'Iddah : Hukum, Tempoh Dan Larangan Buat Isteri Saat Kematian Suami

"dik, awak dalam 'iddah, tak boleh pakai barang kemas" kata seorang wanita kepada kakak yang  berada di sisi jenazah suaminya yang baru sampai ke surau untuk disolatkan. Bila seorang wanita yang kematian suami, maka tempoh iddah atau berkabungnya telah bermula. berkabung pada sisi syarak ialah meninggalkan memakai pakaian yang ada padanya maksud berhias dan meninggalkan memakai celak dan wangian dan perhiasan tubuh dan apa yang menyerupai demikian itu.


Iddah


Apa Itu 'Iddah

Dalam konteks perkahwinan Islam, 'iddah merujuk kepada tempoh menunggu yang ditetapkan bagi wanita yang telah bercerai atau menjadi balu sebelum mereka dibenarkan untuk berkahwin semula. Tujuan utama 'iddah adalah untuk memastikan keabsahan status kehamilan dan memberi peluang bagi penyelesaian hukum serta emosi.


Ada perbezaan tempoh'iddah seorang wanita yang bercerai hidup dan 'iddah seorang wanita yang kematian suami.



Hukum Dan Tempoh Berkabung

Hukum berkabung ini adalah harus selama 3 hari dengan malamnya, dengan sebab kematian seorang yang merupakan saudara terdekatnya. Dan haram berkabung lebih dari 3 hari jika yang mati itu selain suaminya. Maka dari kerana sesungguhnya isteri itu wajib berkabung selama 4 bulan dan 10 hari.


Ini berdalil dengan sabda Nabi SAW:


لَا يَحِلُّ لِامْرَأَةٍ تُؤْمِنُ بِاللهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ أَنْ تُحِدَّ فَوْقَ ثَلاثَةِ أَيَّامٍ، إِلا عَلَى زَوْجٍ أَرْبَعَةَ أَشْهُرٍ وَعَشْرًا

“Tidak halal (iaitu haram) bagi seorang perempuan yang beriman dengan Allah dan hari Kiamat berkabung lebih dari 3 hari melainkan sebab kematian suaminya, maka berkabung dia selama 4 bulan 10 hari.” [Riwayat Bukhari dan Muslim]



Berkabung Kematian Suami (Ihdad): Hukum dan Larangan


Apabila berlaku kematian bagi seorang suami, antara insan yang akan diberi perhatian ialah isteri si mati. Siapa isterinya? Muda atau tua? Cantik atau sebaliknya? Berkerjaya atau suri rumah sepenuh masa? 


Bagaimana dia akan meneruskan kehidupan selepas kematian suaminya? Solehahkah dia? Bagaimana nanti dia menguruskan anak-anaknya? Banyakkah harta pusaka yang diperolehnya? 


Adakah menjadi janda yang kaya atau miskin tanpa harta? Adakah dia memerlukan suami yang lain untuk menjaganya? 1001 persoalan boleh sahaja berlegar-legar dalam pemikiran siapa pun, sama ada rakan-rakan arwah suami, rakan-rakan sendiri ataupun saudara-mara.


Dalam menghadapi pelbagai pandangan dan sangkaan masyarakat, isteri yang baru kematian suami juga berhadapan dengan emosi yang bergejolak. Jika tidak diurus dengan baik, ia akan memberi tekanan yang berat. 


Justeru, fasa-fasa awal kehilangan suami memerlukan kekuatan emosi yang tinggi untuk meneruskan kehidupan dengan tenang di samping menguruskan anak-anak yang pastinya memerlukan seorang ibu yang kuat.


Islam memandang serius situasi berat yang dihadapi isteri dengan menghadiahkan tempoh bertenang selama empat bulan 10 hari. Ia merupakan tempoh ‘iddah isteri yang kematian suami serta perlu berkabung bagi meraikan kesedihan dan kehormatan kepada si mati yang dikenali sebagai tempoh ihdad.


