Tiada lagi surat pengenalan untuk di simpan didalam dompet mahupun di rumah, tiada sesiapa yang patut menyimpan sebarang kad pengenalan orang lain walau hanya untuk kenangan kerana tatkala kita dipanggil Illahi, hanya sijil kematian yang perlu disimpan ahli keluarga. Begitu juga dengan abah,1 Ogos 2018 tempoh  hari,  Umi mengambil tanggungjawab untuk ke Jabatan Pendaftaran di UTC Keramat Mall untuk membuat sijil kematian abah selepas  10 hari abah meninggalkan kami.

Pendaftaran Sijil Kematian Abah


Kali terakhir datang ke Pejabat Pendaftaran rasanya 2 tahun sudah kot untuk buat kad pengenalan baru selepas kehilangannya di atas kecuaian diri *sobs

Sebenarnya Umi ni berbelah bagi nak pergi kat Taman Melawati ke atau kat UTC Keramat sebab bimbang masalah meletak kereta dan ternyata memang susah nak park kereta yang agak besar ni, jenuh la jugak dan syukur bila ternampak ada kawasan parkir yang bertentangan bangunan Keramat Mall dan untuk sekali masuk kena bayar RM4, ok la jugak kan

Sesampai tercanggak juga nak cari kat mana nak ambil nombor, rupanya kena ke kaunter pertanyaan di luar legar dan kat sini juga nombor yang akan diambil untuk sebarang urusan dengan pejabat kerajaan yang ada di Keramat Mall.

Pesanan : pastikan borang di isi lengkap dengan lain-lain dokumen yang diperlukan untuk pendaftaran ya

Apa yang diperlukan?
  • Salinan Daftar Kematian / Permit Mengubur JPN.LM02 (Pin. 1/11)
  • Surat Hospital Berkenaan Kematian
  • Kad Pengenalan simati yang asal
  • Kad Pengenalan pemaklum (asal dan salinan)


Tiada Bayaran yang dikenakan

Siapa yang Layak Membuat Pendaftaran
  • Ibu bapa simati
  • suami atau isteri simati
  • anak-anak simati
  • adik beradik simati
  • Pemaklum kepada kematian seperti yang tercatat dalam Daftar Kematian/Permit Mengubur

Urusan Ringkas dan Mudah

Pegawai dikaunter akan melihat borang daftar Kematian / Permit Mengubur dan suruh kita lengkapkan apa yang tak lengkap dan kita akan diminta buat salinan kad pengenalan simati dan yang pemaklum dan satu salinan borang kematian, lepas tu kita ke kaunter semula untuk ambil no. dan tunggu hingga no kita tu muncul di skrin.

Pendaftaran Sijil Kematian Abah
Nombor tertera di skrin yang Umi kena ke kaunter 4, dan seperti biasa Umi bagi salam dan duduk sambil menyerahkan borang dan dokumen lain.  Sempat Umi berborak dengan pegawai yang peramah yang beritahu ini kali pertama dia menerima dan membuat pendafttaran kematian untuk warga emas berusia 92 tahun  sambil Umi sempat bercerita kisah abah..memang menarik bila bercerita pasal abah, kisah waktu hidup abah dan saat abah sakit.  Terlalu menarik dan sungguh istimewa seorang abah kami sampai mengalir air mata sebak dan saat Umi menulis ni sebak tak pernah susut dan rindu pada abah, rindu untuk mendakap abah, bercerita dengan abah, bergelak ketawa dengan abah. Memang rindu, tersangat!

Selesai menyerahkan borang, kita akan tunggu untuk mendapatkan sijil dan tadaaaa tak sampai 15 minit, Sijil Kematian abah dah ada dalam tangan.

Bagi setiap kelahiran, Jabatan Pendaftaran akan dimaklumkan dan urusan surat kelahiran atau surat beranak akan mengambil masa beberapa minggu (seperti pengalaman Umi dulu) dan untuk sebarang kematian, jabatan ini juga perlu dimaklumkan dan urusan mendapatkan sijil kematian hanya dalam sehari atau lebih tepat kurang setengah jam kalau tak ramai orang.

Kak Cik rindu abah dan akan sentiasa berdoa supaya abah dipermudahkan dan ditempatkan di Jannah.

******************

28 Julai lalu, kami adik beradik menghantar cendrahati buat kakitangan Hospital Angkatan Tentera Tunku Mizan dimana arwah abah di rawat dan menghembuskan nafas terakhinya.  Memang syahdu tapi memang niat Kak Jang untuk mengucapkan terima kasih dengan memberi bouquet bunga dan coklat kerana HTMTM ni memang terbaik dari kakitangan, jururawat, doktor dan juga bahagian forensik.

Pendaftaran Sijil Kematian Abah
Terima kasih yang tak terhingga dari kami yang membantu arwah abah dan memang syahdu juga la terutama bila Umi bercakap dengan kakitangan di tingkat 4, dimana arwah abah ditahan selama 2 minggu sebelum dibenarkan pulang.