2025 Recap 365/2025 Labuhkan Tirai Penuh Warna Warni Dan Penuh Cerita

Masa awal 2025 rasa nak tak sabar nak habiskan dan terasa lambat benar nak sampai ke penghujung tapi bila dah masuk pertengahan tahun, fuhh laju betul sampai rasa tak sempat nak bernafas. Pejam celik, pejam celik dah masuk bulan Disember.



Kenangan 365 Hari/2025

Setiap tahun memang banyak kenangan indah dan tak indahnya. Tapi kita harus teruskan kehidupan selagi kita masih bernyawa dan mencuba sebaiknya untuk jadi insan yang lebih baik, untuk diri sendiri dan juga orang lain.

Tahun mendatang, kita  akan mencipta memori lagi samada dirancang atau sebaliknya, sebarang kejadian itu akan tetap jadi kenangan untuk kita kenang.


Kak Yang Pindah Rumah

Awal tahun KY Amanda dah berpindah ke rumah sewa yang jaraknya dekat sangat dengan kami, dan Is (menantu) pun dah mula lapor diri di tempat kerja baru. Dekat tu senang sikit untuk kami bantu apa yang perlu.


Bukan adik-adik dan abang-abang pun suka, umi dan ayah pun turut membantu jadi pemerhati. Alhamdulillah, sejuk tengok bila adik beradik saling membantu sebegini dan harapnya sampai ke akhir hayat mereka akan boleh mengharap satu sama lain.


Rutin Umi

Rutin sebagai caretaker bonda masih berjalan seperti biasa dari hari Isnin hingga Jumaat, 2 kali bermalam di rumah bonda (malam Selasa dan malam Jumaat). Setiap enam bulan bawa bonda ke Klinik Kesihatan dan Hospital Tuanku Mizan untuk check-up. Mujur tarikh yang berbeza, kalau tak jenuhlah juga walau selang sehari. Maklumlah bonda bukan boleh bangun sendiri apalagi berjalan sendiri macam dulu.


Lepas sesi kat KKS atau HTM, driver (adik) akan bertugas jadi pembantu mengangkat bonda turun tangga dan menghantar kami ke destinasi. Selesai tugasan dengan doktor, adik akan jemput dan kami akan bawa bonda ke kedai makan, selain dapat makan makanan berlainan dari yang umi masak, dapat juga bonda jalan-jalan dalam mall. 


Cik Cha 

Cikapplepie pulak dah selesai 3 semester dengan keputusan cemerlang dan mendapat anugerah Dekan. Ada 3 semester (termasuk LI) lagi yang perlu dia habiskan dan semoga terus cemerlang.



Bulan Februari,  Aca kena diarhoea yang teruk dengan demam hingga hilang selera makan, sampai susut badan yang agak drastik. Bab makan ubat memang paling kelakar, jenuh memujuk dan penuh helah betul budak ni nak makan ubat. Dah turun macam umi dia juga ni dulu-dulu susah nak makan ubat. 

Jadi kami cuma hantar dia balik ke kolej selepas MC 2 hari tu pun rasa risau sebab jaraknya bukan la dekat sebab dia belum betul-betul sembuh.  Alhamdulillah, dia ok.


Hubby MC 3 Bulan

Kemalangan yang menimpa en suami ni kelakar pun ada sebenarnya. Insiden kecil tapi impaknya agak besar hingga tak boleh gerakkan jari kelingking seperti biasa.


Bulan Mei tu ada kejohanan MAKSWIP acara futsal yang  hubby join konon nak bermain kali terakhir sebelum pencen tapi hajat nak memenangi tak kesampaian bila dia cedera di jari kelinking.

Disebabkan jari yang terkehel dari ruasnya, bulan Jun dia dapat menginap di HKL selama 3 minggu, dengan 2 kali buat pembedahan jari tapi jarinya tak boleh kembali seperti asal.

Bukan sekadar duduk HKL 3 minggu tapi dapat cuti sakit selama 3 bulan! Dah macam orang dalam pantang.


Selain jari terkehel tu, hubby juga kena ke fisio sebab meniscus injury (cedera bahagian lutut). Kecederaan yang agak teruk la sampai nak jalan pun susah. Jadi dia buat appointment kat pusat rawatan Physiogo Wangsa Maju dan lalui beberapa sesi.

Alhamdulillah, kecederaan dia pun dah pulih.

Cari Sarapan Lemang To'ki


Bulan Februari kami bermula dengan couple ride untuk makan sarapan pagi di Lemang To'ki, dan singgah ke Fraser's Hill. Memang seronok dapat berdating berdua ni tapi hubby dok asyik cakap kalau ada anak-anak mesti lagi best. Hahaha. Dah anak-anak semua dah besar panjang, tak nak ikut dan CikCha pula masa ni kat kolej. Kalau tak memang sah dia ikut sekali.




Camping Pertama

Akhirnya kami dapat camping buat pertama kali setelah sekian lama. Kisahnya kami hantar KY dan KC ke airport yang bercuti ke Singapura (full day trip tanpa bermalam) Jadi sementara nak tunggu diaorang balik, kami pun berkhemah di Pantai Bagan Lalang. 


Bercuti Di Teluk Senangin

Planning untuk bercuti ke Teluk Senangin akhirnya terlaksana walau cuma dapat 1 malam di sana. Memandangkan rutin umi jadi percutian pun agak terhad, jadi sementelaah kami akan hadir ke wedding cucu sedara di Perak, kami langsung ke Teluk Senangin.


Alhamdulillah, semua anak menantu dapat cuti bersama termasuk dengan family Mak Teh (adik ipar) yang 3 orang jer. 


