15 Resepi Pengat Mudah Dan Sedap | Memang agak keliru bagi sesetengah kita bila menyebutnya bubur, ada disebut pengat dan kalau pengat pula dipanggil serawa oleh orang utara.  Kalau di KL orang akan panggil bubur pada semua masakan tak kira yang pedas macam bubur lambuk atau yang manis macam bubur kacang hijau, bubur kacang merah dan sebagainya 


Dari apa yang saya google, bubur adalah masakan yang menggunakan banyak air  dan berkuah dan bubur tidak semestinya manis seperti bubur lambuk, bubur nasi tapi bubur selalunya seperti bubur kacang merah, bubur kacang hijau, bubur pulut hitam, bubur gandum, bubur jagung dan banyak lagi.

15 Resepi Pengat Mudah Dan Sedap


Pengat pula adalah bubur tetapi hidangan berkuah yang manis seperti serawa durian, serawa labu, serawa pisang, serawa nangka, serawa labu, serawa ubi kayu dan banyak lagi. Baik pengat atau serawa boleh dihidangkan samada panas atau sejuk dengna meletakkan ketul air 

Ok, tak payah pening kepala dah, jom kita buat pengat atau serawa ni untuk minum petang nanti.


15 Resepi Pengat Mudah Dan Sedap

1. Bubur Pulut Hitam 

2. Bubur Kacang Hijau 

3. Pengat Pisang

4. Bubur Caca

5. Bubur Jagung

6. Bubur Gandum

7. Bubur Kacang Hijau Durian

8. Serawa Keladi

9. Serawa Keledek

10. Serawa Labu Kuning

11. Serawa Nangka

12. Serawa Ubi Kayu

13. Bubur Butir Nangka 

14. Bubur Caca Nyonya

15. Bubur Merah Bubur Putih


1. Bubur Pulut Hitam 


Bahan-bahan

300 gm pulut hitam

1 keping gula melaka 

1 mangkuk santan segar

1/2 cawan gula pasir (kalau suka manis)

1 helai daun pandan, disimpul

segenggam sagu, direndam dalam air

sedikit susu segar

secubit dua garam


Cara membuatnya

  • Beras pulut hitam direndam semalaman, dibersihkan dan ditoskan dalam penapis 
  • Masukkan beras pulut hitam ke dalam periuk dan sehelai daun pandan yang disimpul serta masukkan air dan rebus hingga kembang dan masak
  • Masukkan gula melaka dan renihkan lagi hingga betul-betul kembang dan masukkan santan cair dan kacau.  Pastikan api perlahan
  • Toskan sagu yang direndam dan masukkan kedalam pulut dan kacau. Jangan terlalu kering dan akhir sekali masukkan santan pekat dan biar renih dalam 5 minit dan tutup api. Perasakan sedikit garam yang akan membuat rasa lemak. Siap!


Tips : 

Hidangkan di dalam mangkuk dan letakkan sedikit susu segar atau santan kotak sebelum dimakan.


2. Bubur Kacang Hijau 


Bahan:

300 gm kacang hijau

2 cawan santan pekat

2 cawan santan cair

3 sudu besar sagu

1 senduk gula pasir (ikut citarasa dan kemanisan sendiri)

1/2 ketul gula melaka

3 inci halia

garam secukup rasa

2 helai daun pandan - disimpul


Cara membuatnya :

  • Kacang hijau direndam semalaman hingga kembang (sebaiknya 8 jam sebab banyak), dibasuh dan ditoskan
  • Kemudian dimasukkan kedalam periuk berserta air, tak perlu banyak sebab dah kembang, direbus dengan halia dan daun pandan, dikacau hingga mendidih
  • Masukkan gula kabung dan gula putih serta dikacau
  • Pastikan kacang hijau dah benar-benar kembang, baru masukkan santan, dikacau lagi, masukkan air jadi tak terlalu pekat
  • Masukkan biji sagu, dikacau supaya biji sagu tu tak melekat dan akhir sekali letakkan sedikit garam untuk menambahkan rasa lemak. Tutup api


Tips : 

  • santan tak dimasuk awal sebab tak nak santan pecah minyak, tapi ada yang bubuh santan sama masa merebus.  
  • Halia dimasukkan sama untuk hindari angin sebab kacang hijau ni dikenali sebagai makanan yang berangin.
  • Ada yang suka cicah roti atau biskut kedalam bubur ni, ikut selera masing2 kan.


