentuk mcm tu..nostalgia..

    ReplyDelete
  3. Suka biskut lama kenangan banyak juga tolong mak masak zaman sekolah dulu.

    ReplyDelete
  4. Minggu ni nk try buat biskut arab tu. Harap menjadi lah. Hehe. Eh biskut gajus tu fav ana tau. Sedapnya.

    ReplyDelete
  5. Teringat biskut arab tokmak.. xmerasa dah air tangan tokmak..

    ReplyDelete

Terima kasih atas kunjungan dan komen, sungguh sangat dihargai! Kalau ada kesempatan saya akan balas, InsyaAllah. Komen baik-baik tau!

Thanks for the visit, appreciate your positive comments!