Selangor Fruit Valley (SFV) Lokasi Santai Seisi Keluarga | Baru-baru ni saya berpeluang mengikut rombongan FAM trip ke Selangor Fruit Valley (SFV) anjuran Tourism Malaysia. SFV merupakan sebuah ladang tropika seluas 946 hektar yang dihiasi panorama indah pokok buah-buahan dan tanaman sayur-sayuran terletak di Bestari Jaya, Selangor


SFV diwujudkan pada tahun 2003 bagi menyahut hasrat Kerajaan Negeri Selangor untuk memodenkan sektor pertanian selaras dengan visi dan misi Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS).




Selangor Fruit Valley bukan sahaja menempatkan pokok tanaman seperti durian, jambu batu, rambutan, pulasan, nangka, mangga, ciku  juga terdapat sayur-sayuran hijau,  pokok herba, pokok kelapa pandan, nenas dan terdapat juga taman rusa, taman arnab dan lebah kelulut.


Tak perlu risau kalau ke sini kerana pengunjung tidak perlu berpenat dengan berjalan kaki kerana terdapt trem yang akan membawa anda menikmati pemandangan dan membuat beberapa pitstop ke lokasi yang cukup menarik seisi keluarga


Tram


Trem khas disediakan bagi pengunjung yang melawat ke sini bagi menikmati pemandangan ladang. Kenderaan itu melalui denai sepanjang 10 kilometer, membolehkan pengunjung melihat sendiri pelbagai jenis tanaman buah-buahan dan sayur-sayuran


Banyak tempat menarik di Selangor yang boleh dilawati


Taman Rusa



Persinggahan kami pertama di Taman Rusa. Ingatkan hanya ada pokok buah-buahan dan tanaman di Selangor Fruit Valley ni, rupanya ada juga rusa yang diternak di sini. Peluang memberi makan rusa dengan kacang panjang yang disediakan tu cukup membuat kami semua teruja.


Taman Arnab



Pastinya bukan kanak-kanak teruja bila sampai ke persinggahan kedua kami ni, iaitu Taman Arnab yang membenarkan para pengunjung memegang dan bermain dengan arnab. Pengunjung juga boleh bergambar dengan anak-anak arnab. Pastinya bukan kanak-kanak sahaja yang teruja, mak-mak pun tak akan lepaskan peluang.


Di bahagian atas yang menempatkan arnab, pengunjung juga boleh menaiki menara tinjau yang menempatkan beberapa sarang lebah kelulut.


Telur Itik Masin


Di kawasan ternakan itik, pengunjung juga dapat melihat dan mencuba belajar cara membuat telur masin cara tradisional.


Ladang Jambu



Kami turut diberi peluang memetik buah jambu batu dengan sendiri. Memang cukup teruja dengan  pokok-pokok jambu pun sangat rendah dan sampai rambang mata.

Di SFV ini bukan saja menghimpunkan pelbagai jenis tanaman, ia turut dijadikan lokasi agro-pelancongan serta hab sekuriti makanan negeri Selangor.


Rumah Kampung



Persinggahan terakhir kami adalah di Rumah Kampung, sebuah rumah kampung yang dibina dengan seni tradisional Melayu dan disini kami disajikan dengan buah-buahan serta air kelapa pandan serta berpeluang menikmati buah ‘nangcem’, atau cempedak nangka yang digoreng. Rasa buahnya seperti cempedak tetapi ulasnya lebih besar dan sedap.


Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKPS, Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi berkata  buah istimewa yang dikenali sebagai “buah nangcem” eksklusif hanya di SFV.

“Ia merupakan kacukan nangka (saiznya lebih besar seperti nangka) dan cempedak (isinya lembut, berlemak dan aroma yang unik seperti cempedak) yang telah dihasilkan melalui proses penyelidikan dan pembangunan secara komprehensif oleh pihak SFV sendiri,”


Laman Herba


Laman herba di sini menempatkan pelbagai jenis tumbuhan herba seperti daun kaduk, pokok janda kaya, ulam-ulaman dan paling menarik disini terdapat pokok buah mentega yang cukup rare.


Saya pernah merasa buah mentega ni sewaktu zaman kanak-kanak dimana buahnya akan di kesat ke rumput bagi membuang bulu-bulu tajam dikulitnya sebelum dipotong dan dimakan isinya. Buah mentega ni mempunyai bau seperti mentega.


Ecobridge Courtyard 


Ecobridge Courtyard merupakan ruang bersantai dalam keindahan tanaman menjalar serta lanskap yang menarik. Disini juga terdapat sebuah ‘Café’ untuk para pengunjung berehat dan menempatkan pejabat operasi Selangor Fruit Valley.


Maskot Bumblebee dari siri filem Transformers turut berada di sini bagi menceriakan pengunjung kanak-kanak ke Selangor Fruit Valley.


Di sini juga terdapat Pavilion Carambola yang merupakan ruang tinjau 3 tingkat. Tingkat paling atas merupakan ruang tinjau utama kepada pengunjung yang dapat memperlihatkan hampir keseluruhan Selangor Fruit Valley. Ia juga dilengkapi dengan sebuah Dewan Seminar yang mampu memuatkan 30 orang pada satu-satu masa.


Pengunjung juga tidak perlu risau kerana terdapat sebuah surau dan 2 bilik rehat di tingkat 2 dan sebuah Lab Bio-Tech dibahagian bawah


Cukup menarik!



Selain dari itu terbaharu, SFV turut memberi peluang orang ramai untuk berbasikal di trek kawasan ladang sejauh enam kilometer selain beberapa aktiviti yang akan bermula tidak lama lagi iaitu sukan lasak seperti All-Terrain Vehicle (ATV), aktiviti memancing dan aktiviti sukan air.


SFV merupakan destinasi pelancongan yang menarik untuk dikunjungi oleh pelancong domestik dan seisi keluarga kerana ia menawarkan pelbagai aktiviti menarik dengan pakej harga yang berpatutan.


SFV dibuka setiap hari Isnin hingga Khamis bermula jam 9 pagi sehingga 4 petang dan ditutup pada hari Jumaat


Harga tiket:

  • Dewasa: RM15
  • Kanak-kanak dan warga emas: RM10
  • Dewasa (Bukan Warganegara): RM30
  • Kanak-kanak (Bukan Warganegara): RM25


Sebarang pertanyaan dan tempahan, sila hubungi:

Talian Selangor Fruits Valley (8.30 pagi hingga 5 petang) 

016-688 0792 / 012-343 2971

Emel: selangorfruitsvalley@gmail.com



Di sini bukan buah-buahan sahaja menjadi tumpuan, malah terdapat aktiviti menarik lain seperti mengunjungi taman rusa, petting zoo di taman arnab dan variasi aktiviti tambahan lain antaranya persembahan kebudayaan yang kini giat diadakan pada setiap bulan.