Minum Petang Dengan Pulut Panggang Legend Sesedap Citarasa

Sebagai peminat pulut, apa saja masakan dengan pulut ni memang umi suka begitu juga dengan habibi seperti tapai, lopes dan paling diminati ialah pulut panggang. Ada yang panggil pulut udang tapi kekadang tu tak letak udang pun, jadi sebaiknya panggil pulut panggang. Kalau guna udang pun, mereka guna udang kering.


Pulut Panggang Legend

Inilah juadah minum petang favorite habibi. Jimat tenaga umi nak membuatnya.

Sejak jumpa penjual pulut panggang ni beberapa tahun lalu, memang malas betul nak buat sendiri sebab boleh dibeli je dan harganya RM6 untuk 5 batang. Cukuplah untuk umi dan habibi buat minum petang sebab KC Iman yang suka pun sibuk dengan kelas PJJ, KY Amanda pula bila balik kerja, terus ke rumah sendiri.



Sebenarnya nak buat pulut panggang ni tidaklah berapa susah tapi agak renyah dan kalau dibuat kuantitinya banyak dan paling payah sebab kekangan masa.

Fuhh punya banyak alasan kan tapi tengoklah kot ada masa nanti boleh umi buat balik pulut panggang dengan isi udang segar seperti dulu.



Saiz pulut panggang ni pun agak besar dan rasanya pun sesedap selera. Serunding kelapa dalam pulut panggang pun sedap, tak manis dan secukup rasa.

Kiranya memang puashati dengan pulut panggang ni berbanding pulut panggang yang dijual  kat kawasan berdekatan.

Kalau tak habis, pulut panggang ni tak cepat basi dan yang tak habis tu umi simpan kat dalam peti sejuk, kemudian pan fried kat atas dapur. Memang lagi sedap sebab bagi garing pulutnya.



Bonda pernah buat pulut panggang ni waktu kami semua masih kecil dan kuat makan, tapi bila kena diri sendiri ni memang kurang rajin sebab kekangan masa, malas nak membakar sebab pulut panggang yang sedap kalau dibakar guna bara bukan atas periuk leper guna gas.



Pulut panggang ni dibuat oleh isterinya dan setiap hari setiap hari dia akan bawa dalam 200 - 300 (kalau tak silap) dan memang habis la.

Memang tak menang tangan tengok dia membakar dan mengipas pulut panggang ni tapi inilah rezeki buat dia sekeluarga.

Lokasi Pulut Panggang Legend

  • waze Tasik Seri Rampai dan motor pakcik peniaga parkir berdekatan Flat Setapak Jaya 2B dan berdekatan Residensi Rampai 2

Resipi Pulut Panggang Tanpa Udang Kering

Kalau dulu bonda buat pulut panggang guna udang kering buatan sendiri. Udang kertas kecil, direbus dan dijemur hingga betul-betul kering. Memang sedap la udang kering bonda tapi udang kering yang dibeli ni terlalu masin dan memang tekak umi tak boleh gi.

Baca Juga : 12 Resipi Guna Beras Pulut


Bahan-bahan 

2 cawan pulut, rendam semalaman

1 cawan santan pekat

Garam

Daun pisang


Bahan serunding kelapa

kelapa parut putih (1 biji kelapa)

2 sudu minyak

1 sk garam

1 sb gula kabung

2 sudu besar air asam jawa cair


Bahan kisar/ditumbuk

10 cili kering, dibuang biji dan direbus atau direndam air panas

1 biji bawang besar

5 hiris kunyit

5 hiris lengkuas

1 sudu jintan manis

2 batang serai, dihiris

½ cawan ikan bilis


Cara Penyediaan 

1. Toskan pulut  yang telah direndam semalaman. Masukkan ke dalam pengukus. Bila dah masak, gaulkan dengan santan yang sudah dicampur sedikit garam.

2. Daun pisang, dilayur  atas dapur, dilap dan dipotong ikut saiz yang diinginikan

3. Serunding Kelapa : Panaskan minyak & tumis bahan kisar, masak hingga garing dan pecah minyak. Masukkan air asam jawa, perasakan dengan garam dan gula, kemudian masukkan kelapa parut. Kacau dengan kerap supaya tidak hangit.  Kalau nak tambah lemak, boleh tambah santan. Masak hingga agak kering dan berderai.

4. Ambil 1 sudu besar pulut, letakkan di atas daun pisang yang telah dilayur. Tekan hingga menjadi leper dan tambah inti (serunding) ditengah-tengah pulut secara memanjang. Lipat kiri dan kanan daun pisang (gulungkan) dan di semat dengan lidi di kedua-dua belah hujungnya. Gunting lebihan daun dan panggang atau di bakar hingga garing. Siap!

Post a Comment

0 Comments