Maksud dan kewajipan ihdad


Ihdad dalam bahasa Arab bermakna tegahan dan larangan. Hal ini kerana ihdad merupakan suatu aturan khas yang berkait rapat dengan wanita yang kematian suami. Ihdad menegahnya daripada banyak perkara yang dahulunya diharuskan baginya. 


Menurut syarak, ihdad ialah perbuatan meninggalkan perhiasan yang dipakai atau berhias diri kerana berdukacita atas kematian seseorang. 


Menurut mazhab asy-Syafi’i, hukum berihdad diwajibkan kepada wanita yang kematian suami selama empat bulan 10 hari. Pandangan ini merupakan ijmak ulama berdasarkan hadis riwayat Zainab binti Abi Salamah r.a. bahawa Nabi SAW bersabda:


لَا يَحِلُّ لِامْرَأَةٍ تُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ، تُحِدُّ عَلَى مَيِّتٍ فَوْقَ ثَلَاثٍ، إِلَّا عَلَى زَوْجٍ أَرْبَعَةَ أَشْهُرٍ وَعَشْرًا

“Tidak halal bagi wanita yang beriman kepada Allah SWT dan hari akhirat untuk berkabung lebih daripada tiga hari kecuali jika yang meninggal adalah suaminya, maka waktunya adalah empat bulan dan 10 hari.”  (Sahih Bukhari no. hadis 1222)


Kewajipan berihdad adalah sebagai penyataan isteri terhadap hubungan dengan suaminya yang telah meninggal dunia. Ia menggambarkan kesedihan yang menimpa kerana kehilangan seorang insan yang sangat rapat dan akrab dalam hidupnya.


Demikian juga, kewajipan ihdad sebagai meraikan perasaan isteri yang berasa kehilangan suatu nikmat kehidupan dalam agama iaitu nikmat pernikahan.


Pernikahan mampu menjaga maruah isteri daripada melakukan perzinaan dan perkara-perkara yang haram, di samping memperoleh nafkah yang halal daripada suami. 


Justeru, amat wajarlah ihdad itu dipatuhi kewajipannya lantaran kematian suami yang juga merupakan musibah dan perasaan dukacita yang menimpa dirinya.


Larangan berhias seorang wanita dalam ihdad


Wanita tidak boleh menerima pinangan lelaki lain dan perkahwinan dalam tempoh ‘iddah adalah tidak sah.


Ia merupakan larangan umum bagi semua tempoh ‘iddah termasuk perceraian hidup cuma bezanya ialah tempoh ‘iddah bagi perceraian hidup hanyalah tiga kali suci, manakala bagi wanita kematian suami, tempoh ‘iddahnya ialah empat bulan 10 hari.


Bagi mereka yang kematian suami dalam keadaan hamil, ia akan berakhir setelah kelahiran anak dalam kandungan.


Tambahan peraturan bagi wanita kematian suami ialah mereka perlu menjalani pantang larang ihdad atau berkabung. Larangan ini adalah berdasarkan hadis daripada Ummu `Atiyyah al-Ansariyyah r.a. katanya:


كُنَّا نُنْهَى أَنْ نُحِدَّ عَلَى مَيِّتٍ فَوْقَ ثَلاَثٍ، إِلاَّ عَلَى زَوْجٍ أَرْبَعَةَ أَشْهُرٍ وَعَشْرًا، وَلاَ نَكْتَحِلَ وَلاَ نَتَطَيَّبَ وَلاَ نَلْبَسَ ثَوْبًا مَصْبُوغًا إِلاَّ ثَوْبَ عَصْبٍ، وَقَدْ رُخِّصَ لَنَا عِنْدَ الطُّهْرِ إِذَا اغْتَسَلَتْ إِحْدَانَا مِنْ مَحِيضِهَا فِي نُبْذَةٍ مِنْ كُسْتِ أَظْفَارٍ، وَكُنَّا نُنْهَى عَنِ اتِّبَاعِ الْجَنَائِزِ

