7 Tempat Makan Menarik Wajib Singgah Di Pekan | Sejak anak yang nombor 3 belajar di UMP Pekan ni, memang acap kali kami ke sini dan paling lama kami menginap di Pekan selama 3 Hari 2 Malam bagi menemani Kak Yang yang menduduki peperiksaan dan sambil tu sempat la kami melayan diri di Pekan ni sambil dapat menikmati pemandangan dan suasana perkampungan nelayan boleh juga melawat di beberapa tempat dan paling best dapat makan kat tepi pantai ala-ala berkelah.

7 Tempat Makan Menarik Wajib Singgah Di Pekan

Pekan ni memang cukup terkenal dengan Murtabak Merngkasar dan Puding Permaisuri jadi kalau ke Pekan, pastikan anda mencuba kedua-dua sajian yang berasal dari sini.


Kisah percutian 3 Hari 2 Malam kami boleh baca di SINI dan kat sini saya kongsikan kedai makan yang wajib anda cuba bila ke sini.

1. Warung Pekan Lama

Pekan, Pahang


Kami singgah makan di Warung Pekan Lama untuk makan tengahhari memandangkan kami berada di tengah pekan Pekan.  Lokasi makan ni menjadi pilihan selepas d'hubby mengatakan kedai makan ni antara kedai yang sering disinggah oleh Yang Dipertuan Agong ke 16, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al Musta'in Billah Shah. 

Memang teruja bila dapat menikmati kedai makan yang bukan calang-calang kunjungan tetamu VIP ni.  Menariknya di dinding kedai makan ni terdapat banyak foto orang kenamaan dan selebriti.


Bab makanan pulak memang banyak pilihan, ada puding permaisuri, pulut kelapa dan boleh baca kisah makan tengahhari kami di Warung Pekan Lama dan selepas makan tu boleh la ronda-ronda apa yang menarik di Pekan ni. 


Warung ini beroperasi seawal jam 7.30 pagi, jadi boleh la kesini untuk bersarapan.


Alamat : No 18, Jalan Sultan Abu Bakar, Kampung Pancur, Pekan, Pahang Darul Makmur


2. Warung Cili Api Serandu



Lokasi tempat makan sedap yang sering menjadi pilihan untuk makan tengahhari kami pastinya di Warung Cili Padi Serandu. Warung yang terletak di tepi jalan menghala ke UMP cukup memudahkan dan sajian masakan di sini boleh diterima dengan selera kami dengan sajian berlauk seperti kari, asam pedas yang rasanya pun boleh diterima tekak dan boleh saja minta makanan bergoreng seperti nasi goreng, mee kari untuk makan tengahhari. 


Baca kisah percutian 3H 2M kami  di Pekan dan berkunjung untuk makan tengahhari, baca SINI


Kedai makan ni memang menjadi tumpuan terutama waktu tengahhari sebabnya sepanjang beberapa kali kami kesini, kelihatan pengunjung kedai makan ni adalah kakitangan UMP, pensyarah dan pegawai kerajaan lain.  

Jadi kalau waktu rehat tu memang selalu penuh dan ruang duduk di bawah pokok yang rimbun tu menjadi pilihan sambil makin sambil melihat pokok kelapa ditiup angin laut yang jaraknya dalam 15 langkah saja.


Kalau di sini saya syorkan anda makan ABC sebab ada kacang dan kekadang tu dia letak wafer, memang special sangat


3. Restoran Sumpit-Sumpit



Memang cantik persekitaran restoran Sumpit-Sumpit ni apatah lagi bila melangkah masuk ke ruang makan restoran yang menyajikan masakan Sunda Indonesia dan Western.  Memang tak sangka dan baru perasan restoran ni sebab selalunya kami akan melalui jalan pantai.


Antara masakan Sunda antaranya Nasi Timbel yang mana nasinya dibungkus dengan daun pisang, Nasi Liwet, Nasi Tutug Oncom, Karedok, Bakakak Hayam dan banyak lagi.


Selain ruang makan yang luas dan selesa, sajian makanan negera seberang ni memang cukup sedap hingga lupa sekejap yang kami berada di Pekan dan bukan di Kuala Lumpur. Boleh baca pengalaman kami  makan malam kami di Restoran Sumpit-Sumpit dan pastikan anda singgah kalau ke Pekan.


Alamat : Lot 2204, Kampung Tanah Puteh, 26600 Pekan, Pahang


4. Dapur Mek Kelate




Selalu lalu lalang di depan kedai ni tapi tak pernah singgah sebabnya Warung Cili Api Serandu tu dah jadi kebiasaan tapi ada sekali tu d'hubby cakap nak singgah untuk bertukar selera. Memang mudah nak ke sini selain warung ni terletak di tepi jalan dan nak cari tempat letak kereta pun tak jadi masalah.


Kami cuma order makanan bergoreng je yang senang dan cepat dan seperti kebiasaan cikapplepie akan minta nasi goreng pattaya, KY dengan nasi goreng cili api d'hubby dengan nasi goreng kampung dan saya dengan bakso...not bad la rasanya siap dengan sampingan.  Nasi goreng KY tu memang super pedas tapi sedap.


Kalau nak ke sini, jangan laju sangat memandu tu takut terlepas sebab memandu di bahagian pantai ni memang ralit sebab jalan lurus dan pemandangan indah pokok kelapa dan nampak laut.


Alamat : Kampung Serandu, 26600 Pekan, Pahang

5. Warung Rahmat DK




Warung Rahmat DK ni rasanya dah macam kafe untuk pelajar UMP kerana rata-rata pengunjung yang saya perasan adalah pelajar UMP yang menginap di rumah sewa.  Seperti kebanyakan kedai makan di Pekan ni  pasti ada Patin Tempoyak dan kalau sarapan pagi tu pasti ada nasi minyak selain nasi dagang dan nasi lemak, laksa, laksam dan lontong.  Kalau tak silap dah 3 kali ke sini untuk makan tengahhari dan harganya memang berpatutan terutama untuk siswa dan siswi dengan persekitaran yang bersih.


Kedai makan yang menjadi tumpuan para siswa dan siswi pada pengamatan saya kerana harganya agak berpatutan dan masakan yang disediakan pasti ada ikan patin 


6. Restoran Mak Ct




Kalau dah kedainya terletak di kuala dan nama pun resoran medan ikan bakar, pastinya sajian pun berasaskan ikan bakar dan makanan laut. Kami berkunjung ke sini kalau tak silap dah 3 kali termasuk sekali untuk berbuka puasa. 


Penggemar makanan laut wajar ke sini dan bagi yang bawa anak kecil, boleh bermain di taman mainan kanak-kanak yang berdekatan.


Persekitaran agak sunyi tapi siap ada kemudahan tandas namun sewaktu berkunjung ke sini tak banyak kedai yang beroperasi. 


Alamat : Lot 4, Restoran Medan Ikan Bakar Di Kuala, Kuala Pahang, 26600 Pekan Pahang


7. Along Tomyam & Seafood



Malam terakhir kami menginap di Roomstay ni, terasa malas nak keluar jauh dan nak support kedai makan anak tuanpunya homestay yang hanya terletak di sebelah rumah inap kami.  Satu tindakan yang baik sebab selepas Isyak tu hujan turun dengan lebat sewaktu kami sedang menanti makanan tiba ke meja.


Itu antara kedai yang kami singgah untuk menjamu selera dan sekiranya menginap di Kuala Pahang, tak susah pun nak cari makanan untuk bersarapan kerana nasi minyak, nasi dagang dan nasi kerabu serta nasi berlauk memang sedia ada.


Jom melawat Pahang!