3. Pengat Pisang

6 biji pisang abu/awak, dikupas, dipotong menyerong

3 sudu besar biji sagu, direndam

1 cawan air 

1/2 mangkuk gula Melaka

2 sudu gula perang (optional kalau suka manis)

1 helai daun pandan

sedikit garam


Cara membuatnya:

  • Rendam biji sagu dalam mangkuk hingga kembang 
  • Didihkan gula Melaka dengan secawan air sehingga gula hancur. Bila sejuk, tapiskan dan masukkan ke dalam sebuah mangkuk untuk mengasingkan habuk yang terdapat pada gula Melaka.
  • Masukkan air gula Melaka tadi dan daun pandan dalam periuk. Biarkan sampai mendidih dan masukkan pisang, kacau biar sebati. 
  • Masukkan sagu, kacau perlahan-lahan dan masukkan santan serta gula (kalau suka manis) dan sedikit garam. Biar seketika dan tutup api. Siap!


4. Bubur Caca

Bahan-bahan:

1 cawan bubur cacar kering

1 cawan santan

1/2 mangkuk sagu

Gula secukup rasa

Air secukupnya

1 helai daun pandan


Cara membuatnya:

  • Masukkan bubur caca, bersama air kedalam periuk. Masak sehingga mendidih, sehingga bubur caca kembang. Sementara itu rendam sagu dalam mangkuk berisi air dan biarkan ia kembang.
  • Tos dan buang air rebusan bubur caca dan masukkan bubur caca dalam periuk bersama santan dan gula serta daun pandan yang disimpul dan kacau sebati. Masak sehingga didih. Kacau kerap supaya santan tidak berketul.
  • Apabila mendidih masukkan sagu, gula pasir, gula melaka dan garam secukup rasa. Jika kuah terlalu pekat boleh tambahkan sedikit air.
  • Teruskan kacau sehingga bubur masak sebati. Angkat dan hidangkan.



5. Bubur Jagung

Bahan-bahan 

2 tongkol jagung manis mentah - dihiris nipis

4 sudu besar sagu, direndam

1 mangkuk santan segar

1 ketul gula gerek / 3 sudu gula merah

3 sudu gula pasir (jika suka manis)

daun pandan

Secubit garam


Cara membuatnya:

  • Masukkan jagung yang telah dihiris, daun pandan yang disimpul, gula gerek serta santan pekat yang telah dicampur dengan air ke dalam periuk. Masak di atas api sederhana sambil dikacau hingga mendidih.
  • Masukkan pula sagu, gula pasir (kalau suka manis). Kacau hingga sagu bertukar menjadi jernih.


Nota : kalau tak suka sagu, tidak perlu letak. Sagu akan memekatkan kuah 


6. Bubur Gandum

1 cawan gandum

1/2 cawan sagu, direndam hingga kembang

3 cawan air

2 cawan santan

1 ketul gula kabung

1 cawan gula pasir

Daun pandan

sedikit garam


Cara membuatnya:

  • Rebus gandum air sehingga gandum kembang. 
  • Setelah gandum kembang, masukkan air, santan, gula kabung dan gula pasir serta daun pandan.
  • Apabila santan separuh masak,campurkan sagu yang telah direndam dan ditos kedalam bubur
  • Akhir sekali masukkan garam dan sentiasa gaul/ kacau sebati


7. Bubur Kacang Hijau Durian

Bahan-bahan

2 cawan kacang hijau, disangai

5 ulas durian

1 kotak santan pekat 

2 1/2 cawan gula kelapa

2 helai daun pandan, disimpul

sedikit garam


Cara membuatnya:

  • Kacang hijau disangai hingga kekuningan dan wangi. Angkat dan bilas dan rendam atau terus direbus sehingga lembut.
  • Bila dah empuk, masukkan garam dan daun pandan.
  • Masukkan ulas durian dan gula merah atau gula kelapa (kalau ada). Kacau sehingga gula larut. Kalau guna gula gerek, pastikan gula tersebut larut sebelum dimasukkan ulas durian.
  • Akhir sekali masukkan santan dan sedikit garam. Masak hingga menjadi pekat dan tutup api.


Tips: 

apabila sangai kacang tanpa minyak, bubur akan jadi lebih harum dan kedua kacang jadi lebih ringan, semasa membilas, lagi senang kacang yang rosak atau kosong timbul di permukaan air untuk dibuang.