“Kami dilarang berkabung atas kematian seseorang melebihi tiga hari melainkan kematian suami yang dibenarkan berkabung selama empat bulan 10 hari. Kami tidak dibenarkan bercelak, berwangi-wangian dan memakai pakaian yang cantik, berseri melainkan ‘asb (sejenis pakaian perempuan Arab). Ketika mandi setelah suci daripada haid, kami dibenarkan menggunakan sedikit minyak wangi. Kami juga dilarang untuk mengiringi jenazah.”  (Riwayat al-Bukhari (307) dan Muslim (938))


4 Larangan Ihdad 

Dalam hadis di atas terdapat empat larangan ihdad iaitu 

  • bercelak, 
  • berwangi-wangian, 
  • memakai pakaian cantik
  • mengiringi jenazah. 


Bercelak serta memakai solekan di wajah termasuk solekan bibir, pipi dan sebagainya yang boleh memberi tarikan kepada lelaki ajnabi. Begitu juga wanita ihdad dilarang memakai bau-bauan yang harum pada badan dan pakaian yang boleh menimbulkan rasa syahwat.


Walau bagaimanapun, ia diharuskan untuk menghilangkan bau yang tidak selesa seperti bau peluh, masam dan bau ketika wanita haid, namun tidak boleh keterlaluan sehingga menarik perhatian lelaki.


Selain itu wanita berihdad juga dilarang memakai pakaian dan perhiasan yang boleh mencantikkan diri termasuk memakai barang kemas dan berinai. 


Secara umumnya sepanjang tempoh ini, seorang wanita dilarang melakukan beberapa perkara yang boleh membawa kepada keinginan seorang lelaki ajnabi untuk melamarnya sebagai isteri.


Larangan berhias dan berwangi-wangian sepanjang tempoh ini sebenarnya merupakan satu kaedah pencegahan (sadd al-dzara’i‘) bagi mengelakkan timbulnya perasaan minat golongan lelaki terhadap wanita berkenaan dan kehendak wanita itu sendiri untuk mencari pengganti dalam tempoh ‘iddah yang akhirnya boleh membawa kepada perasaan ingin berkahwin. 


Walaupun wanita berkabung dilarang daripada berhias, hal ini tidak bermakna mereka perlu mengabaikan aspek kebersihan dan kesihatan diri. Malah, mereka wajib menjaga kebersihan dan kekemasan diri, pakaian dan tempat tinggal sepanjang tempoh ihdad.


Perintah berkabung hanya dikhususkan kepada suruhan meninggalkan hiasan tubuh badan dan pakaian sahaja, tidak termasuk hiasan tempat tinggal dan bilik tidur. Malah, mereka digalakkan banyak bertaqarrub kepada Allah SWT dalam keadaan bersih dan kemas. 


Larangan keluar rumah dalam ihdad


Ulama daripada empat mazhab bersepakat bahawa wanita yang sedang beriddah diwajibkan menetap di rumah suaminya sepanjang tempoh empat bulan 10 hari dan dilarang meninggalkan rumah tersebut. Mereka bersandarkan kepada firman Allah SWT (maksudnya):


“Janganlah kamu mengeluarkan mereka dari rumah-rumah kediamannya (sehingga selesai iddahnya), dan janganlah pula (dibenarkan) mereka keluar (dari situ), kecuali (jika) mereka melakukan perbuatan keji yang nyata…” (At-Talaq 65 :1)


Larangan keluar rumah bagi seorang isteri dalam tempoh ihdad merupakan satu kemaslahatan yang besar bagi seorang wanita. Ia mampu menjaga maruah wanita yang baru kehilangan suami daripada pandangan-pandangan sinis serta tanggapan negatif masyarakat.


Ia juga dapat membendung keinginan lelaki untuk mengahwini wanita yang masih dalam tempoh ‘iddah.  Masyarakat Melayu sering mengaitkan wanita janda dengan isu-isu negatif seperti skandal dengan teruna dan suami orang, masalah sosial dan sebagainya.


