Sayur Bayam Tumis Air Utara Yang Sedap Dan Mudah | Lazimnya sayur bayam dimasak bening seperti kebanyakan sayuran lain seperti petola, kobis, sawi dan banyak lagi. Sayur bayam ni mudah dimasak dan sesuai ditambah dengan fish ball atau udang, telur mahupun ikan bilis, sesuai dimakan dengan nasi putih dan berlauk ayam bercili atau pun sambal telur.

Teringat dulu sewaktu anak-anak kecil, cara untuk pujuk mereka makan sayur bayam ni kisah Popeye dijadikan cerita tentang kekuatan dan kehebatan memakan bayam, tapi tu dulu kan dan kalau sekarang ni mungkin cerita tu tak langsung menarik minat anak-anak. Mungkin ibu-ibu sekarang punya pendekatan tersendiri untuk memujuk anak memakan sayuran terutama bayam yang punya banyak khasiat.

Sayur bayam ni bukan hanya sesuai untuk anak kecil tapi sesuai juga untuk golongan tua yang dah kurang giginya kerana daun bayam ni sangat lembut dan mudah dihadam. 

Sayur Bayam Tumis Air Utara Yang Sedap Dan Mudah


Masa Penyediaan: 15 minit, Masa Memasak: 5 minit, Jumlah Hidangan: 5 orang

Sayur Bayam Tumis Air Utara

Bahan-bahan:-
2 ikat bayam
segengam ikan bilis
3 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
2 tangkai cili kering
1 inci belacan, dilarutkan dalam air
air secukupnya




Kalau nak tahu, boleh tonton video masakan Sayur Bayam Tumis Air Utara Yang Sedap Dan Mudah ni.


Cara penyediaan:-

  • Sayur bayam di ambil daun yang muda dan batang yang lembut (sebaiknya diasingkan supaya senang untuk dibersihkan). Rendam di dalam air lebih kurang 10 minit dan taburkan garam.  Proses ni untuk membersihkan daun dari selut dan pasir.  Basuh daun dibawah air yang mengalir dan toskan.
  • Panaskan minyak dan goreng ikan bilis hingga garing, angkat dan ketepikan.
  • Dengan minyak yang sama, tumis bawang merah, bawang putih hingga naik bau dan masukkan cili kering kemudian masukkan batang bayam (kalau buat secara berasingan dan banyak menggunakan batang bayam yang agak keras) bila batang bayam nampak lembut, masukkan daun. Balik-balikan sayur dan kemudian masukkan air belacan  dan garam. Garam tak perlu terlalu banyak sebab belacan pun dah sedia masin. Tambah air dalam 1/2 cawan dan balik-balikan sayur.  
  • Akhir sekali taburkan ikan bilis. Siap


Nota : ikan bilis goreng tu boleh ditabur di atas sayur bayam yang akan dihidangkan supaya masih terasa rangup.