Gulai Batang Pisang Dengan Daging Sedap Dan Unik | Pertama kali merasa gulai batang pisang ni waktu kenduri beberapa tahun sudah di kampung en hubby dan terus terasa jatuh cinta. Ada sahabat mengatakan Gulai Batang Pisang ni sangat biasa bagi penduduk Baling tapi sebenarnya tak juga sebab kampung en hubby di Kerpan daerah Ayer Itam memang satu kebiasaan bila kenduri kahwin mereka akan membuat resepi gulai kawah untuk kenduri ni bila ada permintaan dari tuan rumah. Memang unik tapi sedap malah ada yang membuat rendang batang pisang.  Sebenarnya bukan batang pisang yang digunakan tapi bahagian dalam batang pisang yang lembut yang kita panggil empulur atau umbut pisang yang digunakan sebab ianya lembut.

Ada yang mengatakan jenis batang pisang yang bisa dimasak selalunya dari pisang hutan atau pisang awak tapi gulai batang pisang saya ni saya rasanya pisang bunga.  Banyak sunggah yang boleh kita guna dari pokok pisang ni antaranya daun boleh dibuat balut lepat, jantung boleh dimasak atau dibuat ulam, batang pisang boleh dibuat gulai, pisang boleh dibuat gulai bergantung pada jenis pisang untuk gulai la juga dan batang pisang buat baja pun boleh.

Apa pun dah rezeki saya dapat buat sekali lagi gulai batang pisang hasil dari pokok pisang belakang rumah!

Gulai Batang Pisang Dengan Daging Sedap Dan Unik

Inilah gambar gulai batang pisang yang memikat hati dan memikat selera makan sendiri dan pasti kalau anda rasa memang akan jatuh hati juga.


Bahan-bahan:-
500gm kilo daging lembu/kambing/kerbau
batang pisang/empulur/umbut
330 ml santan Ayam Brand atau boleh guna santan segar
4 sudu kari ikan (kalau nak guna rempah daging boleh je)
2 sudu kerisek (optional)
Garam secukup rasa


Bahan Tumis
3 ulas bawang merah, dihiris atau ditumbuk
2 ulas bawang putih, dihiris atau ditumbuk
1 inci halia, dihiris atau ditumbuk
Daun Kari


Nak tau cara penyediaan tu boleh la jengah ke channel youtube saya yang amatur ni.


Cara penyediaan:-

1. Batang pisang dibuang bahagian luar yang keras. Ambil bahagian dalam batang pisang yang lembut sahaja kemudian dipotong serong dan direndam dalam air (kalau terbiar lama batang pisang akan kelihatan lebam). Bersihkan tali-tali getah yang ada dan proses ni agak lama sebab kalau tak habis buat, bila dah masak nanti susah nak hadam dan boleh tercekik.

2.  Panaskan minyak dan tumis bawang putih, bawang putih, halia dan daun kari sehingga keperangan dan naik bau.

3. Masukkan serbuk kari yang telah dibancuh dengan sedikit air. Biarkan ia masak/mendidih sehingga pecah minyak. Saya menggunakan serbuk kari ikan sebab bagi saya rasanya lebih sedap bila dimasak dengan daging.

Resepi Menarik Yang Boleh Dicuba:

+ Resepi Pelbagai Menu Nasi
+ Resepi Nasi Dagang Gulai Tongkol
+ Resepi Gulai Ikan Temenung


4. Seterusnya masukkan daging yang dipotong kiub atau ikut kesukaan. Sekiranya ada lemak timbul tu boleh dimasukkan sekali dan di utara mereka turut memasukkan bahagian perut. Masak hingga daging menjadi empuk dan rempah sebati dan mesra bersama daging

5. Masukkan batang pisang dan dikacau, dibalik-balikkan supaya batang pisang sebati dengan rempah kemudian masukkan santan.  Biar direnih dan biarkan ianya mendidih
.
6. Akhir sekali masukkan garam secukupnya dan sedia untuk dihidang


Nota :

  • Ada juga yang melumur kunyit pada batang pisang sebelum dimasak.
  • Kalau suka boleh letak kulit kayu manis, bunga lawang sewaktu menumis.
  • Kalau menggunakan daging baru/segar tak perlu letak asam keping
  • Kerisek akan membuat kuah jadi lebih pekat dan kalau ditambah memang sedap tapi stok kerisek dah habis