Mereka tidak sunyi daripada pelbagai fitnah yang boleh mencemarkan maruah wanita. Pelaksanaan ihdad merupakan salah satu alternatif dalam menangani isu tersebut. Sepanjang tempoh ihdad, mereka dilarang keluar dari rumah tanpa sebarang hajat yang amat diperlukan. 


Larangan ini sebenarnya dapat mengurangkan tanggapan masyarakat, malah dapat memelihara keselamatan mereka daripada sebarang kekacauan. Maka, tempoh ini mampu memulihkan keseimbangan emosi dan memberi ketenangan jiwa setelah berhadapan dengan ujian kematian. 


Walau bagaimanapun, sebahagian besar ulama telah memberi kelonggaran bagi mereka untuk keluar rumah disebabkan keperluan untuk menjaga kemaslahatan seperti menguruskan jenazah suami di hospital jika tiada waris lain yang boleh membantu.


Begitu juga keharusan keluar daripada rumah bagi seorang wanita untuk bekerja atau membeli keperluan diri dan keluarga. Namun, sangat perlu diberi perhatian untuk menjaga penampilan diri dengan pantang larang ihdad iaitu tidak mempamerkan kecantikan dengan bersolek dan memakai perhiasan. 


Pandangan yang memberi keharusan wanita ihdad keluar dari rumah disebabkan keperluan berdasarkan riwayat daripada Mujahid yang berkata: 


“Ketika beberapa orang para sahabat meninggal dunia di medan Uhud, isteri-isteri mereka telah datang menemui Nabi SAW lalu berkata: ‘Wahai Rasulullah, kami berasa sunyi bersendirian pada waktu malam, adakah boleh kami bermalam di rumah sahabat-sahabat kami dan apabila siang menjelma kami pulang ke rumah masing-masing?’ Baginda bersabda: ‘Kamu boleh berbual-bual di rumah sahabat-sahabat kamu hinggalah apabila kamu mahu tidur pulanglah setiap seorang kamu ke rumahnya masing-masing. (Sunan al-Baihaqi, 7/717 (15512), Ma ‘Arifah al-Sunan 11/218 (15329))


Namun, perlu difahami bahawa keharusan untuk wanita berihdad keluar dari rumah hanya diberikan atas alasan keperluan dan hajat. Apabila hajatnya telah dipenuhi, tiadalah lagi keharusan baginya untuk menghabiskan masanya di luar rumah ihdadnya.


Mengiringi jenazah dalam ihdad

Terdapat banyak soalan daripada masyarakat berkaitan perempuan dalam ihdad mengiringi suaminya ke kubur. Secara umumnya larangan mengiringi jenazah ke kubur bukan hanya terhad kepada wanita dalam ihdad sahaja, malah larangan Rasulullah SAW umum kepada semua wanita termasuk wanita dalam ihdad. 


Daripada Umm Atiyyah RA bahawa dia berkata:


نُهِينَا عَنْ اتِّبَاعِ الْجَنَائِزِ وَلَمْ يُعْزَمْ عَلَيْنَا

Maksudnya: Kami (kaum wanita) dilarang daripada mengikut jenazah-jenazah (ke kekuburan) dan Baginda (SAW) tidak melarang dengan keras (hal demikian) ke atas kami. (Hadis riwayat al-Bukhari (1278))


Menurut Imam Nawawi dalam kitab al-Majmu’ (5/277-278), larangan ini bersifat makruh tanzih dan merupakan pandangan Mazhab Syafie dan jumhur, manakala dalam Mazhab Malik tidak menganggap makruh kecuali bagi wanita muda. 


Seperti yang dijelaskan sebelum ini, wanita kematian suami hanya dibenarkan untuk keluar dari rumah dalam tempoh ihdad jika terdapat keperluan. Realiti yang berlaku pada masa kini, semua urusan pengebumian jenazah dilakukan oleh pihak lelaki, maka tiada keperluan untuk isteri mengiringi jenazah ketika urusan pengebumian yang ramai dihadiri oleh kaum lelaki. 


