Semoga Ramadan Ini Bukan Ramadan Terakhir  | Memang berdebar semua tunggu bila nak raya, ada yang kata hari Jumaat dan ada yang kata hari Sabtu. Haish, rasa tak tenang pun sama banyak sebab rasa sayang nak tinggalkan Ramadan seperti tahun-tahun lalu, tapi kita tahu, Ramadan akan pergi dan akan kembali.  Apa yang tidak pasti adalah, adakah kita akan temui Ramadan lagi tahun depan?


Tahun ni agak berbeza rutin umi dari tahun sebelumnya, kalau dulu umi datang pagi untuk hantar lauk untuk bonda dan balik untuk uruskan rumah. Bila turn umi tidur di rumah bonda tu, hanya ada bonda tapi tahun ni Kak Ndak akan bergilir dan tunggu hingga umi sampai. Tu antara yang berbeza dengan tahun-tahun dulu dimana bonda sihat dan boleh bergerak tanpa kerusi roda.



Lepas berbuka semalam, memang semua fokus kat depan tv nak dengar pengumuman dengan perut penuh.


Jadi planning balik Kedah kami bertukar selepas pengumuman, kami akan bergerak balik esok selepas solat sunat Hari Raya dan ziarah bonda. So balik dari rumah bonda kejap lagi memang umi kena bersilat kat dapur sambil kemas kain baju.


Ok, umi kongsikan jadual umi sejak tahun lepas dan masih rutin yang sama cuma berbeza pada hari Selasa dimana umi datang waktu petang bukan pagi.


Alhamdulillah, umi masih seronok lakukan rutin walau penat sebenarnya dan lebih penat bila bonda terkadang cepat lupa dan kekadang ok. Terkadang bonda sangat lemah, terkadang terlalu banyak bertanya dan paling cukup umi elak bila bonda kerap nak berbaring. Bila bagi baring, bonda minta duduk di wheelchair dan nak berdiri dari katil ke wheelchair pun kaki dia cukup lemah.


ISNIN : sampai rumah bonda seawal jam 8.30 pagi.  Uruskan rumah bonda, sediakan makan tengahhari bonda dan balik jam 2 atau 2.30 untuk jemput si bongsu. Kak Ndak akan ambil alih tugasan hingga adik sampai dan bermalam.


SELASA : Kak Ndak akan datang seawal 7.30 sebab adik akan keluar dari rumah bonda jam 6.30 pagi untuk hantar anak-anak ke sekolah dan isteri ke pejabat. Dia akan kembali ke rumah bonda untuk bawa bonda ke bilik air untuk mandi. 

Jam 3 petang, umi akan kembali ke rumah bonda, bawa bahan masakan untuk memasak sebab ahli keluarga akan datang untuk iftar dan kembali ke rumah tanpa umi. So malam Selasa umi akan overnite kat rumah bonda seperti rutin.


RABU : Uruskan hal bonda, kemas rumah dan sediakan makan tengahhari bonda dan Kak Ndak akan datang untuk ambil alih tugasan bermula jam 2 petang. Kak Ndak akan tunggu untuk uruskan bonda hingga Kak Uda sampai dan bermalam dalam jam 6 petang.


KHAMIS : Umi akan sampai rumah bonda seawal 8.30 pagi untuk uruskan bonda. Kak Uda akan pastikan bonda dah mandi, breakfast sebelum pergi kerja. Jadi umi akan ambil rutin hingga jam 2 petang dan kemudian Kak Ndak akan ambil alih dan berbuka di rumah bonda.

Jam 8 malam umi akan kembali ke rumahh bonda untuk bermalam hingga tengahhari esoknya. Tapi tahun ni ada 2 hari Khamis yang Bang Teh ambil alih, jadi umi tak perlu ke rumah bonda.


JUMAAT : Uruskan hal bonda hingga ke makan tengahhari bonda dan Kak Ndak akan ambil alih hingga Bang Ngah datang. Lazimnya Bang Ngah datang lewat jadi Kak Ndak akan berbuka di rumah bonda.


SABTU : Bang Ngah akan uruskan bonda dan kemudian Kak Lang akan datang untuk overnite  untuk urusakan bonda. Kalau Bang Ngah balik awal, pasti ada adik beradik lain yang akan cover sekejap hingga Kak Lang sampai atau Kak Lang akan sampai lebih awal.


Malam minggu memang meriah di rumah bonda bila adik-beradik akan berkunjung hingga lewat malam. Kak Jang dan keluarga, Kak Ndak, Kak Uda dan anak menantu dan anak-anak umi pun akan singgah sementara umi akan busy uruskan rumah.


AHAD : Kak Lang akan uruskan bonda, kemaskan rumah hingga Bang Teh datang untuk bermalam hingga keesokkan hari Isnin. Bang Teh akan uruskan bonda, sarapan dan kemudian umi akan sampai jam 8.30 dan rutin seminggu berulang balik.


Begitulah jadual bulan Ramadan tapi jadual bulan lain tetap sama cuma berbeza sebab kami saling nak kejar masa untuk iftar keluarga disamping uruskan hal untuk bonda.


Penat? Memang penat tapi selagi bonda ada, selagi itulah kita sebagai anak-anak akan berbakti dan syukur Alhamdulillah, DH amat memahami dan memberi keizinan walau setiap minggu tu umi akan menginap 2 malam (selang semalam) di rumah bonda.


Kalau bukan bulan Ramadan, rutin tetap sama cuma umi akan sediakan lunch bila balik dari rumah bonda dan tunggu untuk makan tengahhari cuma makan malam dengan DH jam 5 petang. DH pula akan breakfast di pejabat dan memang perut dia tahan sungguh untuk makan tengahhari di petang hari. Gamaknya tu la sebabnya dia kekal kurus.


TIADA HOMEMADE DESSERT BULAN RAMADAN TAHUN NI

Tahun ni seperti tahun-tahun lalu, memang umi tak buat kuih raya, cuma order dari blogger www.mrsliez.com je dan tahun ini juga umi tak buat kuih untuk makan petang seperti lepat liat, kuih pulut sekaya, kuih buah melaka mahupun kuih lopes. 


DH ada juga suarakan tapi dia cakap dia faham yang umi penat. Alhamdulillah, DH memahami dan mujur dia tak cerewet walau agak cerewet. Hahaha gimana tu? 


Seperti tahun-tahun biasa 2 hero bujang akan beli murtabak Kg Baru, Roti John Titiwangsa, Satay Melaka dan Bubur Lambuk Surau dekat PPR Air Panas. Bukan setiap hari tapi rotate menu dan umi pun tak jejak Bazar Ramadan langsung.


Kami sekelurga sempat berbuka puasa di luar sekali di Dee Nasi Ayam dan 2 kali sahur di kedai mamak sebab umi dok rasa nak makan roti nan tapi semalam tak dapat pulak roti nan kat Restoran Bidayah. Kot rajin nanti umi buat entri, tu pun kalau dapat selesaikan artikel untuk client yang masih tertunggak.


Semoga kita bertemu di Ramadan akan datang dan semoga Ramadan ini bukan Ramadan terakhir kita