Resepi Tapai Ubi Kayu Cubaan Pertama Kali, Tak Sangka Banyak Pantang Larangnya | Membuat tapai ni sebenarnya agak kompleks dan silap sikit jer tapai tidak akan menjadi seperti yang kita inginkan. Ingat beli saja tapai yang dijual di kedai, tapi lagi hampa bila tapai tersebut bukan hanya tidak manis tapi punya rasa yang pelik.


Begitulah yang terjadi pada umi, bila Cik Meya teringin tapai ubi kayu, jadi umi belikat Pasar Datuk Keramat tapi dahlah tak manis, tapi bila dimakan tu ada rasa macam kita makan belon tiup dengan straw kecil tu. Memang tak boleh hadam langsung, malah bagi kat kekanda umi yang pakar buat tapai pulut pun dia cakap yang sama.


Resepi Tapai Ubi Kayu Cubaan Pertama Kali, Tak Sangka Banyak Ada Pantang Larangnya


Waktu sarapan di Shah Alam, DH belikan tapai ubik kayu untuk cik Meya tapi rasanya pun sama jugak. Dah jadi serik nak beli dan terfikir, nak buat sendiri, boleh buat banyak dan makan banyak kan. 


Maka, umi pun belilah ubi kayu tak sampai sekilo kat pasar dan buat tapai ubi kayu sendiri. Kalau tak jadi tu, boleh cuba lagi sebab paling penting nak tahu tekniknya kan.


RESEPI TAPAI UBI


Bahan-bahan:

1/2 kg ubi kayu

1 keping ragi (dihaluskan jadi serbuk- gesek dgn pengayak tpg pun boleh)

secukup daun pisang (utk membungkus tapai)


Cara Penyediaan :

1. Potong ubi kayu (4 - 5 cm) Kupas kulit ubi kayu, basuh dan bersihkan. Rebus hingga separuh masak, toskan dan biarkan sejuk.




2. Susun ubi kayu dalam bekas, taburkan ragi yang ditumbuk halus keatas keatas ubi kayu dengan menggunakan penapis. Kalau banyak, susun lagi selapis dan tabur lagi ragi rata-rata. Tutup bekas rapat-rapat. Ada juga tip yang mana setiap ubi kayu disapukan dengan serbuk ragi.

3. Ambil sehelai kain putih atau kain apa-apa pun untuk membungkus bekas yang menyimpan ubi kayu dan perap selama 3 hingga 4 hari. Simpan di tempat yang tertutup dan gelap seperti dalam kabinet atau almari.

4. Bila tapai dah menjadi, baunya akan naik seakan bergas dan mengeluarkan sedikit air yang manis. Siap dan boleh dimakan dengan kelapa parut yang digaul dengan sedikit garam.


Nota : 

  • Kalau rajin, boleh bungkus tapai dengan daun pisang 

  • Tapai yang sudah elok terjadi, sebaiknya disimpan dalam peti ais bagi mengelakkan gasnya yang terlebih. 

RESULT TAPAI UBI KAYU HOMEMADE



Tidak berapa menjadi sebab lupa nak letakkan di tempat gelap walau ditutup dan kemungkinan sebab cuaca yang kerap hujan membantutkan penapaian ragi. Atau mungkin juga ragi terlalu banyak pada ubi kayu dan tidak ditabur dengan lebih rata.


Apa pun umi boleh cuba sekali lagi sebab kos membuat tapai ni tidak mahal dan bahan-bahan pun mudah didapati.


ADA PANTANG LARANG MEMBUAT TAPAI :

Apa pun umi nak kongsi jer pantang larang yang pernah didengari dalam membuat tapai ni. Ada yang boleh diterima pakai dan ada yang pasti mengundang kemusykilan.


1. Jangan peram dalam bekas besi atau aluminium tapi guna daun-daun atau bekas plastik.

2. Jangan letak bekas peraman tapi di atas lantai

3. Jangan diintai/dibuka bekas tapai sebelum masanya, khuatir tapai tidak akan menjadi

4. Simpan ditempat gelap dan tersembunyi dan jangan hebahkan kepada orang lain

5. Kena pastikan tidak dalam keadaan bulan, makan sireh atau mengunakan perkakas berwarna merah, kerana ini akan menyebabkan tapai berwarna merah. Juga tidak boleh makan benda masam, kelak tapai juga akan menjadi masam.

6. Pembuat tapai tidak boleh dalam keadaan marah, harus tenang

7. Kalau buat tapai pulut, pulut yang hendak dibuat tapi tidak boleh dicuit untuk dibuat makan

8. Jangan bercakap perkara yang tidak elok

Apa pun tidak dapat dipastikan kebenarannya setiap yang dilarang kerana orang dulu-dulu ni punya tertib dan cukup mengambil berat dalam membuat sesuatu dan pastinya pantang larang ini dijadikan guideline supaya tapai yang dibuat menjadi dengan sempurna. 


Apa pun umi ada terbaca sebab dan penyebab kenapa tapai tidak menjadi dari segi pandangan sains. 


KENAPA TAPAI TIDAK MENJADI 

Pembuatan tapai adalah hanya menggunakan sumber karbohidrat seperti beras, pulut, ubi dan mikroorganisma dari ragi yang akan menapai karbohidrat tersebut.


Ia memerlukan keadaan optimum: gelap, lembap dan bersih dari cemaran organisma lain. Pernah dengar antara petua nenek moyang? Bila buat tapai tak boleh bercakap banyak. Tak boleh bercerita dengan orang.


Sebenarnya kaedah itu mengurangkan cemaran dan ‘jangkitan’ bakteria dan fungus yang tidak diingini dari manusia dan persekitaran.


Ada keadaan bila tapai masam. Mungkin keadaan tapaian tidak sesuai untuk fungus, suhu karbohidrat terlalu panas bila mengadun ragi dengan pulut atau ubi. Menyebabkan spora fungus terbantut dan bakteria menguasai.


Kadang-kala tumbuh kulat hitam. Mungkin tercemar dengan kulat Rhizopus atau Aspergillus dari tempe, tepung, roti, bekas dan persekitaran yang tidak bersih.


Kalau tapai bertukar merah, bukan sebab buat tapai waktu datang haid. Mungkin terdapat cemaran kulat seperti Neurospora (N. crassa) yang mempunyai spora kemerahan.


sumber : https://www.facebook.com/inisainsbeb/photos/tapaitapai-adalah-salah-satu-kemestian-dalam-pelbagai-keraian-di-malaysia-tidak-/1154560488236538/