Secara umumnya, pensyariatan ihdad mempunyai hikmah yang tersendiri iaitu bagi memberi satu masa dan ruang yang istimewa kepada isteri untuk menerima kehilangan suami yang pernah menjadi sebahagian daripada hidupnya.


Ia tempoh menyesuaikan diri untuk berlapang dada dan reda atas ujian kehidupan. Ia juga bagi menzahirkan kesedihan dan kesetiaan isteri serta menjaga maruah isteri daripada diganggu oleh lelaki lain. Allahu a’lam.


Soalan Dan Jawapan

1. Assalamualaikum, saya ingin bertanya jika isteri yang kematian suami perlu keluar bekerja, adakah saya hanya boleh memakai pakaian berwarna hitam atau gelap sahaja? Sebabnya baju warna yang gelap atau jubah hitam tidak banyak, dan ada juga jubah hitam tetapi bermanik. Mohon pencerahan.


Ringkasan Jawapan

Isteri yang kematian suami wajib berkabung dengan meninggalkan segala pakaian atau perhiasan yang boleh menarik perhatian sepanjang tempoh ‘iddah. Pakaian gelap atau berwarna hitam tanpa dihiasi dengan perhiasan tambahan yang lain seperti manik adalah lebih menepati syarat berkabung. Walau bagaimanapun apa-apa pakaian berwarna, selagi pakaian tersebut tidak bertujuan untuk berhias dan tidak terlampau terang warnanya pada adat kebiasaan masyarakat setempat, maka ia dibolehkan.


2. Tempoh iddah bagi ibunya yang telah kematian suami. Dan apakah hukum sekiranya telah melanggar iddah tersebut (membawa ibunya keluar ke pasaraya)


Jawapan:

Perempuan/isteri yang kematian suami hendaklah menjalani tempoh iddah selama 4 bulan 10 hari. Sebagaimana firman Allah dalam surah al-Baqarah  ayat 234

Jika ada ahli keluarga yang mampu untuk melaksanakan tanggungjawab membeli barangan keperluan adalah digalakkan kerana tiada keperluan bagi ibunya untuk keluar rumah sedangkan anaknya mampu untuk menjalankan tanggungjawab.







Kewajipan Berkabung


Isteri yang kematian suami diwajibkan berkabung (ihdad) sepanjang tempoh ‘iddah. Ihdad dari sudut bahasa yang membawa maksud larangan ialah meninggalkan sebarang pakaian, perhiasan, wangian, solekan dan sebagainya yang boleh menarik perhatian lelaki kepadanya[2]. Ini bertepatan dengan hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Ummu ‘Atiyyah:


لَا تُحِدُّ امْرَأَةٌ عَلَى مَيِّتٍ فَوْقَ ثَلَاثٍ، إِلَّا عَلَى زَوْجٍ، أَرْبَعَةَ أَشْهُرٍ وَعَشْرًا، وَلَا تَلْبَسُ ثَوْبًا مَصْبُوغًا، إِلَّا ثَوْبَ عَصْبٍ، وَلَا تَكْتَحِلُ، وَلَا تَمَسُّ طِيبًا، إِلَّا إِذَا طَهُرَتْ، نُبْذَةً مِنْ قُسْطٍ أَوْ أَظْفَارٍ


Maksudnya: Seorang wanita dilarang berkabung atas kematian seseorang lebih dari tiga hari kecuali atas kematian suaminya. Dia hendaklah berkabung selama empat bulan sepuluh hari. Janganlah dia memakai pakaian yang dicelup kecuali pakaian ‘asab (kain berasal dari Yaman yang diperbuat daripada benang yang yang dicelup dengan warna kemudian dipintal), janganlah memakai celak, jangan memakai minyak wangi kecuali ketika dia bersuci daripada haid, hendaklah dia mengambil sepotong qusth atau azhfaar (sabun bagi tujuan menghilangkan bau darah dan bukan tujuan berwangi-wangian).