2 Kali Ke Kedah

Kami hadir ke majlis perkahwinan Asri (anak Kak Uda) di Sungai Petani tanpa hubby dan Is yang dah awal-awal confirm untuk pergi memancing di Pangkor sementara Ayong pula jaga rumah.


Trip ke SP ni hanya umi, Angah, KY, KC, CM dan CikCha. Majlis akad nikah di hari Jumaat tapi kami tak dapat hadir sebab masih dalam perjalanan.


Kali kedua kami ke Kedah untuk hadiri majlis perkahwinan cucu saudara hubby dan kami menginap di Homestay Tam Teh selama 2 malam. Sempat singgah di kampung untuk ziarah abang kedua hubby dan selebihnya kami jalan-jalan layan Cik Meya dan CikCha.


Berita Duka

Berita duka kami terima waktu dalam perjalanan balik ke KL. Kakak ipar kesayangan, Kak Mala dijemput Illahi selepas 2 malam ditidurkan. Hajat nak menziarah di Hospital Selayang tak kesampaian.

Kali terakhir bertemu dengan Kak Mala pada hari resepsi anak buah kat Bangi, seperti biasa dia memang ceria dan suka melawak.


28 Disember pula, ayahanda kesayangan Zety (adik ipar) juga dijemput Illahi di rumah, di Taman Datuk Wan, Seremban. pada usia 91 tahun. Allahyarham ni memang baik dan peramah. Besan bonda yang sangat disenangi dan peramah sepertimana Allahyarhamah isterinya.



Bebulus Ada 12 Ekor


Satu kejutan bila Sky melahirkan anak, terkejut sungguh bila  KC Iman masuk bilik dia ada darah di lantai. Mulanya fikir mungkin mama CB bawa masuk anak dia yang baru 1 minggu lebih dilahirkan. Rupanya Sky! entah bila dia bunting dan ingatkan dia dah makin berisi rupanya berisi anak. Aduhh



Mama CP melahirkan 3 ekor anak kucing dan Sky pulak melahirkan 2 anak (warna hitam dan kelabu). Waktu kami balik kampung, mama CB dah makan anak dia yang tidak sihat dan beberapa minggu lalu, dia makan seekor lagi yang tidak sihat. Jadi tinggalkan seekor yang segar dan lincah.

Kalau dicongak ada 12 ekor kucing kat rumah ni antaranya Rey, Boba, Senah (anak Rara) Sky + 2, Mama CP + 1, Nosy, Bubu, Oyen dan Momot. Nosy dan Bubu pulak dah jarang balik rumah sejak awal 2026 ni entah ke mana melepak tah. Harapnya mereka sihat-sihat je la.



Tiga ekor kucing yang dah lama dengan kami Peanut, Qubus, Quyat dan Machiato pulak dah menghilangkan diri sebab mereka nii memang keluar rumah, kekadang balik kekadang beberapa hari baru balik tapi paling menyedihkan KC Iman bila Peanut terus menghilang. Kalau orang ambil, harapnya dia dijaga dengan baik.

Pengalaman Teruk Dengan Shopee

Memang pengalaman paling teruk bila Shopee tak collect kerusi roda baru (Elderly Lifting Hydraulic Control Transer Commode Wheelchair) yang kami reject lebih 3 minggu. Memang teruja masa dapat kerusi roda ni, tapi bila nak pasang bahagian kerusi tu, aduhh koyak la pulak. Bukan sikit tapi besar pulak tu, jadi memang kena return.

Sesi chat dengan CS dibuat selang sehari selama 3 minggu  ni memang buat stress sangat sebab balik-balik soalan yang sama dan paling geram bila bercakap dgn CS, mereka akan expediate the process tapi sampai ke sudah tak jalan pun.

Akhirnya Kak Uda suggest untuk hantar barang ke courier service. Contact Grab tapi mereka tak boleh buat sebab bukan mereka yang hantarkan. Hubungi J & T, mereka boleh ambil tapi kami kena bayar dan akhirnya selepas belek-belek kat kotak, dan hubungi Flash, memang mereka yang hantar dan boleh kirimkan balik ke supplier.

Tapi kami kena hantar. Gila sungguh sebab berat giler kerusi roda ni tapi sebab tak sanggup nak tengok kotak besar gedabak ni kat rumah bonda, dia dengan adik dan anak dia usaha juga tolak guna troli produk ni.

Ingat selesai sudah dan tunggu dapat refund tapi tup-tup nampak mesej dari supplier barangan salah! Rupanya Flash hantar korset ke supplier di Shah Alam dan kerusi roda ni dihantar ke Subang.

Jenuh pulak kami ke Flash untuk report. Lebih sejam juga baru Flash dapat detect kemana kerusi roda ni dan Aqash (supervisor Flash Seri Rampai) ni pergi sendiri untuk ambil kerusi roda ni dan hantar ke supplier.  Fuhh lega.

Hari kami nak ke Kedah, saya terima bungkusan dan bila dipegang, dah syak tu korset yang di hantar supplier kerusi roda. Hahaha

Dah malas nak ke Flash, saya minta adik hantarkan ke Flash untuk diaorang selesaikan kerja.


Azam Tahun 2026

Tiada yang spesifik, cuma nak sihat, nak gembira, nak tenang, nak bahagia tanpa serabutkan otak dan mungkin nak kurus. Hahaha

Juga berharap dapat menulis dengan lebih banyak, dapat habiskan novel-novel yang orang beli, yang dibeli juga. Dah beberapa bulan ni memang reading block betul.

Last but not least, harap dapat makan angin dalam keadaan sihat untuk cipta lebih banyak kenangan manis. InsyaAllah.

Macam mana dengan anda pulak?

Selamat Tahun Baru buat semua

Post a Comment

0 Comments