Jaga Pandangan, Pelihara Iman | ALLAH mengurniakan mata supaya kita dapat melihat dan menikmati keindahan ciptaan ILAHI. Segala pandangan indah di muka bumi ini menandakan kekuasaan ALLAH tetapi adakah kita menggunakan sepasang mata yang berharga ini untuk tujuan yang baik atau sebaliknya?


Umat yang berakhlak akan menjauhi mata daripada memandang perkara-perkara  yang diharamkan.  Mereka yang menjaga pandangan daripada melihat perkara yang baik dan dijamin masuk ke syurga.




Umat Islam dilarang berdusta dalam tutur kata, mengkhianati amanah dan memungkiri janji yang dibuat. Mereka juga diperintahkan agar menjaga pandangan, memelihara anggota daripada mencederakan orang Islam lain dan menjaga kemaluan daripada melakukan perkara keji. Sesiapa yang menjaga larangan dan perintah ini, dia akan dipelihara oleh ALLAH SWT


Bukan satu perkara mudah untuk tidak melihat pandangan yang haram ketika hampir setiap hari kita berada di tempat awam, kaca televisyen, akhbar, majalah dan internet atau di mana sahaja. Keluar sahaja dari rumah kita sudah terdedah dengan pelbagai dugaan ALLAH


Bagi kaum lelaki, memandang kaum wanita dengan pandangan yang boleh menimbulkan nafsu amat ditegah kerana ia boleh mencetuskan perbuatan maksiat.  Bagi lelaki yang kuat iman, sudah tentu boleh mengelakkan perkara ini tetapi bagaimana jika tidak sengaja terpandang pandangan yang dilarang?


Menyentuh perkara ini, Rasullah saw ada mengingatkan dalam sebuah hadis oleh Ahmad ibn Hambal daripada Jarir bin Abdullah berkata,"Aku bertanya kepada Rasulullah mengenai pandangan yang tidak sengaja. Rasullah memintaku supaya memalingkan pandangan ke arah lain"


Pandangan tidak sengaja yang dimaksudkan ialah terpandang sesuatu yang boleh menyebabkan terjadi perbuatan maksiat seperti terlihat aurat wanita yang boleh menyebabkan nafsu syahwat bergelora.  Apabila menyedarinya, segeralah palingkan wajah dan jangan memandang berulang-ulang kerana agama menegah berbuat begitu.  Berpunca daripada pandangan mata yang tidak dijaga juga akan menyebabkan keimanan bergoncang.


Hal ini ditegaskan dalam satu hadis lain, daripada Sayidina Ali, Rasulullah saw berkata. "Wahai Ali, janganlah kamu ikuti pandangan pertama dengan pandangan kedua. Sesungguhnya bagi kamu yang pertama tetapi tidak yang kedua".


Hadis ini menjelaskan bahawa pandangan yang pertama dikira tidak sengaja tetapi usah memandang untuk kali kedua dan seterusnya kerana yang selebihnya itu sudah dikira pandangan dengan niat dan berdosa.


Sebagai contoh, kita terlihat seroang wanita yang cantik dalam keadaan yang tidak menutup aurat.  Sudah tentu sebagai lelaki jika pandangan pertama dikira tidak sengaja tetapi jika ia memandang sekali lagi atau merenung dengan tempoh yang lama, perbuatannya itu dianggap berdosa.


Rasulullah saw berpesan, jika terpandang perkara seumpama itu, segeralah palingkan wajah ke arah lain.  Rasulullah saw berkata, "Pandangan adalah panahan beracun daripada panahan iblis.  Sesiapa yang menundukkan pandangan daripada kecantikan wanita, ALLAH mewariskan di hatinya kemanisan yang dimiliki sehingga hari bertemu dengan-NYA.


Oleh itu, jagalah pandangan sewajarnya. Amalkan menundukkan pandangan daripada melihat yang haram.  Ini kerana maksiat bermula dari pesona pandanga mata, kemudian jatuh ke hati.  Maka, terjadilah apa yang tidak diingini


m/s 198 - 2oo / Bab 54

100 Pesanan Terakhir RASULULLAH



Menerusi firman Allah SWT bermaksud: "Katakanlah (wahai Muhammad) kepada lelaki yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada apa yang tidak halal melihatnya) dan memelihara kehormatan (daripada apa saja yang tidak halal melakukannya)." (Surah an-Nur, ayat 30)


Rasulullah SAW telah melarang daripada perbuatan yang mendorong kepada zina termasuklah zina tangan dan zina mata. Baginda SAW bersabda:


إِنَّ اللَّهَ كَتَبَ عَلَى ابْنِ آدَمَ حَظَّهُ مِنَ الزِّنَا، أَدْرَكَ ذَلِكَ لاَ مَحَالَةَ ، فَزِنَا العَيْنِ النَّظَرُ، وَزِنَا اللِّسَانِ المَنْطِقُ ، وَالنَّفْسُ تَمَنَّى وَتَشْتَهِي ، وَالفَرْجُ يُصَدِّقُ ذَلِكَ كُلَّهُ وَيُكَذِّبُهُ


Maksudnya: Sesungguhnya Allah SWT telah menetapkan keatas anak-anak Nabi Adam itu bahagiannya daripada perbuatan zina. Mereka pasti akan melakukannya tanpa syak lagi. Zina bagi mata ialah melihat kepada perkara yang diharamkan, zina bagi lidah pula ialah memperkatakan sesuatu yang tidak sepatutnya, zina nafsu pula ialah berharap dan ingin kepada perkara yang haram, lalu kemaluanlah yang menentukan samada ia membenarkan zina atau menghalangnya.


Hadith riwayat al-Bukhari : (6243) dan Muslim : (2657)