8. Serawa Keladi

Bahan-bahan

1 biji keladi dan 1 biji keledek (sederhana besar) kupas kulit, bersihkan dan potong dadu

2 cawan air

1 cawan santan pekat

1 keping gula kabung

1/4 cawan gula pasir-sape nak manis bolehlah tambah lagi

2 helai daun pandan-di carik-carik dan di simpul

sedikit sagu mata ikan - rendam

secubit garam halus


Cara membuatnya:

  • Rebus keledek serta keladi dan masukkan sedikit garam dan biarkan ubi empuk baru di toskan.
  • Masukkan santan pekat bersama-sama air dan kacau sehingga ia mendidih.
  • Masukkan gula kabung, daun pandan dan gula halus dan kacau sehingga gula larut dan sebati.
  • Biarkan mendidih dan masukkan pula sagu mata ikan selama 10 minit dan  secubit garam.
  • Bolehlah di tutup api jika dah rasanya dah cukup dan sagu mata ikan dah kembang dan dihidangkan.


9. Serawa Keledek

Bahan-Bahan :

3  biji  keledek kuning -  dibuang kulit & dipotong dadu

1  ketul  gula melaka  -  dihiris kasar

3/4  cawan  biji sagu  -  direndam seketika

2  paket  santan atau 1 kotak santan 

1  helai  daun pandan  -  disimpul

Gula pasir secukup rasa

Garam secukup rasa


Cara membuatnya :

  • Di dalam periuk, rebus keledek bersama air secukupnya (anggaran 2 1/2 cawan) hingga empuk.
  • Apabila keledek telah empuk, masukkan pula biji sagu, gula melaka, gula pasir dan garam secukup rasa.
  • Bila telah mendidih dan gula melaka telah larut, masukkan santan, daun pandan dan kacau sehingga ia mendidih sedikit.
  • Sesuaikan rasanya, tutup api dan sedia untuk dihidangkan.

15 Resepi Pengat Mudah Dan Sedap


10. Serawa Labu Kuning

Bahan-bahan:

1/2 biji labu, dibuang kulit dan dipotong 

2 atau 3 cawan santan pekat,

2 cawan santan cair

1 helai daun pandan, carik dan simpul

1 sudu besar gula putih

sedikit gula melaka, 

anggaran satu sudu besar


Cara membuatnya:

  • Masukkan labu dalam periuk bersama daun pandan, santan cair dan 1 sudu besar gula pasir dan gula melaka. 
  • Tutup periuk dan masak di atas api perlahan sehingga labu agak empuk atau lembut. Jangan masak terlalu lama sebab labu akan mudah hancur.
  • Masukkan santan pekat dan garam secukup rasa. Masak di atas api perlahan sehingga kuah mendidih, tetapi kacau dengan kerap supaya kuah santan tidak berketul.
  • Apabila kuah sudah pekat sebati dan labu sudah lembut, masukkan garam sedikit supaya kuah terasa lebih lemak. Angkat dan hidangkan.


11. Serawa Nangka

Bahan-bahan:

3 ulas nangka masak

2 sudu sagu berwarna putih, direndam dalam 10 minit

1 cawan santan (atau boleh digantikan dengan susu cair)

1 cawan air

1 biji gula kabung

Garam secukup rasa

1 helai daun pandan, di kerat 3 


Cara membuatnya:

  • Isi nangka dibuang biji dan dihiris memanjang kemudian diletakkan tepi. Didihkan air dalam periuk, masukkan gula kabung berserta daun pandan yang dipotong dalam 2 inci. Masak hingga gula tersebut larut dan masukkan isi nangka.  Kacau biar sebati dan pastikan dimasak dengan api sederhana.
  • Sagu yang direndam dengan air ditoskan dan dimasukkan kedalam periuk. Kacau perlahan supaya sagu tidak hancur.  Bila kuah hampir mendidih, tutup api dan taburkan sedikit garam. Siap.