Riwayat Muslim (938)



Walau bagaimanapun, kebersihan dan penjagaan diri seperti memotong kuku, menggunakan sabun untuk kebersihan diri dan pakaian tidak termasuk dalam larangan ini bahkan ia merupakan satu keperluan diri yang asas.


Imam al-Ramli menjelaskan maksud mengelakkan pakaian yang berwarna ialah pakaian yang bertujuan untuk berhias dan boleh menarik perhatian terutamanya mu’asfar iaitu pakaian yang dicelup dengan warna merah. Hal ini demikian kerana wanita yang berkabung hendaklah memakai pakaian yang tidak terlalu terang berkilauan warnanya dan bukan bertujuan untuk berhias seperti warna biru, hijau, hitam dan sebagainya sehingga boleh menyebabkan lelaki ajnabi tertarik padanya dalam tempoh ‘iddah. [4]


Oleh yang demikian, selagi pakaian itu berwarna gelap dan tidak menarik perhatian, maka diharuskan bagi wanita dalam ‘iddah kematian suami untuk memakainya. Larangan ini juga termasuklah segala jenis perhiasan tambahan lain yang menarik perhatian seperti memakai wangian, solekan dan manik-manik yang berada di pakaian tersebut.



Kesimpulan

Hikmah disyariatkan ‘iddah kematian suami selama empat bulan sepuluh hari adalah bertujuan untuk memastikan agar tiada unsur-unsur yang boleh menggalakkan mana-mana lelaki tergoda dengan wanita dalam tempoh iddah sehingga berlaku perkara-perkara yang tidak diingini seperti zina. Ini kerana wanita yang berada di dalam tempoh iddah tidak dibenarkan berkahwin yang mana untuk memastikan tiada percampuran nasab anak kerana dalam tempoh tersebut memungkinkan anita hamil hasil dari hubungan bekas suaminya. Oleh sebab itu, lelaki ajnabi diharamkan untuk berkahwin dengan wanita dalam ‘iddah kematian suami.

Tidak dibenarkan keluar rumah termasuk bermusafir, kecuali dalam had dan batas yang diperlukan sahaja. Antara keperluan penting yang membolehkan keluar rumah ialah bekerja, mendapatkan rawatan perubatan, membeli barang-barang keperluan asasi (sekiranya tidak ada ahli keluarga atau orang lain yang amanah boleh melakukannya) dan keperluan-keperluan lain yang penting dan mendesak, dengan syarat mereka dapat menjaga peraturan dan adab-adab seperti yang disyariatkan Islam. Keharusan untuk keluar rumah ini juga tertakluk pada waktu siang  dan tidak pada waktu malam. Namun, pengecualian diberikan kepada individu yang tidak mempunyai pilihan dan perlu bekerja pada waktu malam seperti doktor, jururawat dan sebagainya. Bagi larangan bermusafir, ia termasuk larangan untuk menunaikan ibadat fardu haji dan umrah.



sumber : 

https://muftiwp.gov.my/ms/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/5284-al-kafi-1877-hukum-berhias-bagi-wanita-yang-bekerja-ketika-dalam-iddah-kematian-suami

https://muftins.gov.my/soaljawab/iddah-kematian-suami/


Post a Comment

2 Comments

  1. Ilmu yang ramai abaikan especially akhir zaman ni :(

    Terima kasih kongsi ilmu bermanfaat ni. Bolehlah orang baca untuk rujukan ^^

    ReplyDelete
  2. Perkongsian yang sangat bermanfaat untuk rujukan para isteri. Salam kenal. Jemputlah singgah blog saya :)

    ReplyDelete

Terima kasih atas kunjungan dan komen, sungguh sangat dihargai! Kalau ada kesempatan saya akan balas, InsyaAllah. Komen baik-baik tau!

Thanks for the visit, appreciate your positive comments!