12. Serawa Ubi Kayu

Bahan-bahan :

300 gm ubi kayu, buang kulit & rebus sehingga empuk

2 mangkuk santan

1  ketul  gula gerek

2  helai  daun pandan, dicuci dan disimpul

2  sudu besar  biji sagu

Sedikit gula pasir 

Garam


Cara membuatnya :

  • Masukkan gula kabung ke dalam periuk bersama ubi kayu yang telah direbus. Masak hingga gula menjadi cair dan masukkan daun pandan serta santan. Masak menggunakan api sederhana.
  • Tambah gula sekiranya suka lebih manis.  Biarkan sedikit mendidih, masukkan biji sagu.  Biarkan seketika sehingga mendidih sepenuhnya sekali lagi. Masukkan sedikit garam dan tutup api. Siap


13. Bubur Butir Nangka 

Bahan-bahan kuah

Santan pekat

2 helai daun pandan -  disimpul

Gula dan garam – secukup rasa

1/2 sudu kecil halba


Bahan untuk biji nangka:

1 cawan tepung beras pulut

Air daun pandan – kisar daun pandan, tapis dan ambil airnya

Pewarna hijau (optional)

Sedikit air kapur

Garam


Cara memasak:

  • Membuat biji nangka : Sebelum menguli, panaskan dahulu air  di dalam periuk (air separuh periuk). Masukkan semua bahan ke dalam bekas dan uli sampai sebati.
  • Masukkan air daun pandan sedikit demi sedikit sampai tepung tidak melekat pada tangan.
  • Kemudian bentukkan seperti biji nangka (lebih kurang sebesar gula-gula).  Terus masukkan doh itu ke dalam periuk dengan air yang sedang menggelegak.
  • Apabila biji nangka masak, ia akan timbul di permukaan air. Bolehlah angkat dan masukkannya dahulu ke dalam bekas yang berisi air masak, jika kuah belum siap.

  • Membuat kuah : Satukan semua bahan dalam periuk, masak dengan menggunakan api yang sederhana. Sentiasa kacau supaya tidak berketul. Masukkan juga lebihan air daun pandan tadi ke dalam kuah.  Rasakan garam dan gula. Kacau sampai menggelegak. Tutup api


14. Bubur Caca Nyonya

Bahan-bahan (dipotong dadu)

½ biji keladi

1 biji keledek putih

1 biji keledek merah

1 biji keledek ungu

2 helai daun pandan, disimpul

2 mangkuk santan segar atau 1 kotak santan dan ½ cawan air

secubit garam

100 gm gula melaka atau ½ cawan gula perang

semangkuk air

2 sudu sagu


Cara membuatnya:

  • Masukkan kesemua ubi kedalam periuk berisi air serta daun pandan dan rebus hingga kembang dan kemudian masukkan santan bersama sedikit garam.  Masak dalam 5 minit atau hingga kuah nampak sedikit pekat 
  • Dalam periuk berasingan rebus sagu selama 5 minit atau hingga kembang. Sejukkan dan tapis. Satukan dengan ubi yang direbus dan dimasak dalam 3 minit dan tutup api.  Masukkan sedikit garam untuk menambah rasa lemak. Siap!


Nota :

  • Ada yang akan mengukus ubi dalam pengukus hingga lembut dan kemudian direbus bersama sagu.
  • Boleh masukkan bubur caca kering yang telah direbus atau buat bubur cacar pelbagai warna dengan tepung ubi kayu.


15. Bubur Merah Bubur Putih


Bahan-bahan

1 cawan beras biasa

1 cawan beras pulut

1 cawan santan segar atau 1 kotak santan

2 cawan gula merah

1/2 cawan gula putih

Air secukupnya

1 sudu kecil garam


Cara membuatnya:

  • Kedua-dua berasa pulut dan beras biasa dicampur dan kemudian dibasuh seperti biasa. Masakkan kedua beras ini hingga menjadi bubur. Jadi pastikan air yang dimasukkan itu cukup banyak 
  • Masukkan santan dalam bubur yang telah dimasak, masak lagi sehingga mendidih. Keluarkan 1 mangkuk untuk bubur putih dan letakkan garam secukupnya.
  • Dalam periuk yang lain, masak gula merah dan gula putih dalam periuk lain dan campurkan ke dalam baki bubur dan kacau.
  • Sewaktu menghidang, masukkan bubur merah kedalam mangkuk dan 2 senduk bubur putih diatasnya.

Nota :
Bubur putih bubur merah ni sangat istimewa terutama waktu dahulu, disediakan waktu ulang tahun dan sangat popular disajikan untuk amalan lama dalam menyaji untuk semangat yang bertentangan dengan agama Islam dahulunya.  Harapnya tiada lagi amalan sedemikian sekarang ni.